Advertise

Secangkir Madu Merah (Bab 24)

Monday, April 4, 2011

Pukul sembilan malam,
Perhentian Island Resort

Pulau Perhentian Besar, Daerah Besut dikunjungi oleh mereka berempat. Tapi saat ini Zarina hanya termenung seorang diri di luar vila yang memang ditempah khas sejak awal lagi. Vila itu menghadap ke arah laut. Angin malam berpuput lembut menyapa sesusuk tubuh yang sedang duduk di atas bangku itu. Tangannya menongkat dagu seperti seorang yang mengelamun memikirkan apa yang telah terjadi dan bakal terjadi selepas ini. Hatinya tidak langsung tenang. Hatinya sarat dengan kebimbangan. Barangkali ada petanda yang tidak baik akan berlaku namun dia mengusir rasa itu dengan beristighfar berulang kali.
Cahaya dari lampu neon menerangi kegelapan malam. Malam yang sebenarnya tenang dan mendamaikan itu perlu dinikmati oleh Zarina tetapi sebaliknya pula yang berlaku. Perlahan-lahan tangannya mengusap kandungannya sendiri.
“Anak ibu... sekarang ni anak ibu ada di Pulau Perhentian... pulau ni sangat indah anakku... Panorama malam yang ada di sini sungguh mengagumkan dan inilah tanda-tanda kebesaran Allah wahai anakku. Ibu mendoakan anak ibu yang bakal lahir ini akan mentaati perintah Allah, menghormati ibu dan ayah serta meninggalkan apa yang ditegah dan menurut apa yang disuruh. Selagi ibu masih hidup ibu akan memberikan didikan agama pada anak ibu ini seandainya ayah tidak sudi menjaga kamu lagi,” bicara Zarina sendirian yang sugul dan muram. Wajah yang memendam keperitan dan kepedihan. Hanya Allah yang Maha Esa mengetahui apa yang berada di dalam hatinya.
Sebuah mimpi buruk bakal menjelma dan di sini dia seperti bersedia menerima sebarang kemungkinan. Perkelahian antara dia dan suami bermula sejak awal. Sejak suaminya berubah sikap. Menampar dan menggores hati kini menjadi makanan Zarina. Kesulitan hidup yang berpanjangan dan di manakah akhirnya cinta ini? Cinta Zarina tiada penghujung kerana kesetiaan mengatasi segalanya.
Percayanya dia pada takdir. Benar-benar percaya ujian hidup ini akan membuatkan dia terus cekal dan tabah menghadapi liku-liku hidup ini. Air mata menjadi peneman setia. Air mata duka seorang isteri. Air mata yang sering membinasakan dirinya sendiri setiap malam.
Kedengaran sang ombak kecil menghempas pantai kesayupan. Menjauh dan melaju pergi segala sisa-sisa kenangan. Kini yang tinggal hanya serpihan harapan. Nyatalah dan hindarlah segala kepedihan, pergilah dari hidup Zarina. Zarina memohon pada-Nya Ya Tuhan semoga pintu bahagia untuknya sentiasa terbuka.
Getaran rindu mengetuk dinding hatinya. Rindu pada saat manisnya cinta ketika bertandang. Kemanisan itu bagaikan secangkir madu merah membasahi di kalbu kini lenyap rasa gembira. Rasa itu diragut dengan paritnya peria mengelang sendu pula di dalam hatinya. Dia terpaksa memalsukan senyuman setiap kali berhadapan dengan orang lain terutama sahabat dan mertua serta jiran tetangga.
Zarina sedang dihampiri oleh sesusuk tubuh yang sasa melangkah mendapatkan dirinya yang termenung jauh diawangan. Fikiran menerawang sampai ke angkasa raya ingin menyulam bahagia sekali lagi. Namun masih adakah bahagia untuknya?
“Malam yang indah dengan sinar bulan dan bintang menceriakan alam. Beginikah rasamu wahai Zarina yang berduka. Bolehkah aku tumpang bertanya di manakah letaknya rindu?” terkejut Zarina mendengar bicara penuh puitis dari arah belakang. Cepat-cepat dia menoleh ke arah suara itu.
“Oh... kau Fazry, terkejut aku... berbicara manis... kata-kata yang menyentuh perasaan. Inilah alam ciptaan Tuhan, kalau kita tak melihatnya dengan mata maka rasalah dengan hati, di situ ada rindu. Rindu pada Ilahi maka aku duduk di sini seorang diri kerana mahu bebaskan minda untuk seketika cuma,” Zarina membalas budi bicara itu sarat dengan maksud yang mendalam.
“Pandai juga ya kau bermadah Ina?”
“Segalanya dari hati,”
“Okey, mana suami kau?”
“Dia keletihan dan tertidur atas sofa,” beritahu Zarina.
Fazry Kamal meminta untuk duduk maka Zarina mengangguk. Kemudian Fazry Kamal menghempas punggung di bangku itu. Nyata berbeza perasaan Fazry Kamal ketika ini. Zarina memerhatikan sahaja. Lemah jantungnya Fazry muncul tiba-tiba. Dia berdua-duaan di situ semoga tiada yang salah mengerti. Mujurlah di tempat itu diterangi cahaya jika tidak pasti fitnah akan tiba. Namun semua itu dari Allah. Semoga Allah melindungi Zarina dan anaknya.
“Mana Salwa?”
“Sedang mencari dia,”
“Tiada di sini,”
“Tahu, at least aku nampak kau dan mungkin dia akan ke sini nanti,” Fazry Kamal hanya menduga sahaja.
Zarina memandang wajah Fazry Kamal lama. Pandangan penuh kehairanan. Barangkali masih terfikirkan kejutan ini.
“Fazry... boleh aku bertanya?”
“Boleh, aku akan jawab pada apa yang aku boleh jawab,”
“Baiklah... sejak bila kamu berdua bercinta? Selama ni aku tidak tahu pun Salwa bercinta dengan kau? Dalam diam-diam ya? Diam-diam ubi berisi. Salwa tu sengaja merahsiakan hubungannya dengan kau daripada pengetahuan aku selama ni. Tak sangka anak bos terpikat dengan pekerjannya sendiri,”
“Cinta itu buta Ina... kau pun berkahwinan dengan Rashid atas dasar cinta kan?”
Zarina terus terdiam. Mati kata-kata mati juga mindanya. Tersentak bila ditanya seperti itu. Sukar lidahnya untuk mengungkap sebaris kata dia sebenarnya terseksa.
“Kau tak letih ke? Abang Rashid letih sampai tertidur. Kau boleh tahan ke jalan jauh-jauh macam ni?”
“Memandu sahaja,”
“Memang itulah maksud aku Fazry Kamal...”
My Full name,”
“Fazry...”
Yes,”
“Sejak bila kau bercinta dengan Salwa?”
“Tahun lepas, masa tu...” Fazry Kamal terpaksa mereka alasan hakikatnya tiada langsung kebenaran bicara itu. “Senang cerita memang cintalah... terpikat tengok dia maka aku kena jadi gentleman sahaja pergi pikat dia. Susah untuk menangi hati perempuan cantik dan anak orang senang. Takut juga nanti dikatakan aku ni hanya pandang kekayaan ayah dia sahaja. Tapi cinta aku ikhlas untuknya,” beritahu Fazry Kamal menguntum senyuman menampakan garis-garis bahagia terlakar di wajah.
“Kau jagalah dia elok-selok. Dia tu kawan baik aku dari kolej lagi sampai sekarang. Hanya dia kawan perempuan aku yang paling setia dan memahami aku. Aku sayangkan dia. Bila kamu berdua akan kahwin? Jangan lupa tahu jemput aku...” pesan Zarina.
Fazry Kamal terkedu dalam hati terhadap sikap Zarina. Fazry Kamal terpaksa berlakon. Terpaksa berpura-pura. Rasanya ingin sekarang juga untuk memberitahu Zarina segala-galanya namun ternyata begitu sukar.
“Ina... Fazry...  kamu berdua buat apa dekat sini?” tidak semena-mena Salwa muncul.
Zarina memandang kawan baiknya itu dengan senyuman. Semoga tiada tanggapan buruk yang dilemparkan oleh Salwa kepadanya. Bukan niat Zarina untuk bercakap dengan kekasih orang lain. Zarina sudah punya suami dan tidak pernah terlintas difikirannya untuk mencurangi suaminya sendiri.
“Kami berbual-bual sahaja,”
“Sayang... abang cari sayang tadi... sayang ke mana?” soal Fazry Kamal.
Salwa mengenyit mata pada Fazry Kamal sebagai isyarat lakonan itu sangat bagus sekali. Zarina tidak melihatnya kerana itu diluar dari pandangan.
“Saya mandilah abang... lepas tu saya nampak abang duduk dekat sini dengan kawan baik saya ni. Sajalah nak ikut berbual juga. Boleh ke? Atau saya menganggu?” soal Salwa yang masih berdiri di hadapan mereka.
Zarina menarik tangan Salwa sebagai isyarat untuk duduk di sebelahnya. Salwa terduduk di situ. Usai itu Zarina membetulkan sedikit tudung yang dipakainya. Barangkali agak kurang selesa jadi dia betulkan.
“Suami kau mana Ina?” Salwa juga bertanya soalan yang serupa.
“Tidur,”
“Letih agaknya. Siapa kata memandu kereta ni tidak letih kan? Tengok sahajalah Rashid tu, letih kerana perjalanan jauh. Fazry ni boleh tahan juga tak mengantuk. Minum kopi jandalah katakan,”
“Boleh ke lelaki minum kopi janda?” Fazry Kamal mencelah.
“Abang ni... saya bergurau sahajalah,” balas Salwa.
Zarina sudah ketewa mengekek. Rasa terhibur pula dengan senda gurau itu. Zarina tahu Salwa sengaja berseloroh mahu menceriakan keadaan dirinya barangkali. Maklumlah percutiaan ini dirancang oleh Salwa yang mengatakan dia patut keluar dari rumah untuk merehatkan minda. Memang selama ini dia selalu berkurung di dalam rumah sahaja sehinggakan jarang sekali dia ke tempat lain.
“Cepatlah bersiap...” ujar Salwa.
“Ke mana?” Zarina bertanya pula.
Salwa meramas lembut tangan Zarina. Zarina tersenyum melihat Salwa yang begitu menyayangi dirinya sebagai sahabat sejati.
“Kau tak lapar ke Ina? Pergi dinner-lah...” kata Salwa.
“Betul tu, marilah Ina ikut kami pergi dinner...” ujar Fazry Kamal pula.
“Abang Rashid?”  Zarina menyebutnya.
“Apa kata kau pergi bangunkan dia? Atau kau nak aku yang pergi kejutkan dia? Kalau aku yang kejutkan dia pasti dia akan bangun. Aku tak nak tengok kau lapar Ina... aku tahu kau belum makan lagi ni,” Salwa mempelawa diri untuk mengejutkan suami Zarina.
Zarina mengangguk sahaja. Dia membenarkan Salwa mengejutkan suaminya yang tertidur di sofa.
“Okey... kau tunggu dekat sini ya. Kau kena rehat... jaga kandungan tu. Anak kau tu tunggu masa nak tengok dunia yang indah ini. Aku tak sabar nak tengok wajah comel anak kau nanti,” pesan Salwa.
“Abang nak ikut boleh?” Fazry Kamal melengkapkan dialog drama itu.
“Abang jangan nak mengada-ngada. Temankan kawan saya ni kerana saya risau dia kesorangan dekat sini,” ucap Salwa lalu melangkah ke vila itu selepas Fazry Kamal mengangguk. Zarina memerhatikan sahaja langkah Salwa yang kian menjauh pergi ke vilanya.

***

“Abang... bangunlah... kenapa tidur lagi ni?” Salwa membangunkan Rashid yang tidur di atas Sofa itu.
Rashid terjaga. Dia terpisat-pisat sendiri sambil menggosok tubir mata dengan siku lengan. Dia kehairanan melihat Salwa berada di hadapannya. Matanya terus dibulat besar selepas itu. Salwa menguntuk senyuman manis. Rashid pula senyum kelat sahaja.
“Awak buat ni?”
“Bangunkan abanglah,”
“Kenapa?”
Dinner,”
Rashid terus bangun dan menarik tangan Salwa ke ruang dapur. Di situ dia memerhatikan Salwa dalam-dalam. Rashid bercekak pinggang ketika ini. Rasa benar-benar tidak menyangka Salwa berani masuk ke dalam vila ini. Kalau Zarina melihatnya bagaimana? Apa pula jawapan yang perlu diberikan.
“Macam mana awak terfikir masuk dalam vila ni? Kalau Zarina nampak bagaimana?” soal Rashid.
“Biarlah dia nampak. Saya memang tak sabar nak beritahu dia,”
“Awak dah gila ke?”
“Memang itu tujuan kita kan?”
No! Saya tak nak awak terburu-buru,”
What? Siapa sebenarnya yang terburu-buru? Abang atau saya?”
“Baby... please... dont push me anymore,” Rashid buat muka.
Salwa mengerling mata.
“Jadi abang anggap semua ni dipaksa? Saya menuntut janji-janji abang dan bukannya saya yang terhegeh-hengeh untuk melihat semua ini selesai. Abang yang patut faham,” ujar Salwa berpeluk tubuh berwajah masam mencuka.
Rashid memegang tangan Salwa. Salwa menyentapnya semula. Salwa menjauhi Rashid dua langkah. Rashid menghampiri semula lantas didakap dari arah belakang.
Rashid membisik sesuatu di telinga Salwa.
“Sayang... tolonglah bersabar... kita akan selesaikannya secepat mungkin. Tapi kita perlukan masa sayang... perkara ni mesti berjalan dengan sempurna. Awak pun tahu kita tidak mahu gagal. Jadi kita perlu berhati-hati,” desis Rashid perlahan lantas dia menoleh ke kanan dan kiri bimbang sekali jika ada sesiapa yang melihat mereka berdua-dua di dapur itu. Memang sengaja bersembunyi di situ.
“Baiklah abang, kalau itu yang abang mahukan. Saya memang tak nak berlakon lagi. Saya dah letih abang. Saya letih menunggu terlalu lama untuk abang membuat keputusan. Saya sakit dalam ni bang... sakit bila tengok abang bersama dengan Zarina,” Salwa meluahkan apa yang terbuku di dalam hati.
Rashid terus memaut bahu Salwa untuk menghadapnya. Ditenung wajah Salwa dalam-dalam. Dua hati itu telah menjadi satu. Dua hati itu bersatu kerana atas dasar cinta yang diperolokkan. Hati Zarina berada di antara mereka. Hati Zarina tersepit dicelah-celahnya.
“Abang juga cemburukan sayang dengan Fazry Kamal tu, tapi apa boleh buat, abang harus melawan gelora perasaan ini. Apa-apa pun kita kena teruskan juga seperti apa yang kita rancangkan,”
“Abang percayakan Fazry Kamal?”
Sure,”
“Bagaimana kalau dia bocorkan rahsia kita?”
“Rasanya tidak,”
“Baiklah... saya pun dah ugut dia,”
“Ugut?”
“Ya,”
“Apa maksud awak?”
“Saya dah beritahu dia segala-galanya,” kata Salwa yang kemudian mengusap lembut pipi Rashid.
Rashid terkejut mendengarnya. Rashid tidak menyangka bahawa Salwa sanggup menceritakan hal sebenar kepada Fazry Kamal. Hal berkenaan kenangan silam Fazry Kamal itu.
“Kenapa awak buat macam tu?” soal Rashid sambil meramas lembut tangan Salwa.
“Dia ugut saya, jadi saya terpaksa menakut-nakutkan dia semula. Saya tak nak dia gagalkan rancangan kita,”
“Tapi dia pun sebahagian daripada rancangan kita,”
“Dia tak akan tahu yang kita telah memerangkap dia,”
“Kalau awak sudah bercerita tentang hal itu dia pasti yakin kita nak perangkap dia. Kenapa awak tak fikir dua kali sebelum memberitahu dia? Sepatutnya awak berbincang dengan saya dulu bukannya sesuka hati macam ni. Awak jangan pernah beritahu Zarina berkenaan siapa Fazry Kamal itu. Nanti kalau dia tahu Fazry Kamal yang buat arwah adik angkatnya macam tu habislah kita. Semua ini pasti gagal,” Rashid menyuarakan kebimbangan.
“Sudahlah abang, jangan peningkan kepala tu lagi. Cepat bersiap kita pergi dinner dulu dan mulai esok kita jalankan apa yang kita rancangkan. Saya tak nak berlengah-lengah lagi,” ucap Salwa.
Rashid mengeluh halus kemudian menguntum senyuman. Rashid mesti segarakan abang yang Salwa mahukan. Dia mesti menurut setiap kata-kata Salwa. Dia tidak tahu kenapa dia begitu sayangkan Salwa lebih dari Zarina. Dia juga tidak mengerti setia kali menatap wajah Salwa, wajah itu seperti seorang bidadari yang sedang menari-nari dihadapan matanya.
Setiap tutur kata Salwa bagaikan semburan wangian yang lunak bersuara di cuping telinganya. Halwa pendengaranya menangkap bicara itu sebagai bicara semangat hidup untuknya. Setiap gerak-geri Salwa sentiasa dirinduinya.
Rashid mencium kanan dan kiri pipi Salwa. Benar-benar dia mencintai Salwa. Jatuh hati pada Salwa dan dia menyanyangi Salwa. Berhadapan dengan Salwa, bayang-bayang Zarina pasti lenyap malah kebencian selalu bertandang di hati. Rasa benci menghantui diri.
‘Setiap kali aku melihat wajah kau Salwa... aku merasakan dunia ini begitu indah, bibir mu yang merah bak delima merekah itu menjadi tatapanku. Aku sering kerinduan siang dan malam. Oh Salwa, aku mencintaimu sayang... tidak sabar rasanya aku ingin sentiasa di sisimu tanpa ada penghalangnya lagi,’ bisik hati Rashid.
Share this Article on :

5 comments:

hana_aniz said...

menyampah dgn salwa yg bermuka-muka.

S. said...

Kejam! sampai hati gila bayang cam tu Rashid!!! Salwa pulak, tikam belakang! Ceh!! sesuai sangatlah korang kahwin! Mike, carikan org lain buat Zarina!

Miqael Arshad said...

FK ada... ambiklah FK tu... FK baik pe... hehehe... nak tunggu Arsyad payahlah... Arsyad mungkin dah ada org lain kut...

Miqael Arshad said...

Salwa... hehehe...

fahizal azron said...

hihihi............

Post a Comment

 

© Copyright ekarya2u 2010 -2011 | Design by Herdiansyah Hamzah | Published by Borneo Templates | Powered by Blogger.com.