Advertise

Secangkir Madu Merah (Bab 13)

Friday, April 1, 2011

Selagi rindu itu ada cinta akan kekal bersinar
Selagi hati masih bertaut maka kasih tidak nanar

Buktikan ada cinta dalam jiwanya kerana sekarang telah hilang. Barangkali ada cinta pada orang ketiga telah wujud di antara cinta pertama. Bukankah amat menyakitkan sekali bagi isteri yang setia itu? Rashid tidak peduli tentang itu. Semalam dia meneroka keajaiban dalam cinta barunya. Cinta bersama orang lain. Bukan lagi cinta pada Zarina. Apa itu cinta pada Zarina? Bagaikan sampah terbuang. Tidak suci tidak jernih lagi dari hatinya untuk Zarina. Tempias bosan dan kusam warnanya tiada elok dipandang lagi apatah lagi merasainya. Dia fikir Zarina masih tidak tahu.
Mudah-mudah dia melukakan hati wanita itu yang bergelar isteri kepadanya. Mudah-mudah dia melepaskan rindu dendam selama ini bertaut utuh kini terlerai. Namun bagi Zarina ia kekal ada. Ia masih setia. Dia kekal menunggu. Rashid pulang ke rumah diam seribu bahasa. Tidak berkata apa-apa dan dia tidak langsung menyentuh isterinya. Tidur di sofa sahaja bukannya di bilik tidur bersama Zarina. Dia lebih memelih untuk tidur berasingan.
Tamparan hebat yang dilepaskan olehnya kepada Zarina itu tidak difikirkan. Perasaan bersalah langsung tidak wujud. Seakan mati hatinya. Gelap hatinya. Rashid diam kelu.
Zarina bangun pagi melihat Rashid masih tidur. Rashid sebenarnya sudah terjaga. Dia sengaja bermalas-malasan di sofa itu. Malas hendak melayani isterinya itu. Tidak tahukah Zarina bahawa dia sudah bosan? Tidak mengertikah Zarina? Mengapa sampai sekarang Zarina masih tebalkan muka menghadapnya?
‘Aku betul-betul bosan kenapa dia wujud di mata aku lagi? Mengapa dia tidak terus membenci aku? Kenapa dia masih sayang pada aku? Susah benar untuk aku membuatkand ia membenci aku. Selagi aku begini selagi dia sayang pada aku. Sampai bila dia ingin sayang pada aku? Cukuplah sudah lepaskan semuanya Zarina. Aku sudah tidak inginkan kamu, jauhi aku,’ bisik hati Rashid yang terus memejamkan matanya sebaik sahaja Zarina muncul seawal pagi begini.
“Abang... hari sudah siang ni,”
Rashid diam tidak membalas suruhan itu.
“Abang...” sekali lagi Zarina memanggil.
Rashid terus bangun dan dia bersandar buat tidak nampak sahaja Zarina yang sedang berdiri di hadapannya. Sebaik sahaja Zarina duduk di sofa itu, Rashid terus bangun dan dia meluru naik ke tingkat atas. Kecil hati Zarina melihat Rashid bersikap dingin.
Setibanya Rashid di atas dia mencapai tuala mandi. Dia mahu bersihkan badannya. Dia mahu segarkan badannya yang agak kelesuan. Sekilas dia memandang jam di dinding biliknya itu, sudah pukul lapan pagi. Dia mahu bersiap untuk mengambil keretanya yang berada di bengkel.
Belum sempat dia melangkah masuk ke dalam bilik mandi telefon bimbitnya berbunyi. Dengan pantas dia berundur semula dan mencapai telefon bimbitnya yang sengaja diletakkan dalam poket seluar yang tadi. Seluar itu tersangkut di situ birai almari pakaian.
“Dia ni nak apa telefon aku pagi-pagi ni?” omel Rashid sendiri.
“Hello!” kasar sahaja ucapan Rashid menyapa panggilan itu.
“Kau ni kenapa tinggalkan aku semalam hah?! Suka-suka hati kau saja tinggalkan aku tepi jalan!” marah Fazry Kamal yang masih tidak puas hati dengan Rashid.
Rashid bertindak kejam menghalau Fazry Kamal turun dari keretanya. Dia bosan asyik mendengar Fazry Kamal membebel sahaja. Ajak pergi bengkel sahaja sudah bising malah hal dia berlumba itupun menjadi masalah bagi Fazry Kamal.
“Kau ni tak habis-habis lagi nak membebel ke? Mujur kau ni masih hidup. Bukannya teksi tak ada kan?”
“Aku tanya kau! Kau ni kenapa jadi biadap sampai macam tu?”
“Baru nak tanya ke? Aku ingat kau tidak berminat ingin tahu masalah aku,” sinis Rashid.
“Baiklah! Aku nak jumpa kau,”
“Nak pukul aku?”
“Kalau itu yang kau nak,”
“Okey, aku sahut cabaran. Jangan lupa bawa pistol sekali, kau tembak sahaja aku ni,”
“Asalkan negara ni tak ada undang-undang aku pasti akan tembak kau!” balas Fazry Kamal dan Rashid hanya tersenyum sahaja.
“Boleh saja,” balas Rashid pula.
“Tengah hari nanti di tempat biasa, Restoran Mikael Nasi Kandar!”
“Dekat situ ke kau nak bunuh aku? Carilah tempat yang tak ada orang,”
“Biar semua orang yang ada dekat situ akan jadi saksi bahawa aku telah berjaya tembak orang yang paling kejam dalam dunia ni,” sebaik mendengar ucapan Fazry Kamal itu, Rashid terus ketawa besar.
Rashid bersetuju lantas panggilan itu dimatikan. Rashid menyambung hajatnya untuk mandi. Saat Zarina muncul di bilik itu dia mempercepatkan langkahnya masuk ke dalam bilik mandi tanpa menoleh pada Zarina lagi.
Bertambah sayu hati Zarina ketika Rashid masih bermain kasar. Rashid menghukum rindu Zarina dengan begitu kejam sekali. Zarina menunggu di birai katil itu. Menunggu sehingga Rashid keluar. Tidak berapa lama selepas itu, Rashid sudah selesai mandi. Malangnya kewujudan Zarina seperti tidak dilihat oleh Rashid.
Rashid memang sengaja. Rashid buat-buat tidak nampak Zarina. Rashid bersikap dingin sekali. Boleh lagi dia bersiul-siul di situ sambil mengelap tubuhnya sendiri.
Rashid menyangkutkan tualanya setelah mengenaikan pakaian yang lawa-lawa. Semburan minyak wangi Almani melekat dipakaian. Memang nampak segak Rashid ketika ini mengenakan pakaian yang mahal miliknya itu.
“Abang...” Zarina memanggil Rashid namun panggilan itu Rashid tidak endahkan. Telingannya segaja ditulikan.
“Abang nak pergi mana lawa-lawa ni?” lagi sekali pertanyaan Zarina tidak dipedulikan malah dia terus meluru keluar dari bilik selepas rambutnya disikat rapi. Wajah tampan Rashid terselah selepas dia mencukur rapi misai dan janggut yang baru tumbuh itu.
Rashid terkocoh-kocoh keluar setelah kunci kereta Honda Accord pula diambil dari tempat letak kunci itu. Kereta itu adalah kereta yang dibelinya untuk Zarina namun Zarina tidak memandunya kerana Zarina setia berada dirumah sahaja.
Segala apa yang terjadi dengan keretanya semalam tidak diceritakan kepada Zarina meskipun sejak malam tadi Zarina tertanya-tanya kenapa Rashid balik naik teksi?

***

Rashid tidak ke bengkel kereta terlebih dahulu memadangkan waktu masih awal lagi. Dia bersarapan pagi di warung sahaja. Sengaja dia duduk diwarung makan yang agak menjengkelkan itu. Barangkali dia tidak mahu dilihat oleh rakan-rakan yang lain dan bertanya tentang masalahnya. Biarlah dia berada di situ sahaja.
“Minum apa encik?”
“Teh tarik,”
Rashid langsung tidak menoleh pada pelayan itu. Dia berasa terlalu ego. Ornag senang sepertinya pula sanggup makan di situ hakikatnya dia menyorok sahaja.
“Makan?”
“Apa ada?”
“Roti canai, nasi lemak, nasi minyak, mi goreng dan bihun goreng,”
“Itu sahaja ke?”
“Kalau encik nak makan tayar lori pun ada encik,” terdengar sahaja sindiran itu cepat-cepat Rashid menoleh kerana dia berasa dirinya diperbodohkan pula. Dia mahu marah pada pelayan itu.
Sebaik sahaja dia menoleh dia tersentak pula. Barangkali dia mengenali orang itu. Tidak disangkanya akan berjumpa di sini pula. Hati Rashid rasa bagaikan digeletek sahaja. Dia menahan rasa ingin ketawa. Memang benar-benar lucu baginya.
Hal yang tidak lucu tapi Rashid anggap lucu. Kalau di rumah rasa tertekan bila di luar dilepaskan segala rasa itu. Begitu mudah bagi Rashid. Kadangkala dia tidak dapat membezakan masalahnya sendiri. Masalah kerja dan masalah peribadi. Selalu bercampur aduk.
Wajahnya ceria pula. Kekacakkan terserlah dengan pakaian yang dikenakan. Penampilan yang kemas memang menjadi kegilaan perempuan tambah lagi Rashid anak orang kaya. Ramai perempuan tergila-gilakannya biarpun dirinya sudah berumahtangga.
Rashid memang suka didekati oleh gadis-gadis cantik. Tapi sekarang ini bukan itu ceritanya kerana dia menunggu bengkel yang dia tempatkan kereta Nissan Skyline miliknya itu dibuka.
Sebelum bernikah dengan Zarina pun Rashid memang seorang lelaki yang suka berfoya-foya. Dia sudah biasa hidup bebas. Baginya hidup sebegitu adalah nikmat yang tidak patut dibiarkan. Hidup hanya sekali maka keseronokan seperti itu tidak boleh dilepaskan begitu sahaja.
Namun Rashid lupa akan tanggungjawabnya yang sebenar sedangkan dia  bakal bergelar seorang ayah. Dia adalah suami, di mana pula tanggungjawabnya sebagai suami? Nafkah zahir tidak cukup bagi seorang isteri, kasih sayang dan perhatian jugalah yang didamba oleh isterinya itu. Rashid tidak memahaminya.
Share this Article on :

1 comments:

Amira Atiya said...

hai rashid sedar2lah oi dah berbini.. geram pulak aku...

Post a Comment

 

© Copyright ekarya2u 2010 -2011 | Design by Herdiansyah Hamzah | Published by Borneo Templates | Powered by Blogger.com.