Advertise

Secangkir Madu Merah (Bab 21)

Sunday, April 3, 2011

Belaian dan kasih sayang yang diterimanya malam tadi begitu menyentuh hati dan perasaannya. Dia benar-benar tidak menyangka di sebalik amarah masih tersembunyi sifat cinta dari Rashid. Dia fikir Rashid sudah membencinya tanpa sebab munasabah namun Rashid cuma tertekan dengan kerja sahaja. Suaminya telah pun meminta maaf darinya. Jadi itu lebih memadai. Zarina bersifat pemaaf untuk kali ini. Sungguh lembut hati insan bernama Zarina bagaikan sutera yang halus dan sangat tenteram tatkala menerima kemaafan yang dipinta dari suaminya sendiri. Pada malam tadi Rashid menerangkan semua perkara padanya dan barulah Zarina memahami keadaan sebenar.
Dari sudut itu Zarina memandang positif pada Rashid dia tidak pula buruk sangka dan keraguannya lenyap dalam sekelip mata sahaja. Rashid pandai memujuk itulah kelebihan yang ada pada suaminya. Zarina akhirnya berjaya dipujuk.
Dalam tidak sedar permainan kata yang disusun indah dan puitis oleh Rashid pada malam tadi adalah dusta belaka. Sungguh mudah hati dan perasaan Zarina dipermainkan. Sungguhpun begitu jalur rasa dari benang jiwa yang terbit dari hati suci seorang isteri itu tidak pernah mahu mengalah mahupun tunduk pada tanggapan negatif. Baginya semua itu tetap benar kerana ia lahir dari mulut suaminya sendiri. Kepercayaan yang diberikan kepada suaminya bukanlah kaca tetapi permata.
Paluan rindu memanggilnya untuk terus setia. Bukannya dia memperhambakan dirinya dalam cinta tetapi itulah dinamakan hidup berumahtangga. Di mana lagi letaknya kesetiaan seorang isteri kalau bukan pada suaminya? Begitulah yang Zarina lakukan. Cinta mengatasi segala-galanya.
Zarina membina cinta dan dia akan terus setia. Zarina mahukan bahagia dan dia akan memperjuangkannya. Sepahit manapun dia akan telan. Janji Zarina pada diri mahu melihat suaminya juga setia. Bahagia hidup bersama hingga ke akhir hayat. Semua ini adalah impian seorang isteri pada seorang lelaki bergelar suami.
Zarina mengusap perlahan perutnya. Kandungnya hari demi hari kian sarat. Kandungan pertama dan dia mengharapkan kelahiran ini mengubah segalanya. Zarina begitu yakin sekali selepas kelahiran bayi ini, pintu rezeki untuk keluarganya akan bertambah dan rahmat Ilahi akan melimpah ruah.
Tanpa sedar dia dipeluk dari  belakang. Pelukan dari suami tercinta membuatkan dia tersentak seketika dan mujurlah dia tiada penyakit lemah jantung, jika tidak sudah pasti dia akan pengsan di situ juga.
“Abang ni buat saya terkejut sahaja,”
“Jangan marah nanti cepat tua,” pandai pula Rashid berkata begitu. Dirinya sendiri selalu marah. Pernah marah dan sentiasa marah tetapi untuk saat ini amarahnya bagaikan telah lenyap dan dia cuba mengawalnya seboleh yang mungkin. Semua ini untuk satu kebebasan. Biarlah kebebasan  terus berada dalam kedamaian yang berpanjangan.
Zarina sehingga sekarang masih tidak mengerti agaknya. Namun nilai cinta suaminya diangkat tinggi di dalam hati. Biarlah apa pun yang terjadi, Rashid tetap disayangi.
“Abang ni ada-ada sajalah,” Zarina mencubit manja lengan suaminya itu lantas dia mengangkat beg besar masuk ke dalam kereta Honda Accord yang telah dihantar pulang oleh seseorang. Kemungkinan kawan Rashid tetapi itu tidak penting kerana kereta itu sudah ada di rumah ini.
Rashid tidak akan memandu kereta Nissan Skyline itu kerana sudah dicalarkan. Belum berkesempatan dicat semula. Biarlah di situ dulu dan biarlah amarah itu disimpan dan Rashid pasti selepas ini akan membalas segala perbuatan budak perempuan lasak itu. Rashid memberikan perempuan lasak itu satu peluang untuk berseronok terlebih dahulu.
“Sayang sayang sayang... biar abang sahaja yang angkat beg ini,” ujar Rashid.
Zarina gembira kerana ini bukanlah perkelahan biasa ini adalah percutian kerana Rashid bersetuju dengan pelawaan Salwa untuk bercuti hanya dalam negeri sahaja. Kata Rashid bagus juga kerana boleh berjimat. Percutian di dalam negara sendiri lebih baik.
Zarina membiarkan pula suaminya mengangkat beg masuk ke dalam bonet kereta. Mereka akan memulakan perjalanan untuk ke sebuah tempat di awal pagi ini. Tanpa Zarina sedar ada seseorang telah menghampirinya sebaik sahaja pintu pagar telah terbuka.
“Amboi suami isteri ni nak pergi mana bawa beg besar-besar tu? Nak pindah ke?” Intan datang tanpa diundang terpinga-pinga sendiri.
“Eh Kak Intan... masuk tak beri salam pun, selalunya Kak Intan akan beri salam dulu sebelum menegur,” Zarina mengingatkan Intan berkenaan adab dan sopan dalam menyapa.
“Lupa pula, Assalamualaikum,”
“Waalaikumussalam,” jawab Zarina dan Rashid serentak.
“Ni mesti nak pergi honeymoon lagi kan? Tengah sarat-sarat mengandung pun masih nak bersiar-siar. Encik Rashid tak nak jaga Zarina dekat rumah ke? Amboi Zarina ni, nak pergi bercuti semalam tak beritahu pun dan kalau tidak, boleh kakak ikut sekali. Senyap-senyap sahaja ya? Dekat mana nak pergi ni?” sempat lagi Intan membedil telinga Zarina dan Rashid dengan ucapan yang begitu menjengkelkan.
Rashid meluru masuk untuk mengambil barang yang tertinggal dan kini hanya Zarina yang berhadapan dengan Intan. Intan senyum lebar nampaknya. Zarina juga membalas senyuman itu.
“Saya pun baru dapat tahu semalam,”
“Encik Rashid  buat surprise ya?”
Zarina terus mengangguk.
“Ada apa kak datang pagi-pagi ni?”
“Eh... tak boleh datang ke?” Intan terpisat-pisat sendiri tidak tahu alasan apa yang patut diberikan.
Zarina menunggu jawapan.
 “Boleh saja. Kenapa kak?”
“Kakak datang ni sebenarnya nak jumpa dengan Halimah,” balas Intan.
Zarina mengiakan sahaja lantas mengangguk perlahan. Dia seterusnya menjengul kepala di arah pintu itu lantas memanggil Mak Mah. Usai itu Mak Mah pun tiba bersama sudip lagi.
“Kamu tak ikut ke Halimah?” soal Intan.
“Saya tak ikutlah Puan Intan... saya jaga rumah,” balas Mak Mah.
“Rugilah kau Halimah... kalau saya memang selalu bawa orang gaji ke mana pergi. Barulah dia buat kerja dengan baik sekali. Bukan apa rasanya orang  gaji ni harus diberikan kebebasan juga. Bukannya boleh dianggap hamba abdi. Tak gitu Ina?”
“Ya, ya Kak Intan...” jawab Zarina.
“Bukannya majikan saya ni tak ajak saya, tapi saya yang tak nak ikut. Saya selesa berada di rumah ini sahaja,”
“Oh lupa yang Halimah tak ada rumah...” tempelak Intan tanpa memikirkan perasaan orang lain. Cakap ikut sedap mulut sahaja.
Zarina masih menguntum senyuman. Ucapan Intan itu langsung tidak disimpan dalam hati. Untuk apa dia melayan sikap begitu? Kalau dilayan makin menjadi-jadi. Bukannya dia tidak tahu sikap jirannya itu. Sudah dua tahun dia tinggal dekat sini. Sudah masak benar dia dengan perangai Kak Intan itu.
“Sayang... dekat mana sayang letak stoking abang?” tanya Rashid dari dalam.
“Tinggal dulu ya kak, Abang Rashid dah panggil tu,” pinta Zarina untuk masuk ke dalam rumah setelah suaminya memangilnya.
Dengan itu Zarina terus masuk dan tinggalkan Mak Mah bersama Intan di luar itu. Zarina mengatur langkah mendapatkan suaminya.
“Ini stokingnya abang...”
“Abang tahu...”
“Lah, kalau dah tahu kenapa panggil Ina lagi bang?” tanya Zarina pada suaminya yang bercekak pinggang itu.
“Abang sengaja panggil sebab abang tak suka jiran kita tu. Awak pun tahu mulut dia tu suka pot pet pot pet saja memanjang... ish...” Rashid mengumam geram.
“Habis tu kenapa pula bang?”
“Dia tu suka busy body, abang kurang suka. Dari dulu lagi abang memang tidak suka dia tapi sayang masih juga nak berkawan dengan dia tu,”
“Habis tu dengan siapa lagi saya nak berkawan bang? Kak Intan tu sahaja yang selalu jenguk saya dekat rumah ni masa abang tak ada. Lagi pun kami bercerita hal perempuan bang tak ada benda lain,”
“Itu abang tahu tapi kalau boleh jangan semua benda awak nak beritahu dia,”
“Mana ada bang...”
“Dah tu macam mana dia laju sahaja melangkah ke rumah kita pagi-pagi buta ni?”
“Dia memang macam tu bang,”
“Melainkan kalau awak yang tak cerita apa-apa dekat dia. Awak pun memang suka bercerita hal rumahtangga kita pada orang lain ya? Kalau awak buat macam tu saya tak akan maafkan awak,” wajah Rashid berona merah.
Barangkali Rashid memang menahan marah dengan jiran itu. Rashid bosan dengan sikap jiran seperti Intan Suraya itu yang suka jaga tepi kain orang lain terutama sekali hal keluarga ini.
Zarina berkerut dahi kerana telah dituduh melulu seperti itu. Kenapa suaminya berubah wajah hingga mahu menelan dirinya yang sedang terpisat-pisat ini? Zarina mula memuncungkan mulut. Rashid harus pujuk jika tidak Zarina pasti tarik muka kerana malam tadi bukan main lagi manis berbicara sekarang main tuduh pula.
“Sampai hati abang tuduh saya macam tu,” kata Zarina perlahan berpaling wajah kerana merajuk dengan suaminya.
“Abang bukan tuduh, tapi abang rasa memang betulkan?”
“Selama saya duduk dekat sini, satu benda pun saya tak cerita keburukan abang pada orang lain. Bagi saya suami sayalah yang terbaik. Suami yang tak pernah tampar saya. Dan suami saya adalah orang yang paling baik dalam dunia ni. Abang faham tak?” balas Zarina membetulkan kenyataan.
Cepat-cepat Rashid memekup mulut isterinya tidak mahu jiran yang berada diluar itu mendengar Zarina membentak pula.
“Awak ni kenapa macam nak marah abang pula ni?” tanya Rashid yang masih memekup mulut Zarina dengan tapak tangan.
Zarina kemudiannya menepis tangan suaminya kerana tidak selesa bila suaminya berbuat sedemikian.
“Sebab perangai abang. Abang selalu kerja luar lepas tu tinggalkan saya sendiri saya tak kisah pun. Dengan siapa saya berkawan abang peduli pula. Selama ni dengan siapa pun abang berkawan saya tak ambil kisah bang, tapi kali ini abang dah buat saya betul-betul terasa hati...” lirih pula nada Zarina.
“Sayang... bukan macam tu maksud abang,”
“Habis tu apa bang? Saya sunyi sangat bang ketika abang tidak ada dekat rumah... saya rindu dekat abang. Saya rindu kasih sayang abang. Baru malam tadi abang membayar harga rindu saya dengan tutur bicara abang yang mendamaikan hati saya ni bang tapi saya mahukan Encik Rashid anak Dato` Sri Ryzal seawal perkahwinan dulu, yang baik yang peramah dan yang penyabar... bukan macam sekarang ni bang yang boleh berubah sikap dalam sekelip mata sahaja, ” Zarina meluahkan apa yang terpendam di lubuk hatinya.
Rashid terdiam tatkala Zarina mempertikaikan segala ucapan itu.
Akhirnya air mata seorang isteri menitis laju. Namun adakah air mata itu dapat melemburkan hati Rashid sekeras kerikil itu? Mampukah Zarina mengembalikan kebahagiaan yang tercipta seawal dulu?
Rashid terus mendakap sesusuk tubuh itu. Pelukan yang diberikan itu dianggap oleh Zarina adalah pelukan cinta walhal itu hanyalah pelukan bercampur dusta yang tidak ikhlas dan hanya dibuat-buat sahaja. Lakonan Rashid barangkali tidak dapat dihidu oleh Zarina ketika ini.
Share this Article on :

7 comments:

fahizal azron said...

byk ksalahan...hihihi..
*sudap-sudah
*beng-beg

Miqael Arshad said...

terima kasih :)

zura asyfar addy rifqhiey said...

adoyai rashid ni..sabau je la..

Hafia Hana said...

cmpak si rasyid ni dlm longkang
nyampah gile2

S. said...

aku campak gak dalam laut china selatan si Rasyid ni kan!!!grrrr...good job mike, anda berjaya buat saya nk bunuh org!!muahahahaha

fezmia said...

zarina masih bengong, kesian dia :(

Amira Atiya said...

rashid nak kena tembak ngan aku ni

Post a Comment

 

© Copyright ekarya2u 2010 -2011 | Design by Herdiansyah Hamzah | Published by Borneo Templates | Powered by Blogger.com.