Advertise

Secangkir Madu Merah (Bab 14)

Friday, April 1, 2011

Air mata cinta tidak akan gugur selamanya
andai dirinya jujur maka lenyaplah sengsara

“Assalamualaikum Ina... buat apa tu? Termenung di pagi hari nampaknya,” terdengar pula suara di hadapan pintu pagar.
“Eh Kak Intan... Waalaikumussalam, jemputlah masuk,” Zarina mempelawa Intan masuk. Intan sedang mendukung budak kecil.
“Macam mana kakak nak masuk Ina... pagar kamu ni berkunci, tapi kalau pencuri memang gigih akan panjat pagar,” balas Intan di situ.
“Oh... tunggu sekejap ya,” pesan Zarina.
Zarina yang termangu sendiri di tepi kolam ikan terus bangun dan kembali ke dalam untuk mengambil kunci pintu pagar itu. Usai itu dia keluar semula dan melangkah ke arah pintu pagar itu untuk membukanya. Intan menunggu di pintu pagar yang satu lagi itu. Zarina tidak membuka pintu pagar besar itu. Jika pintu pagar itu hanya ditekan sahaja pada alat kawalan jauh.
 “Maaflah Kak Intan, mungkin Mak Mah terlupa hendak membukanya tapi tak mengapalah. Jemput masuk kak...” lembut tutur bicara Zarina.
Zarina seorang wanita yang berperwatakan lemah lembut. Dirinya memang dilahirkan begitu dan dia selesa dengan dirinya kini. Apakah makna wanita itu sendiri jika kelembutan hilang? Kelembutan wanita bukanlah kelemahan tetapi ia adalah kekuatan. Sumber kekuatan itu lahir dari dalam jiwa.
Intan yang mendukung budak comel itu melangkah masuk sambil menguntum senyuman yang paling manis umpama madu. Senyuman yang disedekahkan sungguh istimewa sekali berbanding sebelum ini.
“Suami kau mana Ina? Dia pergi kerja ke?”
“Dia keluar kak, dia cuti panjang,”
“Begitukah?”
Zarina mengangguk.
Mereka beriringan mengatur langkah lalu dijemput oleh Zarina untuk duduk dibangku berhampiran dengan kolam ikan. Bunyi kocakan air hasil dari loncatan ikan kedengaran.
“Kamu buat apa termenung tepi kolam tu tadi Ina?”
“Biasalah kak beri ikan makan... seronok tengok ikan-ikan tu berenang,”
“Kau tak berenang sekali ke?”
“Kakak ni ada-ada sahaja,”
“Kakak bergurau sajalah,” balas Intan berseloroh.
Zarina tersenyum mendengar gurauan Intan yang nampak bahagia sekali di pagi ini. Mungkin ada sesuatu agaknya. Zarina sendiri tidak pasti. Tidak lama selepas itu Intan buat-buat garukan telinga. Ternampak gelang cantik yang dipakai oleh Intan.
Lama sungguh Intan menggarukan telinga kemudian melurutkan rambut pula menoleh kiri dan kanan. Cantiknya anting-anting yang dipakai oleh Intan. Zarina memerhatikan sahaja. Anak lelaki Intan itu yang tadinya didukung diletakkan di atas bangku yang satu lagi. Melompat budak itu bagaikan baru bebas dari kurungan. Serta merta budak lelaki itu pergi tepi kolam.
“Cantiknya gelang kakak,”
“Gelang sahaja ke?”
“Anting-anting pun sama juga cantik,” puji Zarina dan memang Intan mengharapkan pujian dari Zarina.
Seronok sungguh Intan dapat menayangkan barang kemas baru itu. Biasalah kalau tidak ditunjukkan untuk apa lagi? Barang kemas yang mahal kalau disimpan tiada gunanya. Bangga Intan dapat memakainya ketika ini.
“Kamu tahu berapa harga barang-barang kemas ni?” Intan bertanya.
“Tak tahu kak, lagipun saya tak ada barang-barang kemas seperti itu saya cuma ada cincin perkahwinan sahaja,” balas Zarina.
“Kenapa kau tak suruh suami kau belikan? Dia kan banyak duit, anak Dato` lagi tu. Rugi kalau kita sebagai perempuan tak pakai emas berlian ni tahu?”
“Tak apalah kak...” balas Zarina pula.
Intan mengetap bibir lalu menoleh ke arah anaknya yang sedang memerhatikan ikan-ikan di dalam kolam itu sekilas. Kemudian Intan memandang semula pada Zarina.
Paha Zarina dicuit.
“Selama kita berjiran ni kakak tak pernah tengok kamu pakai barang kemas. Kenapa Ina? Kau tidak sukakan benda-benda ni ke?” soal Intan lagi.
Zarina hanya tersenyum sahaja. Bukan dia tidak mahu tetapi memang dia tidak biasa memakai barang kemas. Lagi pula kalau dia pakai rantai dan anting-anting sekalipun bukan untuk dilihat oleh pandangan umum. Zarina seorang yang bertudung. Perhiasan dirinya adalah untuk dipertontonkan kepada suami tercinta sahaja bukannya pada orang lain yang bukan muhrimnya.
“Perhiasan tu semua tidak penting kak... saya memang kurang suka,” Zarina mempamerkan ketenangan.
“Begitu pula,” Intan berasa sia-sia sahaja dia menayangkan barang kemas yang dipakai kerana Zarina seakan tidak berminat sahaja.
Bukan Zarina tidak berminat tetapi baginya emas permata mahupun berlian itu hanyalah perhiasan dunia yang memang diciptakan untuk mata-mata yang sukakannya. Suka melihatnya dan suka menayangkannya. Bagi Zarina emas atau permata yang sebenar adalah keluhuruan dan kesucian hati. Tiada yang lebih bermakna dari semua ini.
Intan mengeluh halus.
“Kenapa kak?” Zarina bertanya selepas melihat reaksi wajah Intan yang bertukar wajah itu.
“Kakak bukan apa Ina... kita ni perempuan... kalau kita tidak kelihatan cantilk tiada maknanya kita jadi perempuan. Kakak berhias cantik-cantik ni untuk suami kakak juga. Kalau Ina nak tahu semua ni Abang Muhyiddin yang belikan sempena ulang tahun perkahwinan kami malam tadi. Seronok Ina... Abang Muhyiddin sambut dekat hotel dengan penuh romantik sekali,” Intan begitu bangga dengan apa yang dimilikinya sekarang ini.
“Alhamdulillah, sudah rezeki kakak...”
“Ulang tahun perkahwinan kamu dah lepas ke belum?”
“Belum lagi...,”
“Sebelum ni?”
“Kami buat doa selamat kak,”
Intan terdiam seketika seakan tersentak pula mendengar jawapan itu. Barangkali terkena batang hidung sendiri agaknya. Cepat-cepat Intan mahu mengubah topik.
“Kakak ingatkan kamu tak ada dekat rumah ni tadi memandangkan kereta kamu tidak ada. Itu yang kakak mari jenguk tu,” Intan memberi alasan sahaja hakikatnya mahu tayangkan emas semata-mata.
“Kereta saya Abang Rashid yang bawa,”
“Kereta mahalnya mana?”
Zarina tidak tahu apa yang hendak dijawabnya memandang dia sendiri tidak tahu apakah sebabnya. Memang kereta Rashid tidak ada. Otak Zarina ligat mahu menciptakan alasan namun dia tewas untuk memalsukan kenyataan.
“Tak pasti kak,”
“Macam mana kamu boleh tidak pasti pula? Dia kan suami kamu...?” Pertanyaan Intan seakan mahu memerangkap dirinya. Intan seperti mahu mengambil tahu hal rumahtangga orang lain.
Zarina terpinga-pinga untuk menjawabnya bagi mempertahankan kebahgiaan yang dipalsukan semenjak hal perubahan sikap Rashid. Sukar baginya untuk berdalih namun hakikat dia tidak tahu langsung mengenai hal itu. Jika tidak pergolakkan rumahtangganya pasti akan diketahui oleh jiran tetangga terutamanya Intan yang memang sering ke rumahnya bertanya itu dan ini. Bercerita tentang keluarga serta hal masak-memasak.
Selama ini dia selalu berbohong. Dia selalu bercerita hal yang baik-baik sahaja tentang suaminya. Apakah dia ingin mengatakan tidak tahu? Jawapannya mengatakan tidak pasti sebentar tadi pun telah membuatkan Intan berfikir lain. Memang nampak jelas Zarina sudah goyah.
Sukar untuk dia menjawabnya. Dia hanya mampu menguntumkan senyuman yang janggal. Senyuman yang sangat pahit. Barangkali Intan dapat membaca garis-garis lesu di wajah Zarina sekarang ini dan itulah yang amat ditakutkan oleh Zarina.
“Encik Rashid pinjamkan kereta pada kawannya, jadi dia bawalah kereta Puan Zarina ni keluar pergi jumpa kawannya itu. Barangkali ada urusan kerja,” tiba-tiba Mak Mah mencelah menyelamatkan keadaan.
Mujurlah Mak Mah muncul tepat pada masanya jika tidak Zarina pasti tidak tahu apa alasan apa yang wajar diberikan. Otaknya saat ini benar-benar kusut.
Mak Mah hadir membawa dulang berisi dua tiga cawan minuman. Mak Mah menyelamatkan keadaan. Sungguh bertuah Zarina kerana Mak Mah hadir ketika ini.
“Jemput minum Puan Intan,” pelawa Mak Mah sambil meletakkan minuman tersebut di atas meja.
Zarina ketika ini menarik nafas lega. Dirinya bagaikan telur dihujung tanduk sahaja sebentar tadi dan sekarang dia benar-benar tenang.
“Susah susah sahaja...” balas Intan.
“Tak ada susahnya puan... air kosong sahaja. Puan kan tak suka minum manis-manis,”
“Betul tu, terlalu minum manis ni boleh membahayakan kesihatan juga. Boleh menyebabkan kencing manis,”
“Kalau nak kencing masin pula minumlah yang masin-masin ya puan?” Mak Mah berseloroh maka mereka ketawa serentak.
Pagi itu terisi dengan hilai tawa dari mereka. Mak Mah memang pandai buat lawak bagi menceriakan keadaan terutama sekali untuk Zarina. Mak Mah tahi sebentar tadi Zarina celaru tidak tahu apa yang hendak dijawabnya.
“Eh... mana Adam? Adam?!” Intan memanggil anaknya. Anaknya bernama Adam tiada di birai kolam itu.
“Yalah...” balas Zarina.
Intan terus bangun mencari Adam lalu dia mendekati kolam itu. Terkejut Intan melihat keadaan yang mendebarkan sebentar tadi.
“Kamu buat apa ni Adam?”
“Ikan ni sangat comel mama... Adam nak tangkap ikan bawa balik,” balas budak kecil itu yang sudah berada di dalam kolam. Habis lencun bajunya.
Zarina dan Mak Mah ketawa. Ketawa melihat telatah lucu anak kecil itu yang rupa-rupanya berada di dalam kolam ikan yang cetek airnya. Jika air kolam itu dalam sudah pasti anak kecil itu berenang-renang di dalamnya.
Share this Article on :

1 comments:

Amira Atiya said...

busy body intan ni..

Post a Comment

 

© Copyright ekarya2u 2010 -2011 | Design by Herdiansyah Hamzah | Published by Borneo Templates | Powered by Blogger.com.