Advertise

Secangkir Madu Merah (Bab 20)

Saturday, April 2, 2011

 Zarina melihat keganjilan yang ditonjolkan namun tidak pula mengesyaki apa-apa. Mak Mah di situ meletakkan nasi ke dalam pinggan. Lauk pauk yang dihidangkan pada malam ini begitu menyelerakan sekali. Rashid meminta Mak Mah memasak lauk yang sedap-sedap maka Mak Mah sediakan. Kebiasaannya Rashid tidak akan meminta-minta sedemikian tetapi kali ini hidangan daging masak merah ingin disantap enak.
Usai meletakkan nasi ke dalam pinggan, Mak Mah kembali semula ke dapur kerana terlupa bawakan air untuk mereka berdua. Zarina ketika ini memerhatikan sahaja suaminya itu yang selalu tersenyum. Dia ingin bertanya berkenaan hal petang tadi. Mak Mah telah memberitahu perkara yang agak memeranjatkannya.
“Abang...”
“Ya sayang...” balas Rashid tersenyum lagi.
“Abang nampak happy saja? Abang tak marah?” Zarina memberanikan dirinya untuk bertanya hal itu.
“Sayang... selepas makan nanti abang ada perkara nak bincangkan dengan awak...” lembut bicara Rashid penuh kepura-puraan. Zarina dapat merasakannya namun baginya dia berasa tenang dengan keadaan ini. Kedamaian mula menusuk ke kalbunya. Beginilah keadaan yang dia inginkan.
“Baiklah abang...” kata Zarina.
Mak Mah kembali semula ke ruang meja makan itu dan meletakkan jug air di situ. Mak Mah menghulurkan bekas air basuh tangan pada Rashid kemudian diberikan pula pada Zarina.
“Terima kasih Mak Mah...”
“Sama-sama...”
“Mak Mah...” panggil Rashid.
“Ada apa Encik Rashid?” tanya Mak Mah.
“Duduklah makan sekali...” pelawa Rashid.
“Encik Rashid ni... Mak Mah malam-malan tak makan nasi, on diet...”
Tergelak Zarina mendengar jawapan Mak Mah. Zarina memekup mulutnya lucu dengan apa yang Mak Mah katakan. Mak Mah hanya tersenyum dan Rashid pula mengangguk faham.
“Kenapa sayang ketawa?”
“Tak ada apa-apalah abang... Mak Mah ni buat saya nak ketawa. Sejak bila Mak Mah on diet ni? Selalu Mak Mah elok sahaja makan nasi tengah-tengah malam,” ucap Zarina memandang Mak Mah yang berdiri di sisi.
“Semenjak Mak Mah mendapat tahu kandungan gula dalam badan Mak Mah ni dah naik, jadi doktor pesan kenalah control makan...” balas Mak Mah sambil tersenyum lantas kembali semula ke dapur menyiapkan apa-apa yang patut.
“Awak pun sayang kena jaga makan juga lepas ni... bahawa kalau sudah kena kencing manis,” pesan Rashid pada Zarina.
Dengan tiba-tiba sahaja Rashid menunjukkan sikap ambil berat dan berucap dengan penuh lembut serta sarat dengan kasih sayang. Zarina terasa kebahagian kembali semula. Barangkali Rashid telah berubah dan pintu hatinya telah pun terbuka. Zarina bersyukur pada Allah kerana telah memakbulkan doanya setiap kali selesai solat.
“Abang pun sama juga tahu... Saya tak nak abang sakit. Kalau boleh biarlah saya sahaja yang sakit bang...”
“Tak boleh begitu... kalau sayang sakit, siapa nak jaga abang?”
Zarina diam.
Rashid menunggu jawapan.
Zarina menceduk lauk untuk suaminya. Lauk yang sangat sedap dan lazat itu diperhatikan oleh Rashid. Zarina masih membisu namun tangannya masih berkerja. Rashid mula mengatur permainan perasaan. Rashid mendodoi jiwa Zarina ketika ini. Memang Zarina terbuai tatkala suaminya itu menunjukkan sikap yang baik. Sikap yang wajib ditonjolkan oleh seorang suami kepada isterinya.
Biarpun Rashid seperti cuba membeningkan kekeruhan namun masih nampak janggal kerana ia terlalu mendadak. Menjadi teruk secara mendadak dan menjadi sangat terpuji juga sangat mendadak. Tiada keseimbangan. Bagi Zarina semua itu tidak penting kerana adanya suami di sisinya sudah memadai biarpun cinta itu tidak berupa kerana cinta sedemikian ibarat cangkir tanpa madu merah. Kemanisan cinta sebenarnya menghilang sedikit demi sedikit. Zarina masih tidak sedar. Barangkali dia kekal mencintai Rashid.
Bunga-bunga cinta bakal gugur bila mendapat tahu perkara yang begitu menakutkan. Cinta hati dan jiwa seringkali dipermainkan. Malah cinta itu seperti diperkosa dan dizalimi dengan teruk sekali. Adakah Zarina tidak sedar? Zarina masih terbang tinggi? Sayapnya akan patah maka jatuhnya parah. Tidak dapat dinafikan lagi kerana kecederaan  itu mungkin meragut nyawannya sendiri.
Malam yang dirasakan sangat indah. Menikmati hidangan bersama-sama menjadi impian isteri sepertinya. Ingin sahaja dia makan bersuap seperti dulu namun tidak dapat pula. Mungkin Rashid lupa bahawa dia suka dan berminat sekali dengan perhatian itu. Barangkali tidak mengapa kerana saat ini dia berada di meja makan bersama suami tercinta membuatkan kedamaian seribu kali mendatang lebat.
“Alhamdulillah...” ucap Rashid kekenyangan.
Zarina bertuah kerana Rashid masih mampu mengucapkan kalimah kesyukuran itu. Biarlah apa-apa pun yang berlaku, Rashid tetap suaminya. Suami yang patut membimbing dia ke jalan yang lurus namun suaminya masih goyah. Zarina merasakan suaminya memerlukan suntikan semangat dalam menjernihkan jiwa angkara kesilapan itu. Pada malam ini juga banyak perkara yang ingin ditanya oleh Zarina. Rashid mesti menjelaskan perkara sebenar.
“Kenyang abang? Nak tambah nasi lagi?”
“Cukup... abang sudah terlalu kenyang...”
“Makanlah sedikit lagi,”
“Tak apa sayang, cukupah tu nanti pecah perut abang ni,”
Zarina ketawa perlahan.
Suaminya terus bangun setelah memberitahu padanya untuk menunggu di ruang tamu. Zarina mengiakan sahaja dan dia juga akan ke situ sebentar lagi setelah siap membantu Mak Mah di dapur. Sekilas Zarina memandang jam di dinding sudah pukul sembilan malam. Agak lewat juga mereka makan malam ini namun tidak mengapa kerana perut sudah kenyang biarpun Zarina hanya makan sedikit sahaja. Banyak perkara yang difikirkan saat ini.
“Encik Rashid nampak baik malam ni...”
“Yalah Mak Mah... Alhamdulillah... Tuhan memakbulkan doa saya,” balas Zarina meletakkan pinggan ke dalam singki.
“Tak apa Ina... biar Mak Mah yang basuh... pergilah dekat Encik Rashid tu, dia sudah tunggu. Barangkali ada perkara penting yang nak dibincangkan tu. Mak Mah rasa perkara yang membahagiakan Ina kut. Dari tadi asyik senyum sahaja biarpun keretanya petang tadi tercalar. Mahu Mak Mah tak marathon lari tadi terkejut dia menjerit macam nak bunuh orang. Takut Mak Mah. Garang sungguh Encik Rashid tu ya?”
“Abang Rashid tu tak garanglah Mak Mah... bukannya Mak Mah tak tahu yang Abang Rashid tu sebenarnya penyayang cuma sebelum ni dia agak celaru sikit. Jadi saya nak tanya dialah memandangkan moodnya elok sahaja,”
“Itulah yang Mak Mah pelik,”
“Saya pun sebenarnya pelik juga tapi tak mengapalah Mak Mah... kuasa Tuhan merubah hati seseorang tu,”
“Semoga hidayah diberikan padanya,”
Zarina tersenyum lalu dia meninggalkan ruang dapur itu untuk mendapatkan suaminya yang sedia menunggu di ruang tamu itu. Zarina pernah terlupa ketika dulu dipanggil berbincang dan dia lena di bilik tidur tetapi waktu itu Rashid tidak pernah mahu marah seawal mereka mendirikan rumahtangga. Zarina memberikan alasan dan Rashid menerima alasan itu. Zarina tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri. Setiap detik dan setiap ketikanya Zarina akan bertanya khabar suaminya yang meninggalkan rumah kerja di luar kawasan.
Untuk memahami Zarina bukan susah. Perempuan sepertinya hanya memerlukan belaian dan perhatian sahaja. Dimanja dan diberi kasih sayang yang selayaknya untuk dirinya sebagai seorang isteri. Jika dia dilayan seperti apa yang baru terjadi sebelum ini, seolah-olah dirinya melakukan kesilapan yang sangat besar. Zarina keliru tentang hal berkenaan.
Dua tahun yang lalu memang satu perbezaan yang amat ketara sekali di waktu sebelum berumahtangga sehinggalah hidup berumahtangga dan bersuamikan Rashid anak Dato` Sri Ryzal ini. Begitulah sikap Rashid seperti di meja maka sebentar tadi, berlembut dan tidak kasar dalam berbicara malah sentiasa berfikir dulu sebelum membalas kata-kata. Zarina teramat rindu pada suasana seperti itu memandangkan suaminya sebelum ini jarang berada di rumah.
Zarina sudah tahu bahawa Rashid bukannya bercuti untuk beberapa hari tetapi cuti panjang. Dia begitu gembira kerana dia beranggapan cuti panjang itu adalah untuk dirinya. Rashid mahu temankan dia di rumah kerana dia sedang hamil Sungguh seronok dan bahagianya hidup ini bersuamikan Rashid yang akan menjaganya nanti. Kuntuman bunga di taman hati mekar disirami kasih dan sayang dari Rashid di sisi. Saat ini dia telah melabuhkan punggung di sisi suaminya itu. Perlahan-lahan bahu suaminya diurut. Begitu sayang dan cintanya Zarina pada suaminya.
Biarpun bahagia itu cuma sementara namun Zarina tidak rela melepaskannya. Zarina tetap sayang dan setia walaupun tangan Rashid telah hinggap ke pipinya semalam. Tamparan itu masih terasa hingga ke saat ini namun dia tidak memikirkannya lagi. Barangkali itulah tamparan rasa sayang dari Rashid untuknya.
“Lega sedikit bahu abang... terima kasih sayang...” ucap Rashid pada Zarina.
Rashid terus memegang tangan Zarina menyebabkan urutan itu tidak dapat diteruskan lagi. Mereka berdua saling berpandangan dan akhirnya Zarina tewas lalu tertunduk malu.
“Kenapa abang pandang saya macam tu... malulah,” Zarina meluahkan rasa malunya pada suaminya yang begitu kacak pada malam ini. Wangian menusuk rongga. Zarina tersenyum mekar biarpun segan.
Dagu Zarina dikuis perlahan. Mata Zarina tertancap pada wajah tampan dan segak itu. Wajah suami tersayang. Wajah yang dicintai. Namun adakah hati suaminya itu dalam pelukan? Zarina tidak pasti.
“Esok kita pergi bercuti... abang setuju dengan apa yang kawan awak cadangkan,”
Zarina yang mendengarnya terkejut sekali. Hatinya berbunga mekar. Rasa tidak percaya kerana Salwa berjaya memujuk suaminya yang keras kepala ini untuk pergi bercuti.
“Benar ke bang?”
Rashid mengangguk perlahan dan menguntum senyuman paling manis buat Zarina ketika ini. Sekarang kebahagiaan benar-benar milik Zarina. Suaminya bersetuju juga akhirnya.
“Awak nampak sungguh seronok...”
“Isteri mana yang tidak seronok bang bila suami ajak bercuti...?” balas Zarina malu-malu lalu memeluk tubuh suaminya. Rashid membalas pelukkan itu.
“Untuk awak... kita harus bahagia,” ucap Rashid sambil mengusap lembut bahu Zarina dengan penuh kasih sayang.
‘Terima kasih Salwa kerana kau telah berjaya pujuk suamiku sebelum aku bertanya sendiri dengannya. Aku begitu inginkan dia bersama denganku di saat terindah seperti itu. Kebahagiaan aku adalah bersama dengan suamiku. Salwa... kaulah kawan baikku dunia dan akhirat,’ bisik hati Zarina.
Bila diri terasa disayangi semula, hidup yang pahit hilang dalam sekelip mata namun tetap bersisa lagi. Entah bagaimana kekeruhan hati menjadi bening pula. Rashid pandai mengambil peluang itu. Rashid mempermainkan hati dan perasaan isteri sendiri.
Zarina perlu tabah menjalani hidup yang tidak pernah mudah. Hidup yang begitu sukar menjalar relung rasa yang kian memipih itu. Setelah dituai dengan benih asmara maka cinta dan sayangnya pada Rashid terus membukit.
“Saya cintakan abang...”
“Abang juga sayang... abang betul-betul mengharapkan kemaafan dari sayang. Abang tidak sengaja kerana abang terlalu ikutkan perasaan tetapi mujurlah ada isteri abang yang pandai jaga hati abang,” ucap Rashid dengan penuh lemah lembut membuai perasaan Zarina yang dahagakan perhatian.
“Jangan buat macam tu lagi ya bang? Saya harap abang kekalkan sikap abang yang penyayang macam ni. Saya suka bang... saya suka abang berlembut macam ni. Orang yang tampan macam abang usahlah marah-marah ya bang nanti hilang ketampanan abang tu...”
“Awak hanya mencintai paras rupa abang ke sayang?” Rashid sekadar bertanya.
“Tidak abang... saya cintakan abang dari hati bukan di mata yang memalsukan segalanya. Hati saya untuk abang. Demi anak dalam kandungan ni saya harap abang akan sentiasa di sisi saya,” Zarina melahirkan harapan yang menggunung.
Rashid menguis dagu Zarina lantas dahi Zarina dikucup lembut. Begitulah seharusnya Zarina dapat. Belaian dan kasih sayang. Zarina impikan kebahagiaan yang berpanjangan bukannya sekerat jalan. Adakah kucupan itu adalah dari rasa sayang di hati Rashid? Sukar untuk dimengertikan oleh Zarina kerana dia merasakan itu adalah lahir dari makna ketulusan. Itu adalah keikhlasan dan itu lahir dari dalam jiwa yang suci. Sesuci cintanya bertahan selama dua tahun dibayar dengan kucupan itu?
Zarina malu-malu merah pipinya. Zarina melarikan wajah namun cepat disorong oleh Rashid agar wajah Rashid ditatap olehnya. Sukarnya untuk dia bertentang mata dengan suaminya saat ini. Perilaku suaminya kelihatan begitu romantis sekali.
Perlahan-lahan Rashid merapatkan telinga pada perut Zarina. Tersenyum Zarina melihat gelagat suaminya yang mahu mendengar apa kata anaknya di dalam perut.
“Comel... tidur ke sayang?” Rashid bersuara untuk anak di dalam perut Zarina.
“Abang... dia selalu mendengar apa yang abang bicarakan. Dia juga tidak sabar untuk melihat wajah ayahnya yang kacak ni,” ujar Zarina sambil disusuli tawa halus.
Rashid mengusap kandungan Zarina  yang sarat itu sambil memandang Zarina lama-lama. Rashid menguntumkan senyuman yang sangat manis bagai madu itu. Zarina membalasnya dengan senyuman juga kemudian diketap perlahan bibir merahnya itu.
“Abang tahu sayang... anak kita juga tidak sabar mahu melihat  wajah ibunya yang cantik... seorang ibu yang baik,” Rashid memuji Zarina.
Zarina bahagia. Sungguh dia rindukan saat-saat begini. Saat jiwa dan cintanya berpadu. Meraih cinta yang mendalam dari suaminya sendiri. Cinta luhur dari hati.
“Walaupun abang pernah jauh dari sayang tetapi, saat diri disayangi oleh sayang, ia tersangat indah... pejam mata pun terbayang-bayang,” beritahu Rashid tatkala dia berkerja di luar kawasan sebelum ini.
“Begitu juga dengan saya bang...” balas Zarina sambil menyambut tangan suaminya lantas dicium lembut.
Apakah Rashid merasai ciuman setia itu? Adakah Rashid akan menghargainya? Barangkali Zarina masih belum mengetahui hakikat sebenar. Namun dia mencintai Rashid sepenuh jiwa raganya.

Share this Article on :

10 comments:

zura asyfar addy rifqhiey said...

hipokrit...eee...benci..

Miqael Arshad said...

aduhai... saya tidak tahu apa yang awak semua rasa ketika membaca bahagian ini.... hurm....

fahizal azron said...

yup hipokkrit....
nak bcuti konon....
ada udang disebalik mee...
haahahahahaha

keSENGALan teserlah.. said...

ciskek betul si rashid ni.
kesia zarina !
rashid ni ada masalah split personaliti ke hape?isk3

Hafia Hana said...

myampah gile 2 ngan rasyid ni
flash dlm jamban je la

Amira Atiya said...

plastik pak cik rashid ni~

blinkalltheday said...

ape la rancangan rashid ni yea?rashid, jgn nyesal di kmudian hari sudah lah, tp sy pecaya, zarina ttp cintakan awak smp bila2, kan??awak je yg xmau mengerti..

Miqael Arshad said...

kenalah ikut kisah selanjutan untuk mengetahuinya lebih lanjut. Terima kasih kerana sudi menyokong cerita ini. Pada yang belum beri komen, sila-silakanlah supaya saya dapat memperbaiki mutu persembahan penulisan saya...

fezmia said...

zarina yg sgt bodoh. ada ke org yg naif macam tu lagi?

S. said...

mike...nak ketuk rasyid ni buat sambal!!!grrrr...geraammm!!!

Post a Comment

 

© Copyright ekarya2u 2010 -2011 | Design by Herdiansyah Hamzah | Published by Borneo Templates | Powered by Blogger.com.