Advertise

NOVEL TERKINI

Secangkir Madu Merah (Bab 31)

Tuesday, April 5, 2011


Buktikan ada cinta, masalah di jiwa reda selamanya
namun tetap berbeza sekiranya dusta masih menjelma

Tatkala jiwa yang gundah dipatri pula dengan timah curiga maka semua itu nampak jelas di mata bahawa dia sedang diperbodohkan. Namun hati tetap berkata tidak kerana setia, kasih dan cinta bersatu teguh dengan kepercayaan. Tiada sempadan yang dapat memisahkan erti cinta dan kasih sayang terhadap pengorbanan dan kebahagiaan. Apabila semua itu ada di dalam acuan yang sama maka hasilnya sudah tentulah keindahan. Indahnya dunia cinta dengan adanya orang tersayang bersama-sama menemani di sisi. Itulah yang sering bertandang di hati.
Zarina lupa tentang hakikat lalu, Zarina jadi leka, Zarina hanyut dan terbuai dengan ungkapan manis. Namun sedikit waktu lagi segalanya akan terbukti. Kebenaran bagaikan air yang mengalir, walaupun ia disekat ia akan terus dan tetap mengalir.
‘Setiaku menanti seribu tahun lagi ungkapan semanis itu. Aku mencintainya sepenuh hatiku. Aku sayang padanya sentiasa dan selalu. Arsyad... sebenarnya cinta yang wujud dalam hati aku ini hanyalah untuk suami aku. Antara kita tidak akan lagi wujud rasa itu walaupun aku dapat merasakan kehadiran cintamu itu kerana kau sering bertanya tentang aku, kau masih memujuk hatiku dan kau seringkali mengetuk dinding hatiku. Bagaimana untuk aku bernafas? Aku lemas Syad... aku lemas dalam pelukan rindu terhadap kau yang telah berlalu. Sedarlah... Aku kini telah menjadi isteri orang. Di manakah kau berada di saat aku merinduimu? Kau pergi begitu sahaja Arsyad... kau menghilang tanpa khabar dan berita dan hatiku walang saat kau tiada,’ bisik hatinya yang masih terkenangkan Arsyad.
Bayangan Arsyad menjelma. Arshad yang comot, Arsyad yang nakal dan Arsyad yang selalu membulinya sewaktu kecil dahulu. Memori lampau menjelma dalam ingatan. Berkali-kali dia cuba mengusir namun bayangan itu tetap bertandang di dalam kotak mindanya.
“Kerja sekolah tak siap! Petang main masak-masak! Lepas tu meniru pula dekat sekolah! Bila kau nak pandai?” marah ketua kelasnya ketika darjah empat mengalahkan guru besar lagaknya.
“Tak pandai pun tak apa!”
Sebuah komik dirampas dari Zarina dan dikoyak-koyakkan.
“Patutlah kerja sekolah tak siap. Suka baca komik!” marah ketua kelasnya lagi memang tiada kena mengena langsung. Suka hati Zarina hendak baca komik atau apa sahaja. Kenapa ketua kelasnya suka menyibuk?
“Saya beritahu cikgu!”
“Beritahulah, dekat sekolah mana boleh bawa komik! Menyalahi peraturan sekolah. Sebelum kena rampas elok aku koyak-koyakkan sahaja. Senang sikit. Kau pun boleh  buat kerja sekolah tak adalah nak meniru lagi,”
“Siapa tiru? Saya tak tiru sesiapapun,” kata Zarina.
Sedih hatinya kerana komik doraemon kegemarannya dikoyak-koyakkan. Sampai hati ketua kelasnya itu.
Zarina sakti hati betul tetapi dia bersabar sahaja. Mesti Cikgu Hussaini selalu merungut hal dia tidak siapkan kerja sekolahnya. Bukan dia tidak siapkan tetapi kurang memuaskan sahaja. Memandangkan jawapan-jawapan akhir dalam penyelesaian Matematik itu agak susah. Ditinggalkan sahaja. Maklumlah ayah kepada ketua kelasnya itu seorang cikgu. Mengejar pula subjek itu di dalam kelas yang sama. Arsyad bikin onar. Semakin dibenci semakin sayang. Hari-hari terbayang-bayang.
Semua itu menjadi sejarah dalam hidupnya. Memang terabadi di dalam hati tidak pernah luput dari ingatan. Arsyad sebenarnya lelaki pertama dia jatuh hati namun cintanya tidak pernah terungkap kerana dia hanya menanti saat manisnya kasih di awal remaja itu. Cinta yang berputik digelar cinta monyet. Arsyad terlebih dahulu mengungkap isi hati padanya. Arsyad jugalah yang selalu menyakatnya. Hampir setiap waktu dan ruang, Arsyad setia walau ke mana juga. Namun belum pun sempat Zarina menyatakan ‘me too’ atau ‘saya juga cintakan awak’ kepada Arsyad budak lelaki yang comot dan gemuk itu telah pergi jauh meninggalkannya. Jauh ke Borneo. Sedih rasa hati Zarina.
Zarina juga tidak berpeluang memberitahu Arsyad pada waktu ini bahawa ibu bapanya telah lama meninggalkannya. Ibu dan bapa kandungnya meninggal dunia dalam kebakaran. Adik-beradiknya lain juga turut terkorban. Itulah peristiwa yang menyayat hati. Hanya dia yang terselamat kerana dia pada hari kejadian melihat dari jauh Arsyad pergi bersama sebuah kereta. Zarina melihat secara bersembunyi dan tidak datang dekat. Ketika pulang, pada waktu itulah kebakaran berlaku. Api yang marak telah menjilat rumah mereka sampai hangus dan rentung. Nauzubillah...
Kad perniagaan berada di tangannya. Petang ini dia ditinggalkan bersendirian. Mereka bertiga pergi menaiki bot. Tergamak betul meninggalkan Zarina sendirian di vila. Zarina tidak dapat mengikuti dalam aktiviti skuba itu. Kalaulah ada Mak Mah, Zarina mungkin tidak terasa sunyi. Menyesal juga dia tidak memaksa Mak Mah untuk ikut sekali.
Perlahan-lahan dia membuka telapak tangannya. Dan tangan yang satu lagi memegang telefon bimbit. Di lihat kad tersebut yang tertera,

Setia Tulus & Co.
Encik Muhammad Arsyad bin Hussaini

Pada kad perniagaan tersebut terdapat nombor telefon Arsyad biarpun Arsyad pernah menelefonnya sebelum ini namun nombor telefon itu pada sebelum ini tidak dapat dihubungi, barangkali nombor telefon yang ada di kad tersebut mungkin boleh. Zarina berat hati mahu menelefon kawan lamanya itu. Entah kenapa jari-jemarinya berasa berat sekali. Ingin dihubungi nombor itu, pelbagai perasaan mula timbul.
“Kenapa aku perlu hubungi dia? Adakah ini namanya rindu? Aku sendiri tidak mengerti. Aku tidak dapat mengungkapkan semuanya. Aku tidak mampu... jadi kenapa aku masih ingat padanya? Ya Allah... aku sudah ada suami... Ya Tuhan Kau jauhkanlah diri aku dari sifat curang. Aku tidak sanggup dituduh curang pada suami aku sendiri. Tetapi hati aku sekarang ini mencurigai Abang Rashid. Barangkali dia memperdayakan aku. Dia mungkin ada perempuan lain. Apalah salahnya jika aku meminta pendapat daripada Arsyad? Mungkin dia boleh membantu aku,” bicara Zarina sendiri.
“Assalamualaikum kak...” Zarina terperanjat di bangku itu. Dia segera menoleh ke belakang.
“Waalaikumussalam,” balas Zarina tanpa menduga dirinya diganggu ketika ini. Dia yang tadinya sedang berkira-kira mahu menelefon Arsyad atau pun serta-merta terhalang. Zarina masih lagi duduk di situ. Hanya memusing tubuh sahaja. Seorang perempuan berpakaian lelaki sedang berdiri di hadapannya.
“Siapa awak?” tanya Zarina.
“Saya bukan siapa-siapa kak,” balas Roy yang kemudiannya terus duduk di hadapan Zarina tanpa dipelawa.
“Apa yang awak mahu?”
“Saya ada perkara nak bercakap dengan kakak,” ujar Roy.
Zarina berkerut dahi. Dia tidak kenal perempuan ini. Dia tidak tahu latar belakang orang yang sedang berhadapan dengannya ketika ini. Apakah Roy ingin berbicara sebuah kesangsian? Apakah Roy ingin meminta ganti rugi? Mustahil kerana Roy tidak mengenali siapa Zarina sebenarnya.
“Boleh kenalkan diri?”
“Oh lupa, nama saya Roy, erm... Rokiah. Kawan-kawan panggil saya Roy, maafkan saya duduk tak beritahu. Harta awam... sesiapa pun boleh duduk ya kak? Dan saya memang begini kak, agak kurang sopan sedikit tapi hati saya mungkin baik. Whatever asalkan orang dapat menilai saya, kalau orang tak dapat nak nilai saya pun, its okey Nilai Negeri Sembilan kan ada kak...” beritahu Roy pada Zarina yang konon-kononnya mahu melawak.
“Maafkan saya, sebenarnya saya tak faham apa yang awak cuba sampaikan ni?” balas Zarina terpisat-pisat. Lawak Roy tidak langsung menggeletek hatinya.
“Alamak... kakak ni blur rupanya...” desis Roy.
“Saya dengar apa yang awak katakan,”
“Maaf kak... maaf terkasar,”
“Tak mengapa Roy, setiap orang sering melakukan kesilapan...” Zarina seperti tidak kisah berkomunikasi dengan orang seperti Roy. Baginya penampilan Roy adalah seperti biasa sahaja. Barangkali itulah gaya yang dipilih namun tidaklah terlalu menyerupai lelaki kerana seorang wanita yang menyerupai lelaki mahupun sebaliknya tetap salah dari segi hukum agama. Zarina berdoa di dalam hati semoga orang yang berada di hadapan matanya terbuka hati untuk berubah kepada gaya feminin yang layak sebagai seorang wanita. Zarina tidak sesekali memandang serong pada orang seperti Roy.
“Ya betul, oleh kerana satu kesilapanlah dunia terus berubah,”
“Mendalam maksudnya tu,” balas Zarina pula.
“Abaikan kak, saya datang ni hanya nak sampaikan amanah orang,” kata Roy.
Zarina berkerut dahi. Setahu dia tiada apa-apa yang berlaku. Kenapa ada sahaja yang menganggu? Zarina tertanya-tanya siapakah gerangan perempuan itu sebenarnya? Roy mengetap bibir sambil membetulkan cap. Angin petang masih berpuput lembut dan memang begitulah keadaan di Pulau Perhentian yang sungguh mendamaikan ini. Pepohon yang menghijau memukau pandangan. Desiran dedaun pula umpama melodi yang cukup indah, melodi alam.
“Apa dia Roy?” Zarina ingin tahu.
Setelah ditanya, Roy terus menghulurkan sepucuk surat. Surat kepada Zarina. Zarina mengambil surat yang dihulurkan kepadanya itu. Roy mengulum senyuman lantas Roy terus bangun.
“Ada orang minta saya sampaikan surat tu pada kakak,”
“Siapa? Mana orang tu?”
“Orang tu ada dekat situ,” Roy mahu menunjukkan kelibat seorang lelaki yang menyuruhnya untuk menghantarkan surat berkenaan.
Zarina menoleh mengikut arah Roy. Dia melihat tiada siapa pun yang orang yang berada bawah pokok itu.
“Mana?” Zarina bertanya kerana matanya telah meliar mencari kelibat orang yang ditunjukkan oleh Roy.
“Eh? Tadi ada,” Roy menggaru leher.
“Siapa nama dia,”
“Dia kenalkan dirinya pada saya sebagai Abang E. Saya pun tak kenal dia kak,”
“Bagaimana rupanya?” Zarina ingin tahu siapakah orangnya kerana di dalam hatinya menangkap nama Arsyad namun Zarina tidak pasti adakah benar telahannya itu.
“Dia ada misai tebal kak... jambang pun lebat, sekali tengok takut kak... macam orang jahat tapi saya tak rasa dia orang jahat. Okeylah kak, saya pergi dulu,” kata Roy yang mahu beredar dari situ.
Zarina mengangguk perlahan. Dia masih terpisat-pisat sendiri menerima surat misteri itu yang tidak dikenali siapakah pengirim sebenar surat berkenaan? Mendengar ucapan Roy sebentar tadi, maka itu bermakna telahannya menyimpang sama sekali. Itu bukanlah Arsyad kerana Arsyad tidak memiliki misai yang tebal dan jambang yang lebat.

Pemberitahuan : Bab yang diposting ke dalam blog ini adalah hasil karya yang belum diedit. Maka jika terdapat kesalahan ejaan serta kesalahan tatabahasa harap dimaafkan dan saya akan betulkannya nanti. Ini adalah bab terakhir yang disiarkan ke blog kerana ia akan dikeluarkan  dalam versi cetak. Sekian terima kasih, Yang benar Miqael Arshad yang tidak berapa nak pro dalam menulis cerita yang best :(

Secangkir Madu Merah (Bab 30)

“Berhenti! Berhenti!” kedengaran suara Roy menjerit meminta orang yang melarikan diri itu berhenti. Rashid, Zarina dan Salwa terpinga-pinga melihat Fazry Kamal melarikan diri. Rashid hairan melihat perempuan itu ada di restoran yang menyediakan bufet tengah hari ini. Kedamaian terasa hilang buat seketika kerana keadaan kelam-kabut menjelma dengan tiba-tiba. Fazry Kamal melarikan diri seperti lipas kudung.
Semua orang yang ada dekat situ berpandangan sesama sendiri. Suasana sedikit kecoh. Fazry Kamal menghilang. Rashid tidak puas hati dia ingin melihat apa yang telah terjadi. Fazry Kamal baru sahaja mahu melangkah masuk ke dalam restoran tetapi terserempak pula dengan Roy.
“Kenapa perempuan sewel tu kejar Fazry?”
“Eh abang ni tak baik cakap macam tu,” tegur Zarina lalu menarik tangan Rashid supaya duduk semula.
“Itukan perempuan yang kacau awak kan Rashid?” Salwa mencelah.
“Kacau?” Zarina terkejut.
“Maksud aku, perempuan tu nak pow duit dari Rashid ni,”
“Tapi kenapa kau sedikit pun tak risaukan fasal Fazry Kamal yang kena kejar tu?” soal Zarina. Salwa terus mempamerkan wajah cemas.
“Eh! Aku kena pergi tengok ni. Entah-entah perempuan sewel tu dah belasah kekasih aku. Kalau dia berani buat macam tu aku belasah dia pula. Jangan ingat dia lasak aku takut!” Salwa buat-buat marah lalu bangun mencari ke mana Fazry Kamal menghilang.
Di meja makan itu tinggal Zarina dan Rashid berdua sahaja. Masing-masing membisu pula melayani fikiran masing-masing. Zarina tidak pula melihat wajah Roy yang sedang mengejar Fazry Kamal itu. Apa yang diperhatikan Fazry Kamal telah lari dan ada seseorang mengejarnya. Dari pandangan belakang tidak terlihat wajah.
“Makanlah...” kata mereka serentak.
Mereka berdua terus ketawa kecil. Masing-masing buat-buat bahagia. Mereka tidak mengerti apa itu kebahagiaan. Bagi mereka apabila wujudnya perkahwinan maka kebahagiaan akan lahir. Tiada makna sesebuah perkahwinan itu tanpa tolak ansur dan kesefahaman malah tiada ertinya cinta itu tanpa ketulusan dan kehalusan jiwa yang paling dalam.
“Saya tak faham kenapa dengan Fazry Kamal tu?” soal Zarina mengenangkan kembali hal tadi.
“Abang pun tak faham juga. Jangan-jangan tu scandal dia kut?” balas Rashid sambil menyuapkan makanan ke mulut Zarina. Zarina membuka mulut. Terasa gembira bila Rashid menyuap makanan itu ke dalam mulut. Rashid sengaja menyuapkan makanan ke dalam mulut Zarina. Dia ingin kelihatan seperti seorang lelaki yang begitu romantis di mata Zarina. Dia ingin mengembalikan cinta sepahit hempedu menjadi taman bunga yang terindah. Dia juga mahu seagalanya berjalan baik tetapi setelah melihat keadaan Fazry Kamal itu ternyata sukar untuk semua itu diselesaikan.
“Bagaimana dengan Salwa?”
“Abang tak pasti,” balas Rashid.
“Saya harap Fazry bukan orang seperti itu,”
“Apa maksud sayang ni?”
“Ya... curang... curang dengan kekasih dan menyimpan orang lain. Itu belum kahwin lagi, kalau sudah berkahwin tidak tahulah bagaimana jadinya,” ujar Zarina.
Rashid yang baru sahaja menyendut coconut shake tersedak dengan tiba-tiba. Tidak disangkanya Zarina akan beranggapan begitu.
Zarina memerhati Rashid.
“Abang ni, gelojoh betul ketika minum,”
“Sedap... minuman ni sedap,” kata Rashid sambil mengelap bibirnya setelah dihulurkan tisu kepadanya oleh Zarina.
“Ish abang ni...”
‘Betul apa yang telah Fazry Kamal katakan, bahawa semua ini tidak mudah diselesaikan setelah mendapat halangan dan aku dapat rasakan perempuan itu adalah sepupunya. Nampak gayanya semakin rumit pula kerja aku. Ini membuatkan aku seperti tersepit jari di celah pintu sahaja. Zarina pula sudah mula mengesyaki aku. Bagaimana aku boleh terlupa tentang resit itu? Mujurlah aku dapat mereka alasan sepantas kilat. Syukurlah dalam keadaan begini Tuhan masih menolong aku. Dalam perkara jahat begini pun aku masih dibantu. Tuhan betul-betul sayangkan aku mahu menyelamatkan cinta aku terhadap Salwa...’ bisik hati Rashid sambil menguntumkan senyuman.
Rashid masih bernasib baik kerana Roy tidak nampak dirinya bersama Zarina yang berada di situ. Kalau tidak sudah pasti akan rosak semua ini. Mengapalah perempuan itu mesti wujud di antara mereka? Rashid menahan bengang. Zarina pula memaculkan ucapan yang boleh membuatkan dia merasakan bahawa Zarina seakan mengetahui atau lebih mudah dikatakan Zarina sedang menelaah apa yang telah terjadi. Pendek kata, Zarian sedang menguji. Itulah yang Rashid rasakan saat ini.
Dalam masa yang sama, Rashid merasakan pula setiap tindak-tanduknya diperhatikan dari jarak dekat sahaja. Seperti ada orang lain lagi di antara mereka. Rashid cepat menoleh ke kiri lantas dia terlihat seorang lelaki yang berkumis tebal bersama jambang yang lebat terus membelek majalah buat-buat tidak tahu.
‘Eh? Siapakah dia? Dari tadi aku merasakan bahawa dia sedang memerhatikan aku dan Zarina.’ Rashid bertanya pada diri sendiri di dalam hati.
“Abang... kenapa ni? Nampak macam kehairanan sahaja?” soal Zarina sambil mengunyah nasi putih bersama ulam-ulaman. Dalam kehamilan itu Zarina terpaksa berpantang makan benda-benda yang boleh memudaratkan kandungannya.
Rashid menoleh semula ke arah Zarina. Dia memalsukan senyuman lantas meramas lembut tangan kiri Zarina.
“Tak ada apa-apa sayang. Seronok tengok orang-orang yang ada dekat sini menjamu selera,” kata Rashid memberikan alasan secukup rasa.
“Abang pun makanlah, nanti abang nak bersiar-siar pula kan naik bot?” ucap Zarina pada Rashid yang masih memalsukan senyuman itu.
Rashid masih tidak senang hati. Dia tetap mencurigai lelaki itu. Lelaki yang dikatakan penuh misteri memerhatikan setiap gerak-gerinya. Mengapa ada lelaki seperti itu di sini? Rashid semakin tertekan malah pertanyaan demi pertanyaan menghempuk benaknya yang sarat dengan bebanan bagi meneruskan rancangannya itu. Ternyata tidak mudah. Namun keadaan itu bertukar cemas tatkala Roy sebentar tadi muncul dan membuat huru-hara. Sungguh menyakitkan hati Rashid.
Apakah Rashid patut membatalkan niatnya itu? Segera pulang ke rumah? Atau bagaimana? Rashid tidak dapat membuat keputusan yang terbaik sekarang ini.

***

Fazry Kamal tertangkap. Fazry Kamal sudah penat berlari dan dia berhenti juga setelah dikejar. Tangannya ditarik dan dipegang erat-erat oleh Roy. Fazry Kamal menghela nafas yang termengah-mengah itu. Roy merenung tajam ke arah Fazry Kamal.
“A...abang buat apa de...dekat sini? Kenapa abang tidak pernah ca...cakap yang abang nak bercuti dekat sini? Patutlah bila Roy ta..tanya abang hendak ke mana kelmarin abang diam sahaja. Rupa-rupanya abang datang sini...” tanya Roy yang masih termengah-mengah lagi.
“Kenapa kau pun boleh ada dekat sini Roy? Takkan semua benda abang nak kena beritahu kau?”
“Bukan ke kita berdua akan bertunang bang? Sampai hati abang buat Roy macam?”
“Eh?! Bertunang dengan kau? Cerminlah muka kau tu dulu. Kau tu sepupu aku dan kau tu pula bukannya perempuan nampak macam jantan!”
“Abang menghina saya ke bang?”
“Kau terasa terhina ke? Elok sangat kau ada perasaan macam tu. Jadinya kau bolehlah ubah apa yang patut. Terus terang aku cakap yang aku tak suka perempuan ni. Aku suka yang betul-betul perempuan. Tak adanya nak pakai-pakai macam ni!”
“Abang!”
“Aku nak tahu kenapa kau boleh ada dekat sini? Jawablah!”
“Sebab saya dapat tahu abang nak datang sini! Saya datang sini memang nak cari abang! Saya takut abang dengan perempuan lain,”
“Ya... memang dia dengan aku. Akulah perempuan itu,” Salwa mencelah setelah tiba di situ.
Roy segera menoleh dan pegangan pada tangan Fazry Kamal terlepas serta-merta. Roy terdiam dan tidak berkata apa-apa. Salwa terus bersilang tangan dengan Fazry Kamal di sisi. Salwa berkepit dengan Fazry Kamai sambil tersenyum sinis memandang Roy dan sekilas Salwa memandang Fazry Kamal pula.
“Dia ni teman lelaki aku dan kau jangan nak ganggu dia, faham? Tak lama lagi kami berdua akan kahwin, so... jangan ganggu kami lagi yang nak bersuka ria di sini,” kata Salwa dengan penuh egois.
“Kau?!”
“Ya aku!”
“Macam mana kau boleh jadi kekasih Fazry pula? Pagi tadi aku nampak kau dengan lelaki lain,” tanya Roy terpisat-pisat.
“Lelaki tu pun suami aku juga. Eh bukan, lelaki tadi tu abang aku. Boleh tak kau jangan ganggu kami lagi? Kau kata nak balik, aku bagi duit seratus ringgit pun kau tak nak. Barangkali kau nak seribu ringgit tu kan?” Salwa terus mengambil sejumlah wang untuk Roy di dalam tas tangan sambil diperhatikan Fazry Kamal yang langsung tidak menduga bahawa Salwa akan muncul. “Nah!” Salwa menghulurkan wang satu ribu ringgit kepada Roy.
Roy hanya melihat sahaja wang satu ribu ringgit itu dihulurkan di hadapan mata. Roy serba salah mahu mengambilnya atau pun tidak. Roy rasa dipedayakan. Roy begitu tertekan. Hendak atau pun tidak Roy terus mengambilnya. Fazry Kamal terkejut melihat Salwa memberikan wang tersebut kepada Roy. Dia tidak tahu kenapa Roy layak menerima wang sejumlah itu?
“Ni? Duit satu ribu ringgit yang kau bagi ni adalah untuk aku pergi dari sini? Duit ni juga kau mengaibkan aku? Dan dengan duit ni juga kau mahu merampas Fazry Kamal daripada aku?” Roy melambai-lambaikan wang tersebut di hadapan wajah Salwa. Salwa masih terus senyum sinis. “Jangan harap!” kata Roy lagi sambil melemparkan wang itu tepat mengena wajah Salwa lalu berselerakan wang kertas sejumlah satu ribu ringgit itu ke tanah. Salwa terperanjat dan tidak menyangka Roy akan berbuat sedemikian. Roy terus berlalu meninggalkan mereka berdua.
Fazry Kamal memerhatikan langkah Roy yang tergesa-gesa itu. Fazry Kamal jadi tidak keruan melihat sepupunya diperdayakan dengan wang ringgit daripada Salwa. Salwa ketika ini memnadang wang yang diberikan kepada Roy berteraburan di atas tanah itu.
“Bodoh betul perempuan sewel tu! Aku bagi duit dia tak nak!” Salwa mengutip semula wang itu.
“Kenapa kau bagi wang pada dia?”
“Siapa dia tu?”
“Dia...”
“Siapa?”
“Sepupu aku,”
“Oh... sepupu kau yang tergila-gilakan kau? Orang macam kau pun ada lagi ke perempuan yang berminat? Kalau akulah kan langsung aku tak akan pandang orang macam kau yang telah menghancurkan martabat kaum wanita,” bidas Salwa.
‘Kau sendiri pun apa kurangnya. Jangan nak mengata orang lain. Diri kau pun bukannya baik sangat malah lebih busuk dari air longkang,’ sindir Fazry Kamal dalam hati.
Fazry Kamal masih tersentak. Salwa telah siap mengutip segala wang kertas itu. Salwa terus berdiri semula lalu merenung wajah Fazry Kamal lama. Fazry Kamal mengeluh halus. Dia terasa diperli oleh Salwa. 
“Kau ni kenapa? Kau kenapa bagi wang dekat dia?” sekali lagi Fazry Kamal bertanya.
“Kenapa aku bagi wang dekat dia? Hah! Kau tahu tak yang perempuan tu dah ganggu Rashid?! Perempuan sewel tu telah mengugut suami aku dan sekiranya dia pula mendapat tahu siapa maka aku teruklah nanti! Aku tak nak gara-gara perempuan itu rancangan kita akan gagal! Kau faham tak? Aku pun hairan macam mana kekasih kau tu boleh ada dekat sini?” Salwa begitu bimbang sekiranya semua ini akan diketahui oleh orang luar. Salwa tidak  mahu ia musnah begitu sahaja. Impian untuk melihat Zarina merana mesti diteruskan walau apa cara sekalipun.
“Dia bukan kekasih aku!”
“Tapi dia suka pada kau kan?”
“Tapi aku tak suka dia!”
“Actually, I don`t care about your feel. Sekarang ni aku nak kau jalankan kerja kau,”
“Susah! Aku nak kau batalkan sahaja semua ni!”
“Okey Aku boleh batalkan semua ni tapi kau kena ingat tentang Fahizal...” Salwa tetap memerangkap Fazry Kamal. Fazry Kamal tersentak lagi bila nama itu disebut-sebut lagi, “Dan Zarina, maksud aku... adik Zarina...” sambung Salwa lagi.
“Kenapa kau mesti libatkan aku dalam semua ni?!! Kenapa kau dan Rashid perangkap aku?!” Fazry Kamal tertekan.
“Pada mulanya aku tak nak! Tapi Rashid dah pilih kau! So? Aku ikut sahaja,”
“Aku yakin semua ni adalah idea kau! Rashid tak akan rancang benda-benda bodoh ni,”
“Apa kau lupa ke yang kes kau yang dulu tu? Dia juga boleh buat apa sahaja Fazry... termasuk membunuh kau!”
“Kau jangan nak ugut aku!”
“Perlu ke aku ugut kau sedangkang kau sendiri dalam keadaan yang tidak selamat. Cubalah bercakap pakai otak, jangan pakai kepala lutut kau tu. Kalau aku tak selamatkan kau tadi entah-entah perempuan tu dah ganyang kau,”
“Dia tetap perempuan,”
“Dia ada geng!”
“Kau pun takut?”
“Aku cuma kasihan pada kau sahaja dan aku tak serta kawan-kawannya campur tangan dalam hal ni. Kalau boleh biarlah dia pergi dari sini. Aku dengar dia datang sini sebab kau. Terlalu cinta agaknya sampai sanggup ikut kau dari jauh, ish ish ish,” sinis Salwa lagi. “Jangan cakap banyak, jom kita pergi makan... sayang...” sambung Salwa dan terus ketawa halus.
“Ah!”
“Sabar....apa kata kita ubah rancangan. Rancangan lama untuk memerangkap kau kena tangkap khalwat tu terlalu simple dan biasa orang buat. Semua ni sebab sepupu kau ada dekat sini jadi agak susah untuk kita teruskannya maka kita berdua buat planning baru. Aku sanggup bayar kau lebih dari apa yang Rashid janjikan dengan kau dan kau jangan beritahu Rashid tentang rancangan baru ni nanti,” ujar Salwa memancing Fazry Kamal.
“Jadi kau nak ubah semuanya? Adakah kau pasti?” Salwa terus mengangguk. “Okey baiklah aku tak akan beritahu Rashid mengenainya asalkan kau dapat penuh permintaan aku,” sambung Fazry Kamal lagi sambil memandang tubuh Salwa.
“Kau jangan nak mengada-ngada! Aku takkan berikan diri aku!” tegas Salwa.
“Bertenang... Aku acah sahaja. Apa idea kau? Asalkan jangan membunuh sudah,” awal-awal lagi Fazry Kamal sudah mengingatkan Salwa tentang hal sedemikian.
“Memang itu yang seharusnya,”
“Kau dah gila ke? Kenapa kau patut bunuh Zarina? Kalau kita tertangkap bagaimana? Kau jangan fikir untuk mencipta kematiannya sebagai satu kemalangan, aku tak sanggup nak tengok mayatnya. Dia tu baik Salwa... janganlah sampai nak membunuh,” Fazry Kamal seakan tidak bersetuju.
“Kau ni belum apa-apa dah menggelabah. Kau ni ada otak ke tak ada otak ni?” tempelak Salwa.
“Aku berotaklah ni!” balas Fazry Kamal geram.
“Kalau kau ada otak jadi kau gunalah otak kau tu. Kalau aku bunuh Zarina apa yang aku dapat? Aku hanya akan dapat kebencian Rashid sahaja kalau dia tahu dan aku pasti akan masuk penjara. Kalau kita nak membunuh sekalipun takkan bunuh dekat sini pula! Kau ni pun satulah... dendam aku tak akan terbalas kalau aku bunuh Zarina macam tu sahaja. Aku nak dia terseksa perlahan-lahan,” balas Salwa mengumam geram pada Fazry Kamal.
“Apa yang kau fikirkan?” tanya Fazry Kamal pula yang masih tidak mengerti apa yang sedang berlegar di kotak fikiran Salwa saat ini.
“Nanti sama-samalah kita fikir,”
Fazry Kamal berkerut dahi sambil berjalan bersama Salwa. Tangannya dikepit oleh Salwa lagak sebagai sepasang kekasih. Sesampainya mereka di hadapan Rashid dan Zarina yang sedia menunggu, mereka berdua buat wajah biasa malah menguntum senyuman yang sengaja dipalsukan. Zarina bertanya pada mereka dan hanya dijawab salah faham sahaja. Memang sejak awal lagi gerak-geri mereka diperhatikan. Tidak berapa lama selepas itu lelaki yang bermisai tebal dan berjambang lebat itu bangun dan meninggalkan kawasan restoran. Rashid menoleh sekilas. Fazry Kamal memerhatikan wajah Rashid yang memandang lelaki berkenaan dengan ekor mata yang tidak berkalih.

Secangkir Madu Merah (Bab 29)

Semi Suite beach front
Perhentian Island Resort, Big Island
12:15 PM

Zarina tarik muka ketat-ketat. Menunjukkan sikap tidak puas hati. Tiada senyuman terlakar di wajahnya saat ini. Barangkali sedang sarat menahan rasa marah. Kesabarannya tercabar juga. Dia ingin bertanya pada suaminya. Dia benar-benar bersedia untuk bertanyakan hal berkenaan, hal resit itu pada Rashid. Suaminya perlu menerangkan segala-galanya. Biarlah dirinya tahu akan jawapan itu. Tidak lagi dihujani pertanyaan demi pertanyaan yang begitu menyeksakan jiwa raganya selama ini.
Usai Rashid mandi, Zarina menghampirinya lalu berdiri di hadapan Rashid yang sedang mengelap tubuh dengan tuala warna biru.
“Abang...” Zarina berubah wajah pula ketika ini. Dia tidak jadi marah setelah melihat wajah Rashid dihadapan matanya. Barangkali itulah kelemahannya. Dia menjadi selembut-lembutnya hati setelah berhadapan dengan Rashid. Hatinya menjadi cair.
Rashid menoleh ke arah Zarina yang berkerut dahi itu kemudian mengetap bibir. Ada sesuatu yang Zarina ingin sampaikan.
“Janganlah kita bergaduh di sini sayang... selalu benar kita bertengkar, untuk apa sayang?” soal Rashid pada Zarina. Rashid fikir Zarina mahu berperang mulut. Tangan Zarina diramas lembut.
“Kerana kita sering bercanggahan pendapat bang...” Zarina melarikan wajahnya memandang sepi pada lantai bilik vila itu.
“Bukankah itu adalah tandanya kita memerlukan kepastian?” balas Rashid lalu membawa Zarina duduk di birai katil.
“Abang... kepastian itu ada bang tapi sering ditempiaskan dengan curiga... saya sudah banyak bersabar dengan abang, abang suka pulang lewat malam, abang suka marah-marah. Saya tetap bimbangkan abang, entah abang makan atau pun tidak, abang selamat atau pun tidak saya risau abang,” ucap Zarina lembut.
Zarina meluahkan apa yang merusuh di dalam hatinya ketika ini. Suaminya yang tersayang seakan lupa pada dirinya yang berada di rumah sentiasa menanti kepulangan suami setiap kalinya suaminya keluar pergi kerja. Tidak mudah bagi seorang perempuan bergelar isteri menjadi suri rumahtangga yang penuh dengan cabaran. Baru kali ini mereka bercuti bersama-sama. Satu perubahan yang drastik.
“Abang minta maaf... abang tidak pernah curigakan sayang di rumah dengan siapa kita berjiran malah abang tidak pernah halang sayang dari ikut aktiviti sosial dengan jiran kita tu, abang tahu sayang kesepian di rumah tapi kalau dengan Kak Intan tu memang abang kurang suka. Abang dah beritahu sayang semalam kan yang abang tidak berkenan dengan sikap dia tu. Percayalah sayang... abang terlalu banyak kerja di pejabat. Semua itu untuk masa hadapan kita dan masa hadapan anak kita di dalam rahim sayang. Kita bercuti bersama-sama dapat luangkan masa...” Rashid memujuk Zarina yang sarat mengandung lapan bulan itu.
Anak sulung itu sedang membesar di dalam rahim menanti saat dan ketikanya untuk dilahirkan ke dunia yang fana ini. Barangkali itulah ikatan cinta mereka yang terbina. Cinta terpaksa.
Zarina diam membisu tidak membalas ucapan suaminya. Zarina melepaskan keluhan halus lalu tanpa disedari air matanya yang bersinar itu menitis. Rashid tidak menyedari Zarina sudah berlinangan air mata. Saat dikuis dagu isterinya itu barulah dia tahu Zarina sedang menangis tidak berlagu.
“Kenapa sayang menangis?” suaminya menyoal pada dirinya ketika ini. Memang terlalu banyak keraguan di dalam hati Zarina namun sukar untuk dia melafazkannya.
Dengan perut yang membesar itu Zarina bangun dari birai katil bersama air mata bergenang itu sambil diperhatikan oleh Rashid yang terpisat-pisat sendiri. Zarina melangkah berat ke meja solek lalu dia duduk menghadap cermin.
“Abang...” Zarina memanggil lembut.
Rashid yang mendengar lirih nada itu terus bangun dan mendapatkan isterinya. Lalu bahu isterinya itu diramas lembut kemudian ubun kepala isterinya diusap perlahan-lahan dan dibelai-belai dengan penuh kasih sayang. Rashid ingin mendengar apa yang ingin diperkatakan oleh Zarina.
“Apakah Ina tidak cantik di mata abang?” tanpa diduga oleh Rashid, soalan itu yang ditanya oleh Zarina. Rashid terkejut mendengar pertanyaan tersebut yang selama ini tidak pernah terpacul keluar dari bibir lembut itu.
“Sayang... awaklah isteri yang paling cantik dalam hati abang,” balas Rashid sambil merapatkan pipinya ke pipi isterinya.
“Benar ke bang?” Zarina mahukan ketulusan dan kejujuran suaminya. Semakin kuat getaran di dalam jiwanya ketika ini.
“Benar sayang... kenapa sayang tanya begini?” Rashid membuat wajah biasa sahaja.
“Kalau benar kata abang kenapa abang kecewakan saya?” Rashid terkejut lagi mendengar ucapan isterinya.
“Apa yang sayang cakap ni?”
“Abang ada perempuan lain kan?” akhirnya Zarina meluahkannya juga persoalan yang menyeksa nalurinya selama ini. Zarina menduga pasti dari hati. Naluri sebagai isteri dapat merasakannya.
Resit yang disimpan oleh Zarina terus dikeluarkan dari tas tangan di atas meja solek itu. Tidak mudah bagi Zarina melakukan perkara itu setelah dia mengumpul keberanian untuk bertanya. Setelah puas dia berfikir baru sekarang dia tergerak hati untuk bertanya.
“Awak cakap apa ni?”
 “Ini apa bang boleh tolong jelaskan?” Zarina terus menunjukkan sesuatu pada Rashid tanpa menjawab pertanyaan suaminya itu.
“Itu kertas sayang...” Rashid menjawab sambil memerhati wajah Zarina yang berubah itu dan Rashid tidak menyangka Zarina telah menghidunya. Tetapi adakah Rashid akan berterus terang sahaja tanpa menjalankan rancangannya itu memandangkan Zarina sendiri sudah bertanya? Rashid berkira-kira sama ada dia perlu berdalih lagi atau pun tidak.
“Ini memang kertas... tapi apa maknanya ni bang...?” tanya Zarina lagi
“Semua apa ni sayang? Abang tak fahamlah...” balas Rashid sambil mencapai baju di dalam almari.
Zarina mengekori langkah Rashid. Dia mahukan jawapan dengan segara. Dia mahu Rashid melihatnya terlebih dahulu.
“Tengok ni bang... tengoklah,” pinta Zarina.
Rashid mencapai kertas itu. Kertas di tangan Zarina diambil lantas diperhatikan. Zarina tetap menanti jawapan.
“Resit hotel di Thailand? Kenapa? Awak pergi Thailand ke? Kenapa abang tak tahu pun?” Rashid berdalih. Mereka jawapan yang sangat menyakitkan hati Zarina ketika ini.
“Tolonglah abang... jangan permainkan saya,”
“Main-main apa pula? Mana abang tahu apa-apa tentang resit tu,” balas Rashid sambil memberikan semula resit berkenaan. Rashid terus bangun dan menuju ke almari mendapatkan baju Polo warna hitam untuk dipakai. Pakailah apa sahaja memang sesuai dengan tubuh Rashid yang sasa itu.
Zarina mengumam geram. Kesabaran mula menghilang setelah keresahan melanda sekian lama. Dia sudah tidak tenteram lagi. Jiwanya kacau hatinya berserabut tidak tentu arah. Dia cuba mempamerkan ketenangan namun tidak pernah terlakar di wajahnya saat ini. Dahinya berkerut. Sungguh pun begitu dia cuba seboleh yang mungkin untuk berlembut. Sifat wanita yang ada padanya dijaga. Namun sejauh manakah kesabarannya mampu pergi?
“Untuk apa abang ke sana?”
“Ke mana?” sekali lagi Rashid bertanya soalan yang menyakitkan hari Zarina. Pertanyaan Rashid itu seolah-olah cuba berselindung. Rashid mempamerkan wajah polos bagi mengelirukan Zarina.
“Saya jumpa resit ni dalam kot kerja abang dekat rumah. Kalau bukan resit abang resit siapa lagi? Mustahil ada orang lain yang masukkan ke dalam kot abang melainkan tangan abang sendiri,” ujar Zarina yang sememangnya tidak berpuas hati semenjak dia terjumpa resit berkenaan. Bertambah syak wasangkanya itu biarpun cuba ditepis beberapa kali supaya kepercayaannya pada suaminya sendiri tidak akan pupus.
“Oh...” Rashid baru teringat. “Baru abang teringat, resit tu... kawan abang yang tercicir... kebetulan ternampak jadi abang simpan. Tak sempat beritahu dia kerana dia dah pergi dulu,” Rashid memberi alasan.
“Siapa kawan abang tu?”
“Ini resit... resit...”
“Siapa bang? Beritahu resit siapa?”
“Ini Fazry Kamal yang punya... eloklah kalau dah ada pada sayang, bolehlah abang pulangkan dekat dia. Manalah tahu dia nak claim dekat syarikat dia bekerja tu. Maklumlah resit ni bukti untuk buat claim nanti. Abang terlupa nak pulangkan dekat dia hari tu. Kalau sayang tak percaya abang sayang boleh tanya Fazry Kamal berkenaan resit ni,” kata Rashid.
“Mana satu ni bang? Mula-mula kata tak tahu, lepas tu kata nak beri tapi dia pergi dulu, sekarang terlupa pula? Abang jangan nak kenakan saya bang...” Zarina semakin keliru dengan alasan yang diberikan oleh Rashid. Wajah Rashid berubah saat ini. Zarina merasakan ada sesuatu yang dirahsiakan oleh suaminya itu.
‘Kenapalah aku susah sangat ingin katakan bahawa Salwa itu adalah madu kau wahai Zarina? Lidah aku susah untuk menyebutkan. Lidah aku keras. Kenapa begini? Jika dulu untuk aku hamburkan kata-kata yang benar-benar jujur begitu senang dan mudah tetapi saat ini ia bagaikan terhalang. Aku sendiri tidak mengerti apatah lagi untuk terus begini,’ detik hati Rashid sambil memandang Zarina lama.
“Sayang... jangan fikir yang bukan-bukan. Kita ke sini bukan untuk memikirkan semua ini. Kita ke sini untuk hiburkan hati dan tenangkan fikiran. Kenapa sayang seperti tidak percayakan abang?” soal Rashid sambil memaut bahu Zarina.
“Abang ... tolonglah jujur dengan saya bang... abang ada perempuan lain ke? Siapa bang? Boleh saya tahu siapa orangnya?”
“Apa yang awak merepek ni? Abang tak ada sesiapa selain awak. Sudahlah jangan fikir lagi. Cepatlah kita pergi lunch, lepas tu nanti kita nak pergi skuba pula” balas Rashid pula.
“Apa abang ni skuba pula? Saya kan mengandung... abang bolehlah sebab abang tak mengandung,” Zarina mengeluh halus.
Rashid memujuk Zarina terus mendakap Zarina. Perasaan Zarina dibuai begitu sahaja. Sungguh berpadu jiwa itu.
“Abang bergurau sahaja sayang...”
“Abang... betul ke abang tak ada perempuan lain?”
“Ya sayang... betul...” balas Rashid menafikan hakikat sebenarnya.
‘Argh!! Susahnya untuk aku beritahu kau wahai Zarina... aku terasa bodoh kerana memperbodohkan kau,’ Rashid memaki hamun diri sendiri di dalam hati kerana gagal untuk berlaku jujur.

Secangkir Madu Merah (Bab 28)

Monday, April 4, 2011

Perkara yang paling jahat dalam cinta adalah kecurangan
kesetiaan diragut oleh kelat dan keruhnya sekeping hati

Rashid ingin bersendirian buat seketika. Fazry Kamal telah pulang ke vila. Tidak berapa lama lagi mereka akan makan tengah hari pula. Rashid saat ini bingung sendiri sebentar lagi barulah dia akan balik ke vila untuk mandi. Bajunya sudah kotor gara-gara sikap biadap perempuan lasak itu.
Rashid diburu rasa serba salah. Barangkali dalam dilema cinta. Mungkin juga dia tidak tergamak melakukan perkara yang sangat kejam dalam hidupnya untuk terus melukakan hati wanita suci seperti Zarina. Kala ini juga bayangan perempuan lasak itu menjelma di mata. Seakan sedang menyindir dirinya dengan menayangkan pemutar skru dan bersedia mencalarkan keretanya.
“Kau tunggulah sedikit waktu lagi. Aku pasti akan ajar kau wahai perempuan yang biadap! Aku tak pernah diperlakukan seperti itu sebelum ini. Tiada sesiapa pun yang berani berbuat sedemikian kecuali kau seorang,” omel Rashid mengumam geram sendiri di pondok tempat dia sedang duduk ketika ini. Sepatutnya dia duduk minum bersama dengan Fazry Kamal tetapi tidak jadi. Dia begitu melayani perasaan benci dan dendam yang mengundang tiba itu.
Dalam masa yang sama, dia mula terfikirkan patutkah dia berbuat sedemikian? Mengkhianati cinta Zarina. Sebenarnya dia dapat merasai cinta Zarina itu tetapi sukar untuk dia jatuh cinta. Susah dan tidak semudah membeli barangan di kedai runcit, mendapatkan barangan yang dicari terus membayarnya di kaunter. Ini dalam cinta, hati bukan seperti itu. Hati tidak boleh dijual beli. Mencubanya juga jauh sekali. Ini soal hidup bukannya berfoya-foya seperti sebelum ini.
Kini cintanya telah kembali kepada Salwa. Cintanya yang  sarat dengan kepura-puraan terhadap Zarina terus pudar. Cinta terhadap Salwa pula sentiasa bersinar terang-benderang. Dia terpaksa menghancurkan harapan ayah dan ibunya. Dia sebenarnya tidak pernah bahagia dengan perkahwinan bersama Zarina sejak dua tahun lalu. Semua itu adalah hipokrit semata-mata.
Perkahwinan yang terpaksa. Dia mahu menikahi Salwa, bukannya Zarina. Ayahnya telah merosakkan impiannya untuk berumahtangga dengan Salwa. Maka dia tiada pilihan lain. Dia terpaksa menikahi Salwa atas dasar cintanya secara sembunyi kerana cinta mereka berdua terhalang oleh orang tua masing-masing. Rashid tidak mengerti kenapa ayahnya menghalang dirinya dari berkahwin dengan Salwa? Kenapa harus Zarina yang mesti menjadi isterinya? Oleh kerana tidak mahu menghampakan orang tua, dia terpaksa juga menikahi Zarina hanya kerana dipaksa.
Kenapa mereka harus memperjudikan perasaan Rashid? Orang tuanya tidak pernah memikirkan perasaan dirinya ketika itu. Mengapa harus dia? Kenapa tidak orang lain? Menikahi anak angkat orang gaji sendiri yang selepas itu menjadi orang gaji pula? Rashid tidak pernah menduganya.
Dia terkenangkan satu peristiwa lalu. Saat itu dia terlihat insan yang terkocoh-kocoh mahu cepat mengejar masa untuk ke kolej. Mungkin waktu itu benar-benar insan itu terlambat. Insan itu mahu melintas jalan mendapatkan teksi.
Ketika itu Rashid bimbang sekali. Perasaan itu muncul dengan tidak semena-mena. Dia melihat insan itu mahu melintas jalan. Zarina... zarina melihat kiri dan kanan dan ketika tiada kenderaan melintas dia mula mahu melintas jalan. Rashid berdiri tidak jauh darinya. Zarina tidak perasan akan kewujudannya ketika itu. Tiba-tiba, di saat Zarina sedang melangkah, keluar sebuah kereta dari sebuah simpang meluru pantas. Rashid terkejut melihat keadaan itu.
Dia tahu dapat menjangkakan bahawa pemandu kereta tersebut memandu dalam pengaruh alkohol memandangkan kereta itu yang terhuyung-hayang. Dengan pantas Rashid berlari selaju-lajunya seperti seekor cheetah yang mengejar mangsanya. Dia terus menolak tubuh Zarina terus terpelanting jatuh bersama dengan dirinya juga. Zarina terpisat-pisat sendiri. Siku Zarina terluka.
“Lain kali kalau kau nak melintas jalan tolong hati-hati! Kalau kau mati, papa dan mama aku juga akan susah. Keluarga angkat kau pun dah lama tak ada, tinggal kau sahaja. Kau pun nak mati dalam kemalangan juga ke?”
Itulah ucapan yang dia paculkan buat Zarina namun dia tidak pula menghantar Zarina ke hospital mahupun ke klinik kerana menyangkakan bahawa itu adalah kecederaan ringan. Rashid terus meninggalkan Zarina di situ. Rashid tidak pernah tahu pertolongan yang tidak disengajakan itu begitu bererti sekali bagi Zarina. Rashid tidak memahaminya. Walaupun Zarina ketika di rumah sering dibuli oleh Rashid namun Zarina tidak pernah kisah.
“Tolong ambilkan aku ais,” Zarina pun pergi ambil. Setelah datang kembali, “Ambilkan gelas satu lagi,” Zarina pergi ke dapur mengambilnya. Usai itu Zarina kembali lagi, “Alah... aku lupa... sudu, sudu... bawakan aku sudu ke mari, lepas tu bawa mesin basuh sekali,” Rashid terus ketawakan Zarina.
“Kenapa lambat buka pintu?” ini pula saat Rashid pulang lambat ke rumah. Zarina jugalah yang sering buka pintu untuknya. Zarina selalu dimarahinya.
Rashid memang begitu sikapnya. Pulang lewat ke rumah menyusahkan Zarina untuk membuka pintu. Semua itu berlaku tatkala Rashid belum tinggal di rumah sendiri dan masih duduk bersama dengan orang tuanya.
“Jauhnya abang termenung?” bayangan yang menjelma di minda terus berkecai setelah disapa oleh satu suara yang dia kenali. Lambat-lambat Rashid menoleh.
“Eh sayang...”
“Kenapa dengan pakaian abang ni?” Rashid terpisat-pisat setelah disoal begitu. Tidak tahu alasan apakah yang perlu diberikan? Otaknya pantas berkerja mereka alasan.
“Tadi ada pelayan restoran tertumpah minuman atas badan abang ni,” balas Rashid memberi alasan setelah Salwa bertanya.
“Macam tu ke? Kenapa tak gantikan pakaian abang tu? Tak macholah pakaian nampak kotor macam tu...” Salwa melabuhkan punggung di sisi Rashid.
Rashid berkerut dahi ketika ini.
“Duduk jauh sedikit, nanti kena gosip,” kata Rashid.
“Biarlah,”
“Kalau Zarina nampak bagaimana?”
“Lagi bagus,”
“Ish!” Rashid mengengsot punggungnya pula menjarakkan diri dari Salwa. Bukannya dia tidak sudi tetapi dia rasakan tidak perlu duduk serapat itu kerana hal sebenar belum lagi terdedah.
Salwa menjuih bibir pada Rashid. Barangkali bengang dengan tindakan Rashid agaknya. Namun Salwa tidak boleh berbuat apa-apa kerana Rashid berhak. Namun selagi rahsia ini belum didedahkan, Salwa tidak akan pernah tenang.
“Abang... lambat lagi ke ?”
“Lambat apa?”
“Lambat lagi ke abang nak beritahu isteri tua abang tu tentang hal kita ni?”
“Sabar boleh tak?”
“Saya dah puas bersabar ni... atau abang nak saya beritahu sendiri ke? Kalau saya yang beritahu nanti teruk abang dikerjakannya,”
“Kenapa pula?” Rashid bertanya dengan wajah penuh ingin tahu. Seakan ada yang tidak kena sahaja dirasakannya.
Salwa tetap mendesak. Mendesak agak disegerakan segalanya. Rashid masih berbasa-basi lagi ketika ini. Dia sendiri yang melengah-lengahkan keadaan ini. Apakah masih sayangkan Zarina? Atau memang tidak tidak sampai hati? Barangkali itulah yang bermain di dalam kotak fikiran Rashid ketika ini.
Belum pun sempat Salwa menjawab, ada orang datang menganggu. Mereka datang berempat. Semuanya berwajah bengis. Siapa ada dia antara mereka bawa kayu besbol lagi. Mereka merenung ke arah Rashid dalam-dalam.
“Chalo betty,” salah seorang daripada mereka memanggil Salwa.
Ada dari mereka menunjal kepala kawan sendiri.
“Buat malu sahaja kau guna ayat hidustan hei dekat sini,” ucapnya.
“Sudah!” bentak Roy, “Kita datang dekat mamat ni sebab kita kena berkeras supaya dia bayarkan juga ganti rugi aku tu!” kata Roy pada kawan-kawannya.
Mereka mengangguk faham.
“Bro! Aku nak kau bayar juga! Duit aku tinggal sikit sahaja ni. Aku nak balik hari ni jugalah. Bosanlah lepak dekat sini asyik nampak muka kau saja. Pergi sana nampak muka kau pergi bersiar-siar dekat sini pun nampak lagi muka kau sedang buat date-lah pula. Awek lawa  dan cun pula tu. Kalau awek dah lawa takkan duit pun tak ada kut? Bayarlah bukan banyak mana pun, seribu ringgit cukuplah...”
“Kau ni kalau tak ganggu hidup aku tak boleh ke?” marah Rashid.
“Siapa mereka ni bang?” Salwa mencelah memaut lengan Rashid.
“Abang...? fuyoo abang? Cik... lelaki macam dia ni cik nak panggil dia abang ke? Baik cik cari balak lainlah. Balak cik ni kaki khianat barang orang. Balak cik ni dah calarkan motor aku beb,” beritahu Roy sambil menayangkan kayu besbol yang entah dari mana didapatkannya.
“Betul ke?” tanya Salwa kehairanan.
“Buat apa aku nak tipu? Saksi kawan-kawan aku semua ni,” balas Roy.
“Jangan percaya cakap mereka ni. Abang tak ada masa  nak buat kerja-kerja tu. Percayalah cakap abang ni sayang...”
“Betul ke abang aku ni khianat motor kau?”
“Berapa kali aku nak cakap? Bukti ada dengan kami, kami boleh tunjuk,”
“Okey tak apa, nah ambil ni RM100 buat tambang... nanti bakinya dibayar kemudian,”
Roy menahan perasaan bengang. Terasa diperbodohkan pula. Salwa menghulurkan wang bernot RM100 pada Roy yang enggan mengambilnya. Rashid cepat-cepat merampas wang itu daripada tangan Salwa. Roy merasa Salwa buat lawak yang tidak kena dengan keadaan.
“Awak jangan bagi satu sen pun duit dekat dia ni,”
“Kau ingat aku lapar sangat ke duit RM100 tu! Aku nak seribu!” tegas Roy.
“Kau nak aku panggil pengawal keselamatan yang jaga tempat ni ke? Kalau kau nak kena tangkap aku akan buat begitu. Aku akan mengadu bahawa kau menganggu ketenteraman awam! Faham?!” bentak Rashid.
“Sudahlah tu bang... kita datang sini bukan nak berhadapan dengan mereka ni. Tak apalah biar saya tolong bayarkan dulu,”
“Abang cakap tak payah tak payahlah! Awak ni degillah,”
“Habis tu?! Abang nak mereka pukul abang ke?”
“Awak ni kenapa? Degil?!” Rashid dan Salwa bertegang urat pula. Roy dan kawan-kawan garu kepala. Keadaan bertambah parah. Rashid tetap dengan pendiriannya begitu juga dengan Salwa. Mereka bertekak di situ.
“Cukup!!!” jerit Roy.
Rashid dan Salwa terdiam.
“Aku rasa kau belum bersedia membayar ganti rugi dekat aku. Sehari kalau kau lambat bayar! Aku kenakan bunga bermula dengan harga RM1000 ringgit. Bunga 20%!”
“Banyaknya? Kau tak kasihani dia ke?” kawan Roy berbisik.
“Itupun belum tentu dia nak bayar... biarlah kita gertak dia,” balas Roy dekat telinga si kawan itu secara berbisik juga.
“Dengar tu!” kata Roy, “Jom geng! Kita blah, jom kita pergi menyelam skuba lagi bagus. Kalau bosan nanti kita cari dia lagi. Biar dia tidak aman!” ajak Roy pada kawan-kawan.
Rashid berkerut dahi mengenangkan sikap perempuan lasak itu. Salwa menggeleng berkali-kali.
“Abang kenal dekat mana budak-budak tu? Mereka ke yang kacau abang sebelum ini? Masa abang sedang gantikan tayar kereta abang tu?” Salwa bertanya di saat Rashid mengehempas berat punggungnya di kerusi.
“Awak diam boleh tak? Jangan bagi saya pening...” larang Rashid.
Salwa tetap juga ingin tahu. Salwa tidak senang hati jika tidak mengetahui jawapan daripada Rashid.
“Jawablah pertanyaan saya tu bang... betul ke tidak?”
“Ya mereka tu yang ganggu abang dan asyik minta duit sahaja!”
“Abang berhutang dengan dia ke? Tapi betul ke abang calarkan motosikal dia?”
“Awak pun percaya cakap dia ke?”
“Kalau itu adalah benar,” balas Salwa.
“Awak lebih percayakan perempuan sewel tu dari cakap abang ke?” Rashid memberi kata dua. Perempuan bernama Roy itu digelarkan sebagai perempuan sewel pula.
Salwa menarik nafas dalam-dalam.
“Sudah tentulah saya percayakan abang...” balas Salwa menguntum senyuman lalu melentokkan kepalanya pada bahu Rashid.
“Tepilah! Nanti ada orang nampak,” larang Rashid lagi. Salwa memuncungkan mulut. Barangkali tersentak dengan ucapan Rashid itu.
Tidak berapa jauh dari Rashid dan Salwa, mereka iaitu Roy dan kawan-kawan telah ditahan oleh seseorang yang bemisai dan berjambang lebat. Entah siapalah orang yang sedang menahan mereka berempat itu dari luar penglihatan Rashid dan Salwa ketika ini?

CERPEN TERKINI

 

© Copyright ekarya2u 2010 -2011 | Design by Herdiansyah Hamzah | Published by Borneo Templates | Powered by Blogger.com.