Advertise

Secangkir Madu Merah (Bab 22)

Sunday, April 3, 2011

Sememangnya merahsiakan sesuatu itu adalah perkara yang membebankan. Sampai bila dia perlu merahsiakan perkara itu dari isterinya sendiri? Asam garam dalam berumahtangga memang begitu tatkala hati sudah tidak suka lalu hidup dalam kepura-puraan. Maka ia menjadi satu cabaran pula bagi mereka yang menaruh harapan. Tidak wajar sebenarnya namun itulah yang dilakukan oleh Rashid.
Rashid pernah melukakan hati ramai gadis cantik sebelum ini. Rashid ketika dulu suka bermain layang-layang cinta dan sanggup memutuskan talinya hingga layang-layang yang terputus talinya itu melayang tidak berarah. Sewaktu di kolej dulu dia bercinta dengan seorang gadis, hanya suka-suka sahaja. Setelah bosan ditinggalkan tanpa belas kasihan, sekadar untuk berfoya-foya. Bermesra dan bercanda hanyalah untuk meraih cinta yang sementara dan tidak pernah memikirkan soal hati dan perasaan sesiapa pun. Selepas itu Rashid main cinta lagi dengan gadis yang lain pula. Putus lagi. Bertukar-tukar pasangan dan dia memang sengaja. Maklum sahajalah dia jiwa muda. Darah sedang menggelegak. Semua yang dilakukannya tidak pernah berfikir panjang.
Anak tunggal Dato` Sri Ryzal ini menjadi anak harapan. Tinggi menongkat langit kasih sayang yang dicurahkan oleh kedua orang tuanya. Apa yang Rashid lakukan semuanya elok sahaja di mata mereka. Memang itulah sikap yang dipamerkan Rashid.Umpama pijak semut pun tidak mati. Senyuman seindah suria mempamerkan wajah yang polos umpan ketulusan yang dipalsukan.
Sekilas Rashid menoleh ke arah Zarina. Isterinya diam membisu seribu bahasa. Zarina sejak awal dan hingga hampir tiba ke destinasi pun tidak membalas setiap pertanyaan Rashid. Barangkali masih makan hati.
Malah ketika berhenti di Rehat dan Rawat ketika melalui Lebuh Raya Karak terus ke Lebuh Raya Pantai Timur pun Zarina tidak menunjukkan wajah yang ceria. Sebaliknya hanya berwajah sugul dan hampa. Rashid meminta maaf pun Zarina buat tidak dengar sahaja. Lebuh raya sepanjang 183 kilometer dan mempunyai 10 plaza tol itu dilalui dengan rasa yang tidak aman memandangkan sikap Zarina diam tanpa bicara. Tidak langsung ingin berbual-bual bahkan untuk bertanya sekalipun tidak terpacul kata.
“Sayang...” Rashid menyebut perlahan.
Zarina diam.
Rashid masih memandu. Suasana menjadi sepi sahaja di dalam kereta kerana lagu yang kedengaran di radio kereta itu dimatikan oleh Zarina pula.
“Kenapa tutup radio?”
Zarina diam.
“Awak nak buat perangai?”
Zarina diam lagi.
Rashid mengeluh halus. Dia meneruskan perjalanan untuk keluar ke jalan Chendering. Dalam masa dua jam lagi mereka akan sampai. Rashid ketika ini membelok ke kiri simpang untuk masuk ke stesen minyak. Dia berhenti bukan kerana hendak mengisi minyak. Minyak kereta masih mencukupi. Dia ada tujuan lain. Kereta BMW 5 Series berwarna putih itu yang mengekori kereta Honda Accord yang dinaiki Rashid bersama Zarina ini juga berhenti berdekatan.
Jauh benar perjalanan mereka dari kota besar hingga ke Pantai Timur. Ke mana mereka ingin bercuti? Gaya mereka seperti mahu bercuti panjang dan ia bukanlah cuti dalam masa sehari dua sahaja seperti yang dikatakan Salwa sebelum ini memandangkan begasi besar dibawa bersama. Barangkali hanya tiga hari dua malam sahaja.
Rashid keluar dari perut kereta kerana dia tidak tahan untuk membuang air kecil lalu dia mencari tandas di situ. Seorang lelaki telah keluar dari kereta di BMW itu warna putih melalui pintu tempat duduk pemandu lalu lelaki itu juga ke tandas.
“Rashid! macam mana ni? Aku hairanlah macam mana kau boleh terfikir buat benda-benda ni? Aku peliklah dengan kau ni,” Fazry Kamal bertanya pada Rashid dari tandas sebelah.
“Sudah berapa kali aku nak beritahu kau. Jangan persoalkan tentang hal ni. Buat sahaja apa yang aku suruh. Kau faham tak?” balas Rashid.
“Aku faham tapi kenapa?”
“Kau dah terima duit tu jadi kau diamlah... aku terpaksa buat semua ni kau tahu tak?” ujar Rashid lalu keluar dari tandas itu. Fazry Kamal masih lagi ada di dalam. Mereka bercakap di dalam tandas itu.
Fazry Kamal juga telah selesai melepaskan hajat dan kini Rashid memerhatikan sahaja gelagat risau kawannya itu. Rashid melihat Fazry Kamal berkerut dahi. Lalu dia menguntum senyuman buat Fazry Kamal.
“Aku bukan apa Rashid, aku dengan Salwa... nanti apa pula yang berlaku selepas ni? Aku tak nak kena cekup...”
“Sabar... kau bertenang sahaja. Anggap sahajalah yang Salwa tu kekasih kau. Apa susah. Lagipun Salwa okey sahaja tak ada apa-apa masalah pun. Cuma kau ni sahaja gelabah tidak tentu fasal,”
“Kau cakap memang senanglah Rashid, aku ni macam mana? Bukan ada apa-apa ikatan yang sah pun dengan Salwa tu. Aku bukannya rapat dengan dia tu sampai kau suruh aku berlagak mesra dengan dia tu hadapan isteri kau, kenapa? Sudahlah dia tu kuat membebel bukan sahaja di pejabat malah dalam kereta pun. Aku yang memandu kereta dia pun dah rasa rimas,”
“Kau dah bersetuju kan? Kau pun dah sanggup. Konon gerenti bereslah apalah belum apa-apa lagi dah menggelebah sampai macam ni. Habis aku ni kau ingat boleh tahan ke dengan perangai kawan aku yang bernama Fazry Kamal tu?”
“Tu nama aku!”
“Maksud aku memang kaulah! Sudahlah mari kita mulakan perjalanan nanti kalau sudah petang tak seronok pula,”
“Masih awal lagilah. Duduk minum air dululah...” usul Fazry Kamal.
 Rashid merasakan ada eloknya mereka duduk minum dulu. Tapi bukan di sini. Mereka harus mencari restoran untuk menghilangkan haus dan berehat seketika.
Sekembalinya mereka ke kereta. Rashid melihat Salwa sedang bercakap dengan isterinya di tepi kereta Honda Accord itu. Entah apa yang dibualkan mereka ketika ini? Rashid ingin tahu juga.
“Seronok berborak. Boleh saya tahu apa yang dibualkan?”
“Oh Encik Rashid... tak adalah, saya saja bual-bual kosong sambil tunggu Encik Rashid dan teman lelaki saya tu,”
“Berapa lama sudah kenal dengan saya ni masih nak berencik-encik lagi. Panggil nama pun sudah cukup,” ujar Rashid sambil diperhatikan oleh Zarina yang sedang mengetap bibir.
“Bukan apa, saya menghormati Encik Rashid,” kata Salwa yang masih nampak cantik walaupun serba ringkas.
“Tak payah... panggil sahaja Rashid pun sudah cukup,”
“Baiklah kalau itu yang Encik Rashid mahu...”
Rashid tersenyum sahaja.
“Baiklah marilah kita cari kedai, kita duduk minum dulu,” ucap Rashid lantas Salwa mengangguk lalu menuju ke kerata BMW. Fazry Kamal sudah menanti di dalam perut kereta.

***

Apa kau tunggu lagi?”
“Yalah...” balas Fazry Kamal dengan pasrah walaupun hatinya kurang senang dengan sikap Salwa.
Dia memandang Salwa lama.
“Apa kau tengok-tengok?”
“Cakap baik-baik tak boleh ke?”
“Macam mana aku nak cakap baik-baik? Laki aku dekat depan tu!”
“Apa punya kawanlah kau ni...” Fazry Kamal seakan mahu menyalahkan Salwa.
Salwa mencerlung biji mata ke arah Fazry Kamal.
Fazry Kamal saat ini berasa serba salah kerana bersekongkol dalam hal ini. Dia sebenarnya tidak sanggup tetapi demi menolong Rashid dia sanggup juga akhirnya itu pun kerana terpaksa. Dia terhutang budi pada Rashid. Kalau bukan kerana Rashid sudah lama dia akan didakwa.
“Kau pun bukannya baik sangat! Mata duitan. Kalau bukan sebab duit kau takkan setuju kan? Minta habuan banyak pula tu!”
“Aku tak mintalah! Suami kau yang bagi bukannya aku yang berkira dengan dia pun,” balas Fazry Kamal sambil memasukkan gear satu lalu menekan pedal minyak mengekori kereta Rashid di hadapan.
“Samalah tu,”
“Tolong sikit. Kau tu kawan makan kawan. Nama sahaja kawan baik tapi perampas,:
“Kau cakap baik-baik sikit kalau kau rasa dan kerja lama dekat syarikat ayah aku tu!” Fazry Kamal diugut pula akan dibuang kerja oleh Salwa.
Lelaki yang bernama Fazry Kamal memang tidak suka dengan sikap Salwa. Dari awal lagi dia begitu anti benar dengan perempuan perampas seperti Salwa itu. Dia mendapat tahu segala-galanya setelah Rashid menceritakan prihal sebenar. Sebagai penutup mulut dia menerima pula suapan. Fazry Kamal sebetulnya tidak sanggup tetapi dia juga manusia biasa yang tidak terlepas dari godaan.
“Tapi memang betul, kau tergamak buat kawan baik kau sendiri macam tu. Kau pun tahu kan yang Zarina tu hamil. Aku pun tak faham kau ni perempuan jenis apa?”
“Diamlah! Kau bukannya tahu apa-apa fasal aku. Jangan nak tunjuk baiklah Fazry! Kau buat sahaja apa yang Rashid suruh. Sudah bagi betis nak paha... malah nak biadap pula dengan aku. Tak sedari diri sungguh kau ni,”
Fazry Kamal mengumam geram. Kalau bukan kerana Salwa adalah anak kepada bosnya sudah lama dia cekik Salwa sampai mati. Mujurlah dia masih mampu bersabar dengan sikap perempuan bernama Salwa yang penuh dengan helah.
Dia sendiri hairan bagaimana Rashid boleh terpikat dengan Salwa dan merahsiakan perkahwinannya daripada pengetahuan Zarina. Jauh di sudut hati Fazry Kamal begitu mengasihani Zarina yang ditipu bulat-bulat. Kalau boleh ingin sahaja dia menceritakan hal yang sebenar kepada Zarina namun dia terikat dengan ugutan demi ugutan. Dan dia rasa serba salah pula tidak tahu sebelah mana dia patut berpihak?
“Masalahnya sekarang aku disuruh jadi kekasih kau. Lepas tu kau dengan Rashid rancang pergi bercuti. Ini yang aku hairan. Kenapa kau buat semua ni? Apa sebenarnya yang kau cuba nak lakukan terhadap Zarina? Zarina tu perempuan baik. Kau kawan dia sampai hati kau buat dia macam tu,”
“Aku kata diam!! Kau memandu dan ikut arahan sahajalah! Jangan nak banyak bunyi. Aku rimaslah dengan kau ni. Macam manalah Rashid boleh pilih kau? Memang satu kesilapan!” marah Salwa buat muka lantas berpeluk tubuh dan melontarkan penglihatan ke luar cermin kereta.
Fazry Kamal meneruskan pemanduannya. Sejak awal lagi dia cuba menelaahnya namun tidak tercapai sebab. Dia masih mencari punca namun seperti sia-sia. Bukan mudah untuk mentafsir sesebuah rancangan yang melibatkan dirinya ketika ini. Tiada yang lebih pantas melainkan wang ringgit namun Fazry Kamal tidak patut menggadaikan maruah dirinya semata-mata menjadi hamba kepada wang. Sudah jelas terlihat wang berkuasa. Wang adalah segala-galanya.
Share this Article on :

4 comments:

zura asyfar addy rifqhiey said...

salwa...i hate u...fazry kamal u r....hee tak nk ckp la...

S. said...

grrr...ada gak makan penampo tawar aku ni!! Salwa ngn Rasyid! Matilah kamu sblm kamu dimatikan!!!!Ya Allah...geramnya!!!

hana_aniz said...

gila benci aku dgn rashid n salwa ni. fazry tu pun sama je!

Amira Atiya said...

salwa...
rashid...
fazry.....
tiga2 nak kena penyepak kaki gajah!

Post a Comment

 

© Copyright ekarya2u 2010 -2011 | Design by Herdiansyah Hamzah | Published by Borneo Templates | Powered by Blogger.com.