Advertise

Secangkir Madu Merah (Bab 30)

Tuesday, April 5, 2011

“Berhenti! Berhenti!” kedengaran suara Roy menjerit meminta orang yang melarikan diri itu berhenti. Rashid, Zarina dan Salwa terpinga-pinga melihat Fazry Kamal melarikan diri. Rashid hairan melihat perempuan itu ada di restoran yang menyediakan bufet tengah hari ini. Kedamaian terasa hilang buat seketika kerana keadaan kelam-kabut menjelma dengan tiba-tiba. Fazry Kamal melarikan diri seperti lipas kudung.
Semua orang yang ada dekat situ berpandangan sesama sendiri. Suasana sedikit kecoh. Fazry Kamal menghilang. Rashid tidak puas hati dia ingin melihat apa yang telah terjadi. Fazry Kamal baru sahaja mahu melangkah masuk ke dalam restoran tetapi terserempak pula dengan Roy.
“Kenapa perempuan sewel tu kejar Fazry?”
“Eh abang ni tak baik cakap macam tu,” tegur Zarina lalu menarik tangan Rashid supaya duduk semula.
“Itukan perempuan yang kacau awak kan Rashid?” Salwa mencelah.
“Kacau?” Zarina terkejut.
“Maksud aku, perempuan tu nak pow duit dari Rashid ni,”
“Tapi kenapa kau sedikit pun tak risaukan fasal Fazry Kamal yang kena kejar tu?” soal Zarina. Salwa terus mempamerkan wajah cemas.
“Eh! Aku kena pergi tengok ni. Entah-entah perempuan sewel tu dah belasah kekasih aku. Kalau dia berani buat macam tu aku belasah dia pula. Jangan ingat dia lasak aku takut!” Salwa buat-buat marah lalu bangun mencari ke mana Fazry Kamal menghilang.
Di meja makan itu tinggal Zarina dan Rashid berdua sahaja. Masing-masing membisu pula melayani fikiran masing-masing. Zarina tidak pula melihat wajah Roy yang sedang mengejar Fazry Kamal itu. Apa yang diperhatikan Fazry Kamal telah lari dan ada seseorang mengejarnya. Dari pandangan belakang tidak terlihat wajah.
“Makanlah...” kata mereka serentak.
Mereka berdua terus ketawa kecil. Masing-masing buat-buat bahagia. Mereka tidak mengerti apa itu kebahagiaan. Bagi mereka apabila wujudnya perkahwinan maka kebahagiaan akan lahir. Tiada makna sesebuah perkahwinan itu tanpa tolak ansur dan kesefahaman malah tiada ertinya cinta itu tanpa ketulusan dan kehalusan jiwa yang paling dalam.
“Saya tak faham kenapa dengan Fazry Kamal tu?” soal Zarina mengenangkan kembali hal tadi.
“Abang pun tak faham juga. Jangan-jangan tu scandal dia kut?” balas Rashid sambil menyuapkan makanan ke mulut Zarina. Zarina membuka mulut. Terasa gembira bila Rashid menyuap makanan itu ke dalam mulut. Rashid sengaja menyuapkan makanan ke dalam mulut Zarina. Dia ingin kelihatan seperti seorang lelaki yang begitu romantis di mata Zarina. Dia ingin mengembalikan cinta sepahit hempedu menjadi taman bunga yang terindah. Dia juga mahu seagalanya berjalan baik tetapi setelah melihat keadaan Fazry Kamal itu ternyata sukar untuk semua itu diselesaikan.
“Bagaimana dengan Salwa?”
“Abang tak pasti,” balas Rashid.
“Saya harap Fazry bukan orang seperti itu,”
“Apa maksud sayang ni?”
“Ya... curang... curang dengan kekasih dan menyimpan orang lain. Itu belum kahwin lagi, kalau sudah berkahwin tidak tahulah bagaimana jadinya,” ujar Zarina.
Rashid yang baru sahaja menyendut coconut shake tersedak dengan tiba-tiba. Tidak disangkanya Zarina akan beranggapan begitu.
Zarina memerhati Rashid.
“Abang ni, gelojoh betul ketika minum,”
“Sedap... minuman ni sedap,” kata Rashid sambil mengelap bibirnya setelah dihulurkan tisu kepadanya oleh Zarina.
“Ish abang ni...”
‘Betul apa yang telah Fazry Kamal katakan, bahawa semua ini tidak mudah diselesaikan setelah mendapat halangan dan aku dapat rasakan perempuan itu adalah sepupunya. Nampak gayanya semakin rumit pula kerja aku. Ini membuatkan aku seperti tersepit jari di celah pintu sahaja. Zarina pula sudah mula mengesyaki aku. Bagaimana aku boleh terlupa tentang resit itu? Mujurlah aku dapat mereka alasan sepantas kilat. Syukurlah dalam keadaan begini Tuhan masih menolong aku. Dalam perkara jahat begini pun aku masih dibantu. Tuhan betul-betul sayangkan aku mahu menyelamatkan cinta aku terhadap Salwa...’ bisik hati Rashid sambil menguntumkan senyuman.
Rashid masih bernasib baik kerana Roy tidak nampak dirinya bersama Zarina yang berada di situ. Kalau tidak sudah pasti akan rosak semua ini. Mengapalah perempuan itu mesti wujud di antara mereka? Rashid menahan bengang. Zarina pula memaculkan ucapan yang boleh membuatkan dia merasakan bahawa Zarina seakan mengetahui atau lebih mudah dikatakan Zarina sedang menelaah apa yang telah terjadi. Pendek kata, Zarian sedang menguji. Itulah yang Rashid rasakan saat ini.
Dalam masa yang sama, Rashid merasakan pula setiap tindak-tanduknya diperhatikan dari jarak dekat sahaja. Seperti ada orang lain lagi di antara mereka. Rashid cepat menoleh ke kiri lantas dia terlihat seorang lelaki yang berkumis tebal bersama jambang yang lebat terus membelek majalah buat-buat tidak tahu.
‘Eh? Siapakah dia? Dari tadi aku merasakan bahawa dia sedang memerhatikan aku dan Zarina.’ Rashid bertanya pada diri sendiri di dalam hati.
“Abang... kenapa ni? Nampak macam kehairanan sahaja?” soal Zarina sambil mengunyah nasi putih bersama ulam-ulaman. Dalam kehamilan itu Zarina terpaksa berpantang makan benda-benda yang boleh memudaratkan kandungannya.
Rashid menoleh semula ke arah Zarina. Dia memalsukan senyuman lantas meramas lembut tangan kiri Zarina.
“Tak ada apa-apa sayang. Seronok tengok orang-orang yang ada dekat sini menjamu selera,” kata Rashid memberikan alasan secukup rasa.
“Abang pun makanlah, nanti abang nak bersiar-siar pula kan naik bot?” ucap Zarina pada Rashid yang masih memalsukan senyuman itu.
Rashid masih tidak senang hati. Dia tetap mencurigai lelaki itu. Lelaki yang dikatakan penuh misteri memerhatikan setiap gerak-gerinya. Mengapa ada lelaki seperti itu di sini? Rashid semakin tertekan malah pertanyaan demi pertanyaan menghempuk benaknya yang sarat dengan bebanan bagi meneruskan rancangannya itu. Ternyata tidak mudah. Namun keadaan itu bertukar cemas tatkala Roy sebentar tadi muncul dan membuat huru-hara. Sungguh menyakitkan hati Rashid.
Apakah Rashid patut membatalkan niatnya itu? Segera pulang ke rumah? Atau bagaimana? Rashid tidak dapat membuat keputusan yang terbaik sekarang ini.

***

Fazry Kamal tertangkap. Fazry Kamal sudah penat berlari dan dia berhenti juga setelah dikejar. Tangannya ditarik dan dipegang erat-erat oleh Roy. Fazry Kamal menghela nafas yang termengah-mengah itu. Roy merenung tajam ke arah Fazry Kamal.
“A...abang buat apa de...dekat sini? Kenapa abang tidak pernah ca...cakap yang abang nak bercuti dekat sini? Patutlah bila Roy ta..tanya abang hendak ke mana kelmarin abang diam sahaja. Rupa-rupanya abang datang sini...” tanya Roy yang masih termengah-mengah lagi.
“Kenapa kau pun boleh ada dekat sini Roy? Takkan semua benda abang nak kena beritahu kau?”
“Bukan ke kita berdua akan bertunang bang? Sampai hati abang buat Roy macam?”
“Eh?! Bertunang dengan kau? Cerminlah muka kau tu dulu. Kau tu sepupu aku dan kau tu pula bukannya perempuan nampak macam jantan!”
“Abang menghina saya ke bang?”
“Kau terasa terhina ke? Elok sangat kau ada perasaan macam tu. Jadinya kau bolehlah ubah apa yang patut. Terus terang aku cakap yang aku tak suka perempuan ni. Aku suka yang betul-betul perempuan. Tak adanya nak pakai-pakai macam ni!”
“Abang!”
“Aku nak tahu kenapa kau boleh ada dekat sini? Jawablah!”
“Sebab saya dapat tahu abang nak datang sini! Saya datang sini memang nak cari abang! Saya takut abang dengan perempuan lain,”
“Ya... memang dia dengan aku. Akulah perempuan itu,” Salwa mencelah setelah tiba di situ.
Roy segera menoleh dan pegangan pada tangan Fazry Kamal terlepas serta-merta. Roy terdiam dan tidak berkata apa-apa. Salwa terus bersilang tangan dengan Fazry Kamal di sisi. Salwa berkepit dengan Fazry Kamai sambil tersenyum sinis memandang Roy dan sekilas Salwa memandang Fazry Kamal pula.
“Dia ni teman lelaki aku dan kau jangan nak ganggu dia, faham? Tak lama lagi kami berdua akan kahwin, so... jangan ganggu kami lagi yang nak bersuka ria di sini,” kata Salwa dengan penuh egois.
“Kau?!”
“Ya aku!”
“Macam mana kau boleh jadi kekasih Fazry pula? Pagi tadi aku nampak kau dengan lelaki lain,” tanya Roy terpisat-pisat.
“Lelaki tu pun suami aku juga. Eh bukan, lelaki tadi tu abang aku. Boleh tak kau jangan ganggu kami lagi? Kau kata nak balik, aku bagi duit seratus ringgit pun kau tak nak. Barangkali kau nak seribu ringgit tu kan?” Salwa terus mengambil sejumlah wang untuk Roy di dalam tas tangan sambil diperhatikan Fazry Kamal yang langsung tidak menduga bahawa Salwa akan muncul. “Nah!” Salwa menghulurkan wang satu ribu ringgit kepada Roy.
Roy hanya melihat sahaja wang satu ribu ringgit itu dihulurkan di hadapan mata. Roy serba salah mahu mengambilnya atau pun tidak. Roy rasa dipedayakan. Roy begitu tertekan. Hendak atau pun tidak Roy terus mengambilnya. Fazry Kamal terkejut melihat Salwa memberikan wang tersebut kepada Roy. Dia tidak tahu kenapa Roy layak menerima wang sejumlah itu?
“Ni? Duit satu ribu ringgit yang kau bagi ni adalah untuk aku pergi dari sini? Duit ni juga kau mengaibkan aku? Dan dengan duit ni juga kau mahu merampas Fazry Kamal daripada aku?” Roy melambai-lambaikan wang tersebut di hadapan wajah Salwa. Salwa masih terus senyum sinis. “Jangan harap!” kata Roy lagi sambil melemparkan wang itu tepat mengena wajah Salwa lalu berselerakan wang kertas sejumlah satu ribu ringgit itu ke tanah. Salwa terperanjat dan tidak menyangka Roy akan berbuat sedemikian. Roy terus berlalu meninggalkan mereka berdua.
Fazry Kamal memerhatikan langkah Roy yang tergesa-gesa itu. Fazry Kamal jadi tidak keruan melihat sepupunya diperdayakan dengan wang ringgit daripada Salwa. Salwa ketika ini memnadang wang yang diberikan kepada Roy berteraburan di atas tanah itu.
“Bodoh betul perempuan sewel tu! Aku bagi duit dia tak nak!” Salwa mengutip semula wang itu.
“Kenapa kau bagi wang pada dia?”
“Siapa dia tu?”
“Dia...”
“Siapa?”
“Sepupu aku,”
“Oh... sepupu kau yang tergila-gilakan kau? Orang macam kau pun ada lagi ke perempuan yang berminat? Kalau akulah kan langsung aku tak akan pandang orang macam kau yang telah menghancurkan martabat kaum wanita,” bidas Salwa.
‘Kau sendiri pun apa kurangnya. Jangan nak mengata orang lain. Diri kau pun bukannya baik sangat malah lebih busuk dari air longkang,’ sindir Fazry Kamal dalam hati.
Fazry Kamal masih tersentak. Salwa telah siap mengutip segala wang kertas itu. Salwa terus berdiri semula lalu merenung wajah Fazry Kamal lama. Fazry Kamal mengeluh halus. Dia terasa diperli oleh Salwa. 
“Kau ni kenapa? Kau kenapa bagi wang dekat dia?” sekali lagi Fazry Kamal bertanya.
“Kenapa aku bagi wang dekat dia? Hah! Kau tahu tak yang perempuan tu dah ganggu Rashid?! Perempuan sewel tu telah mengugut suami aku dan sekiranya dia pula mendapat tahu siapa maka aku teruklah nanti! Aku tak nak gara-gara perempuan itu rancangan kita akan gagal! Kau faham tak? Aku pun hairan macam mana kekasih kau tu boleh ada dekat sini?” Salwa begitu bimbang sekiranya semua ini akan diketahui oleh orang luar. Salwa tidak  mahu ia musnah begitu sahaja. Impian untuk melihat Zarina merana mesti diteruskan walau apa cara sekalipun.
“Dia bukan kekasih aku!”
“Tapi dia suka pada kau kan?”
“Tapi aku tak suka dia!”
Actually, I don`t care about your feel. Sekarang ni aku nak kau jalankan kerja kau,”
“Susah! Aku nak kau batalkan sahaja semua ni!”
“Okey Aku boleh batalkan semua ni tapi kau kena ingat tentang Fahizal...” Salwa tetap memerangkap Fazry Kamal. Fazry Kamal tersentak lagi bila nama itu disebut-sebut lagi, “Dan Zarina, maksud aku... adik Zarina...” sambung Salwa lagi.
“Kenapa kau mesti libatkan aku dalam semua ni?!! Kenapa kau dan Rashid perangkap aku?!” Fazry Kamal tertekan.
“Pada mulanya aku tak nak! Tapi Rashid dah pilih kau! So? Aku ikut sahaja,”
“Aku yakin semua ni adalah idea kau! Rashid tak akan rancang benda-benda bodoh ni,”
“Apa kau lupa ke yang kes kau yang dulu tu? Dia juga boleh buat apa sahaja Fazry... termasuk membunuh kau!”
“Kau jangan nak ugut aku!”
“Perlu ke aku ugut kau sedangkang kau sendiri dalam keadaan yang tidak selamat. Cubalah bercakap pakai otak, jangan pakai kepala lutut kau tu. Kalau aku tak selamatkan kau tadi entah-entah perempuan tu dah ganyang kau,”
“Dia tetap perempuan,”
“Dia ada geng!”
“Kau pun takut?”
“Aku cuma kasihan pada kau sahaja dan aku tak serta kawan-kawannya campur tangan dalam hal ni. Kalau boleh biarlah dia pergi dari sini. Aku dengar dia datang sini sebab kau. Terlalu cinta agaknya sampai sanggup ikut kau dari jauh, ish ish ish,” sinis Salwa lagi. “Jangan cakap banyak, jom kita pergi makan... sayang...” sambung Salwa dan terus ketawa halus.
“Ah!”
“Sabar....apa kata kita ubah rancangan. Rancangan lama untuk memerangkap kau kena tangkap khalwat tu terlalu simple dan biasa orang buat. Semua ni sebab sepupu kau ada dekat sini jadi agak susah untuk kita teruskannya maka kita berdua buat planning baru. Aku sanggup bayar kau lebih dari apa yang Rashid janjikan dengan kau dan kau jangan beritahu Rashid tentang rancangan baru ni nanti,” ujar Salwa memancing Fazry Kamal.
“Jadi kau nak ubah semuanya? Adakah kau pasti?” Salwa terus mengangguk. “Okey baiklah aku tak akan beritahu Rashid mengenainya asalkan kau dapat penuh permintaan aku,” sambung Fazry Kamal lagi sambil memandang tubuh Salwa.
“Kau jangan nak mengada-ngada! Aku takkan berikan diri aku!” tegas Salwa.
“Bertenang... Aku acah sahaja. Apa idea kau? Asalkan jangan membunuh sudah,” awal-awal lagi Fazry Kamal sudah mengingatkan Salwa tentang hal sedemikian.
“Memang itu yang seharusnya,”
“Kau dah gila ke? Kenapa kau patut bunuh Zarina? Kalau kita tertangkap bagaimana? Kau jangan fikir untuk mencipta kematiannya sebagai satu kemalangan, aku tak sanggup nak tengok mayatnya. Dia tu baik Salwa... janganlah sampai nak membunuh,” Fazry Kamal seakan tidak bersetuju.
“Kau ni belum apa-apa dah menggelabah. Kau ni ada otak ke tak ada otak ni?” tempelak Salwa.
“Aku berotaklah ni!” balas Fazry Kamal geram.
“Kalau kau ada otak jadi kau gunalah otak kau tu. Kalau aku bunuh Zarina apa yang aku dapat? Aku hanya akan dapat kebencian Rashid sahaja kalau dia tahu dan aku pasti akan masuk penjara. Kalau kita nak membunuh sekalipun takkan bunuh dekat sini pula! Kau ni pun satulah... dendam aku tak akan terbalas kalau aku bunuh Zarina macam tu sahaja. Aku nak dia terseksa perlahan-lahan,” balas Salwa mengumam geram pada Fazry Kamal.
“Apa yang kau fikirkan?” tanya Fazry Kamal pula yang masih tidak mengerti apa yang sedang berlegar di kotak fikiran Salwa saat ini.
“Nanti sama-samalah kita fikir,”
Fazry Kamal berkerut dahi sambil berjalan bersama Salwa. Tangannya dikepit oleh Salwa lagak sebagai sepasang kekasih. Sesampainya mereka di hadapan Rashid dan Zarina yang sedia menunggu, mereka berdua buat wajah biasa malah menguntum senyuman yang sengaja dipalsukan. Zarina bertanya pada mereka dan hanya dijawab salah faham sahaja. Memang sejak awal lagi gerak-geri mereka diperhatikan. Tidak berapa lama selepas itu lelaki yang bermisai tebal dan berjambang lebat itu bangun dan meninggalkan kawasan restoran. Rashid menoleh sekilas. Fazry Kamal memerhatikan wajah Rashid yang memandang lelaki berkenaan dengan ekor mata yang tidak berkalih.
Share this Article on :

4 comments:

S. said...

arsyad ke???huhuhu...mike...bile nk abes ni...tak sbr!!

zura asyfar addy rifqhiey said...

salwa ni kn cm2 karekter dia leh blakon..huhu

fahizal azron said...

yup...sape ek yg bjambang 2..

dieya_solehah said...

menyampah betullah salwa nie...kawan makan kawan...bagus2 ada makanan yang sedap...nak juga dia makan kawan...pea

Post a Comment

 

© Copyright ekarya2u 2010 -2011 | Design by Herdiansyah Hamzah | Published by Borneo Templates | Powered by Blogger.com.