Advertise

Secangkir Madu Merah (Bab 29)

Tuesday, April 5, 2011

Semi Suite beach front
Perhentian Island Resort, Big Island
12:15 PM

Zarina tarik muka ketat-ketat. Menunjukkan sikap tidak puas hati. Tiada senyuman terlakar di wajahnya saat ini. Barangkali sedang sarat menahan rasa marah. Kesabarannya tercabar juga. Dia ingin bertanya pada suaminya. Dia benar-benar bersedia untuk bertanyakan hal berkenaan, hal resit itu pada Rashid. Suaminya perlu menerangkan segala-galanya. Biarlah dirinya tahu akan jawapan itu. Tidak lagi dihujani pertanyaan demi pertanyaan yang begitu menyeksakan jiwa raganya selama ini.
Usai Rashid mandi, Zarina menghampirinya lalu berdiri di hadapan Rashid yang sedang mengelap tubuh dengan tuala warna biru.
“Abang...” Zarina berubah wajah pula ketika ini. Dia tidak jadi marah setelah melihat wajah Rashid dihadapan matanya. Barangkali itulah kelemahannya. Dia menjadi selembut-lembutnya hati setelah berhadapan dengan Rashid. Hatinya menjadi cair.
Rashid menoleh ke arah Zarina yang berkerut dahi itu kemudian mengetap bibir. Ada sesuatu yang Zarina ingin sampaikan.
“Janganlah kita bergaduh di sini sayang... selalu benar kita bertengkar, untuk apa sayang?” soal Rashid pada Zarina. Rashid fikir Zarina mahu berperang mulut. Tangan Zarina diramas lembut.
“Kerana kita sering bercanggahan pendapat bang...” Zarina melarikan wajahnya memandang sepi pada lantai bilik vila itu.
“Bukankah itu adalah tandanya kita memerlukan kepastian?” balas Rashid lalu membawa Zarina duduk di birai katil.
“Abang... kepastian itu ada bang tapi sering ditempiaskan dengan curiga... saya sudah banyak bersabar dengan abang, abang suka pulang lewat malam, abang suka marah-marah. Saya tetap bimbangkan abang, entah abang makan atau pun tidak, abang selamat atau pun tidak saya risau abang,” ucap Zarina lembut.
Zarina meluahkan apa yang merusuh di dalam hatinya ketika ini. Suaminya yang tersayang seakan lupa pada dirinya yang berada di rumah sentiasa menanti kepulangan suami setiap kalinya suaminya keluar pergi kerja. Tidak mudah bagi seorang perempuan bergelar isteri menjadi suri rumahtangga yang penuh dengan cabaran. Baru kali ini mereka bercuti bersama-sama. Satu perubahan yang drastik.
“Abang minta maaf... abang tidak pernah curigakan sayang di rumah dengan siapa kita berjiran malah abang tidak pernah halang sayang dari ikut aktiviti sosial dengan jiran kita tu, abang tahu sayang kesepian di rumah tapi kalau dengan Kak Intan tu memang abang kurang suka. Abang dah beritahu sayang semalam kan yang abang tidak berkenan dengan sikap dia tu. Percayalah sayang... abang terlalu banyak kerja di pejabat. Semua itu untuk masa hadapan kita dan masa hadapan anak kita di dalam rahim sayang. Kita bercuti bersama-sama dapat luangkan masa...” Rashid memujuk Zarina yang sarat mengandung lapan bulan itu.
Anak sulung itu sedang membesar di dalam rahim menanti saat dan ketikanya untuk dilahirkan ke dunia yang fana ini. Barangkali itulah ikatan cinta mereka yang terbina. Cinta terpaksa.
Zarina diam membisu tidak membalas ucapan suaminya. Zarina melepaskan keluhan halus lalu tanpa disedari air matanya yang bersinar itu menitis. Rashid tidak menyedari Zarina sudah berlinangan air mata. Saat dikuis dagu isterinya itu barulah dia tahu Zarina sedang menangis tidak berlagu.
“Kenapa sayang menangis?” suaminya menyoal pada dirinya ketika ini. Memang terlalu banyak keraguan di dalam hati Zarina namun sukar untuk dia melafazkannya.
Dengan perut yang membesar itu Zarina bangun dari birai katil bersama air mata bergenang itu sambil diperhatikan oleh Rashid yang terpisat-pisat sendiri. Zarina melangkah berat ke meja solek lalu dia duduk menghadap cermin.
“Abang...” Zarina memanggil lembut.
Rashid yang mendengar lirih nada itu terus bangun dan mendapatkan isterinya. Lalu bahu isterinya itu diramas lembut kemudian ubun kepala isterinya diusap perlahan-lahan dan dibelai-belai dengan penuh kasih sayang. Rashid ingin mendengar apa yang ingin diperkatakan oleh Zarina.
“Apakah Ina tidak cantik di mata abang?” tanpa diduga oleh Rashid, soalan itu yang ditanya oleh Zarina. Rashid terkejut mendengar pertanyaan tersebut yang selama ini tidak pernah terpacul keluar dari bibir lembut itu.
“Sayang... awaklah isteri yang paling cantik dalam hati abang,” balas Rashid sambil merapatkan pipinya ke pipi isterinya.
“Benar ke bang?” Zarina mahukan ketulusan dan kejujuran suaminya. Semakin kuat getaran di dalam jiwanya ketika ini.
“Benar sayang... kenapa sayang tanya begini?” Rashid membuat wajah biasa sahaja.
“Kalau benar kata abang kenapa abang kecewakan saya?” Rashid terkejut lagi mendengar ucapan isterinya.
“Apa yang sayang cakap ni?”
“Abang ada perempuan lain kan?” akhirnya Zarina meluahkannya juga persoalan yang menyeksa nalurinya selama ini. Zarina menduga pasti dari hati. Naluri sebagai isteri dapat merasakannya.
Resit yang disimpan oleh Zarina terus dikeluarkan dari tas tangan di atas meja solek itu. Tidak mudah bagi Zarina melakukan perkara itu setelah dia mengumpul keberanian untuk bertanya. Setelah puas dia berfikir baru sekarang dia tergerak hati untuk bertanya.
“Awak cakap apa ni?”
 “Ini apa bang boleh tolong jelaskan?” Zarina terus menunjukkan sesuatu pada Rashid tanpa menjawab pertanyaan suaminya itu.
“Itu kertas sayang...” Rashid menjawab sambil memerhati wajah Zarina yang berubah itu dan Rashid tidak menyangka Zarina telah menghidunya. Tetapi adakah Rashid akan berterus terang sahaja tanpa menjalankan rancangannya itu memandangkan Zarina sendiri sudah bertanya? Rashid berkira-kira sama ada dia perlu berdalih lagi atau pun tidak.
“Ini memang kertas... tapi apa maknanya ni bang...?” tanya Zarina lagi
“Semua apa ni sayang? Abang tak fahamlah...” balas Rashid sambil mencapai baju di dalam almari.
Zarina mengekori langkah Rashid. Dia mahukan jawapan dengan segara. Dia mahu Rashid melihatnya terlebih dahulu.
“Tengok ni bang... tengoklah,” pinta Zarina.
Rashid mencapai kertas itu. Kertas di tangan Zarina diambil lantas diperhatikan. Zarina tetap menanti jawapan.
“Resit hotel di Thailand? Kenapa? Awak pergi Thailand ke? Kenapa abang tak tahu pun?” Rashid berdalih. Mereka jawapan yang sangat menyakitkan hati Zarina ketika ini.
“Tolonglah abang... jangan permainkan saya,”
“Main-main apa pula? Mana abang tahu apa-apa tentang resit tu,” balas Rashid sambil memberikan semula resit berkenaan. Rashid terus bangun dan menuju ke almari mendapatkan baju Polo warna hitam untuk dipakai. Pakailah apa sahaja memang sesuai dengan tubuh Rashid yang sasa itu.
Zarina mengumam geram. Kesabaran mula menghilang setelah keresahan melanda sekian lama. Dia sudah tidak tenteram lagi. Jiwanya kacau hatinya berserabut tidak tentu arah. Dia cuba mempamerkan ketenangan namun tidak pernah terlakar di wajahnya saat ini. Dahinya berkerut. Sungguh pun begitu dia cuba seboleh yang mungkin untuk berlembut. Sifat wanita yang ada padanya dijaga. Namun sejauh manakah kesabarannya mampu pergi?
“Untuk apa abang ke sana?”
“Ke mana?” sekali lagi Rashid bertanya soalan yang menyakitkan hari Zarina. Pertanyaan Rashid itu seolah-olah cuba berselindung. Rashid mempamerkan wajah polos bagi mengelirukan Zarina.
“Saya jumpa resit ni dalam kot kerja abang dekat rumah. Kalau bukan resit abang resit siapa lagi? Mustahil ada orang lain yang masukkan ke dalam kot abang melainkan tangan abang sendiri,” ujar Zarina yang sememangnya tidak berpuas hati semenjak dia terjumpa resit berkenaan. Bertambah syak wasangkanya itu biarpun cuba ditepis beberapa kali supaya kepercayaannya pada suaminya sendiri tidak akan pupus.
“Oh...” Rashid baru teringat. “Baru abang teringat, resit tu... kawan abang yang tercicir... kebetulan ternampak jadi abang simpan. Tak sempat beritahu dia kerana dia dah pergi dulu,” Rashid memberi alasan.
“Siapa kawan abang tu?”
“Ini resit... resit...”
“Siapa bang? Beritahu resit siapa?”
“Ini Fazry Kamal yang punya... eloklah kalau dah ada pada sayang, bolehlah abang pulangkan dekat dia. Manalah tahu dia nak claim dekat syarikat dia bekerja tu. Maklumlah resit ni bukti untuk buat claim nanti. Abang terlupa nak pulangkan dekat dia hari tu. Kalau sayang tak percaya abang sayang boleh tanya Fazry Kamal berkenaan resit ni,” kata Rashid.
“Mana satu ni bang? Mula-mula kata tak tahu, lepas tu kata nak beri tapi dia pergi dulu, sekarang terlupa pula? Abang jangan nak kenakan saya bang...” Zarina semakin keliru dengan alasan yang diberikan oleh Rashid. Wajah Rashid berubah saat ini. Zarina merasakan ada sesuatu yang dirahsiakan oleh suaminya itu.
‘Kenapalah aku susah sangat ingin katakan bahawa Salwa itu adalah madu kau wahai Zarina? Lidah aku susah untuk menyebutkan. Lidah aku keras. Kenapa begini? Jika dulu untuk aku hamburkan kata-kata yang benar-benar jujur begitu senang dan mudah tetapi saat ini ia bagaikan terhalang. Aku sendiri tidak mengerti apatah lagi untuk terus begini,’ detik hati Rashid sambil memandang Zarina lama.
“Sayang... jangan fikir yang bukan-bukan. Kita ke sini bukan untuk memikirkan semua ini. Kita ke sini untuk hiburkan hati dan tenangkan fikiran. Kenapa sayang seperti tidak percayakan abang?” soal Rashid sambil memaut bahu Zarina.
“Abang ... tolonglah jujur dengan saya bang... abang ada perempuan lain ke? Siapa bang? Boleh saya tahu siapa orangnya?”
“Apa yang awak merepek ni? Abang tak ada sesiapa selain awak. Sudahlah jangan fikir lagi. Cepatlah kita pergi lunch, lepas tu nanti kita nak pergi skuba pula” balas Rashid pula.
“Apa abang ni skuba pula? Saya kan mengandung... abang bolehlah sebab abang tak mengandung,” Zarina mengeluh halus.
Rashid memujuk Zarina terus mendakap Zarina. Perasaan Zarina dibuai begitu sahaja. Sungguh berpadu jiwa itu.
“Abang bergurau sahaja sayang...”
“Abang... betul ke abang tak ada perempuan lain?”
“Ya sayang... betul...” balas Rashid menafikan hakikat sebenarnya.
Argh!! Susahnya untuk aku beritahu kau wahai Zarina... aku terasa bodoh kerana memperbodohkan kau,’ Rashid memaki hamun diri sendiri di dalam hati kerana gagal untuk berlaku jujur.
Share this Article on :

5 comments:

fahizal azron said...

ish..ish...cian Zarina...

hana_aniz said...

mmm. no komen dah. sgt menyampah dgn rashid.

S. said...

abang takde perempuan lain, tapi abang ada bini lain! grrrr....

zura asyfar addy rifqhiey said...

cisss..begitu teganya kau mempermainkan hati wanita yang begitu baik...akan aku pastikan kau dpt pembalasannya di kemudian hari Rashid...

Miqael Arshad said...

i pun venci pada abg acit....

Post a Comment

 

© Copyright ekarya2u 2010 -2011 | Design by Herdiansyah Hamzah | Published by Borneo Templates | Powered by Blogger.com.