Advertise

Secangkir Madu Merah (Bab 11)

Friday, April 1, 2011

           Tatkala terdengar bunyi loceng, Mak Mah yang berada di dapur itu terus bergegas ke hadapan untuk melihat siapa pula yang datang ke rumah banglo ini. Sesampainya di pintu yang dikuak perlahan itu dia terlihat kenderaan yang sangat dikenali. Sebuah BMW hitam berada di luar dan ada seorang lelaki berdiri di hadapan pagar itu.
Mak Mah yang mengenali lelaki itu terus menekan alat kawalan jauh untuk membuka pagar tesebut. Setelah ditekan maka pintu pagar automatik itu terbuka. Usai itu lelaki tersebut masuk ke dalam perut kereta dan memandu masuk kereta itu.
Saat ada tetamu hadir ke rumah banglo ini, Zarina berkurung sepi di dalam bilik. Zarina tidak sedar kerana melayani perasaan sendiri. Barangkali orang ini mahu bertemu dengannya. Oleh yang demikian Mak Mah bersedia di muka pintu menyambut tetamu terhormat itu.
 “Assalamualaikum,” Dato` Sri Ryzal menghulurkan salam.                                            
“Waalaikumussalam, jemput masuk Dato` dan Datin,” pelawa Mak Mah.
Datin Delaila hadir bersama. Sudah sejuk hati setelah dipujuk oleh Dato` Sri Ryzal semalam agaknya.
Dato` Sri Ryzal dan Datin Delaila melangkah masuk. Datin Delaila menghadiahkan senyuman buat Mak Mah. Begitu juga dengan Dato` Sri Ryzal yang tidak mahal untuk mengukir senyuman.
“Jemput duduk dulu ya Dato`dan Datin,” Mak Mah mempersilakan tetamu terhormat itu yang juga ayah dan mertua kepada Zarina.
“Terima kasih Halimah... Zarina ada?” tanya Dato` Sri Ryzal.
“Dia ada dalam bilik,” balas Mak Mah. “Dato` nak saya panggilkan ke? Kalau ingin berjumpa dengan Zarina saya akan panggil,” soal Mak Mah dengan bersopan sekali.
Dato` Sri Ryzal sengaja tidak bertanya tentang Rashid kerana dia tahu Rashid tidak ada di rumah memandangkan keretanya langsung tidak wujud di hadapan rumah.
“Tak apa, nanti sahaja panggil dia,” Dato` Sri Ryzal menghalang pula. Maka apakah tujuan Dato` Sri Ryzal datang ke mari? Berhajat apakah dia jika tidak mahu berjumpa dengan Zarina dengan segera? Barangkali ada perkara lain.
“Kalau begitu saya buatkan air dulu ya untuk Dato` dan Datin,” Mak Mah mahu menghidangkan minuman buat mereka.
Datin Delaila menguntum senyuman lantas dia melambai tangan pada Mak Mah seperti mahu Mak Mah datang dekat.
“Halimah... mari duduk di sini sekejap,” Datin Delaila meminta Mak Mah datang dan duduk di sisi.
Mak Mah terus melangkah dan menurut sahaja apa mahu mereka. Maka Mak Mah duduk bersebelahan dengan Datin Delaila. Rasa tidak layak pula bagi dirinya untuk berada di sebelah Datin Delaila. Begitu merendah diri sekali Mak Mah. Jauh panggang dari bara. Jauh langit dengan bumi. Begitulah perumpamaannya yang dapat dinyatakan.
“Kami datang ni bukan nak minum air, Halimah,”
“Tak apalah sekurang-kurangnya Datin dan Dato` boleh basahkan anak tetak,” balas Mak Mah.
“Tak payah susah-susah,” Datin Delaila menepuk paha Mak Mah sebagai isyarat tidak.
“Betul tu Halimah. Kami datang ni cuma nak bercakap sedikit dengan Halimah,” Dato` Sri Ryzal terus mencelah.
Mak Mah terus terpinga-pinga tidak mengerti akan tujuan sebenar Dato` Sri Ryzal dan Datin Delaila bertandang ke rumah ini. Walau bagaimanapun Mak Mah tetap menguntum senyuman.
“Halimah... boleh kami tahu sudah berapa lama mereka berdua berkeadaan begini?”
“Siapa Dato`?” Mak Mah benar-benar tiak faham.
“Kamu ni Halimah buat-buat tak faham pula,”
“Betul memang saya tak faham,” balas Mak Mah seperti sedang disoal siasat sahaja oleh pegawai polis.
“Maksud kami ni berkenaan dengan anak kami si Rashid tu dengan Zarina,”
“Oh... tapi kenapa pula dengan mereka berdua tu Datin?” soal Mak Mah pula seakan mengelak sahaja.
“Sebab itu kami tanya kamu Halimah. Kalau kami tahu kami tak payah susah-susah datang sini,” kata Datin Delaila pula lalu memandang ke arah Dato` Sri Ryzal.
Maka kehadiran mereka berdua adalah untuk mengetahui akan keadaan rumahtangga Rashid dan Zarina. Bukan niat mereka untuk menyibuk tetapi setelah perbincangan sepakat antara Dato` Sri Ryzal bersama Datin Delaila dan hasilnya mereka mahu melihat sendiri kepincangan yang berlaku memandangkan Rashid seperti merahsiakan sesuatu daripada mereka.
“Maksud Datin... hubungan di antara...” lambat-lambat Mak Mah mahu menyundahkan ayatnya namun terhalang pula.
“Papa... mama... bila sampai?” tidak semena-mena Zarina mucul di situ. Dia baru sahaja turun untuk ke dapur kerana tekaknya terasa sangat haus sekali namun terlihatlah dia akan kelibat mertuanya sedang berbual-bual dengan Mak Mah.
Dato` Sri Ryzal dan Datin Delaila terus menoleh ke arah Zarina sambil menguntum senyuman.
“Ina... mama dengan papa baru sahaja sampai,” beritahu Datin Delaila.
Zarina bersalaman dengan Datin Delaila kemudian dia melabuhkan punggungnya di sofa berhadapan dengan mertuanya.
“Oh ya ke? Tak perasan pula saya ma... Mak Mah pun tak panggil saya,”
“Janganlah salahkan Mak Mah, mama yang suruh dia duduk dekat mama dulu. Dia dah nak panggil kamu tadi,” terang Datin Delaila.
“Ya Ina...” Dato` Sri Ryzal menyokong.
“Saya tak salahkan Mak Mah, saya tak perasan sahaja. Eh? Mak Mah... kenapa tak buatkan air untuk papa dan mama ni?” Zarina bertanya dengan lembut pada Mak Mah.
Mak Mah senyum sahaja.
“Tak apalah Ina. Mak Mah dan nak buatkan air tapi kami tak nak lagipun tekak kami belum haus lagi,” jawab Datin Delaila.
“Oh ya Ina, bagaimana dengan cucu pada tu?” soal Dato` Sri Ryzal. “Tak ada tanda-tanda sudah nak beranak ke?” sambung Dato` Sri Ryzal lagi.
“Ish abang ni, ada ke tanya macam tu?” Datin Delaila mencelah.
Zarina mengusap perutnya pula ketika disoal begitu. Masih belum tiba masanya lagi agaknya. Kandungna baru sahaja berusia lapan bulan. Belum lagi terdapat tanda-tanda dia akan melahirkan bayi sulung itu. Dia selalu membuat pemeriksaan doktor mengenai kandungannya itu. Kata doktor kandungannya normal dan dia berharap anaknya juga sihat walafiat hendaknya.
Dato` Sri Ryzal itu memang tidak sabar-sabar lagi mahu menimang cucu sambil mengelus-elus misai lebat itu di saat ini. Maklumlah cucu sulung mereka. Mana tidaknya dari dulu lagi Dato` Sri Ryzal berangan mendapat cucu yang sungguh comel.
“Abang tanya saja, takkan tak boleh kut?”
“Boleh tu boleh tapi soalan abang tu peliklah,”
“Apa peliknya? Awak dulu pun saya tanya macam tu juga kan waktu awak sedang mengandungkan Rashid tu?”
“Itu lain bang, saya lahirkan dia terlebih tempoh. Normalnya sembilan bulan sepuluh hari tapi Rashid tu sudah sepuluh bulan lebih. Hairan saya. Kelahirannya bukan cara biasa, kena operate bang oih...”
“Ya tak ya juga kan, hujung tahun pula tu, tahan sedikit sahaja sudah masuk tahun baru. Sedar tidak sedar sudah dua puluh lapan tahun berlalu. Cepat masa beredar kan Laila...?” balas Dato` Sri Ryzal pula.
Zarina yang mendengarnya ketawa mengekek. Lucu melihat mertuanya yang suka bercanda. Rasa terhibur hati Zarina melihat mertuanya ada di hadapan mata. Bahagia berumahtangga seandainya mertua memahami.
Mak Mah yang berada di sisi Datin Delaila dapat merasakan apa yang sedang Zarina fikirkan. Tidak lain dan tidak bukan adalah memikirkan tentang Rashid. Mak Mah tahu apa yang terjadi semalam dan hari ini. Mak Mah mendengar segala-galanya.
Datin Delaila memandang Zarina lama-lama.
“Mama tengok wajah kamu ni lesu sahaja Ina... kenapa?” Datin Delaila mula memancing.
Zarina memalsukan senyuman.
“Saya baik-baik saja. Saya terlelap tadi di dalam bilik, wajah baru bangun tidur memang begini, kan Mak Mah?” Zarina mereka alasan dan mengharapkan sokongan Mak Mah.
Datin Delaila dan Dato` Sri Ryzal menoleh serantak ke arah Mak Mah. Dengan pantas Mak Mah mengangguk sahaja. Terpaksa menyokong Zarina. Ingin menutup semuanya. Ingin melihatkan bahawa Zarina sedang bahagia. Itulah yang dipinta oleh Zarina. Mak Mah setia dengan Zarina. Mak Mah kasihan pada Zarina.
“Dia selalu sahaja tertidur Datin. Saya yang suruh dia banyakkan berehat,”
“Boleh ke macam tu? Kena juga buat kerja biar urat-urat tu tidak tengang. Anak sulung dalam kandungan tu kena jaga juga dan Ina kena juga ada excercise,” ujar Datin Delaila.
‘Saya tahu semua itu Datin Delaila, tapi saya terpaksa juga berbohong di atas permintaan Zarina sendiri. Sebetulnya saya tidak pandai untuk berbohong namun biarlah masa yang menentukannya. Semoga Allah merahmati Zarina. Zarina seorang perempuan dan juga seorang isteri yang sabar dan tabah. Begitu besar dugaan yang diterimanya namun dia menutupnya dari pandangan luar dengan sikap tidak mengaibkan suaminya sendiri. Baik atau buruk, Rashid tetap suaminya,’ bisik hati Mak Mah.
Mak Mah begitu bangga dengan kesetiaan Zarina pada Rashid namun sampai bilakah kesetiaan itu dapat bertahan jika Rashid terus bersikap seperti sekarang? Kesetiaan Zarina yang telah melukai dirinya sendiri.
Share this Article on :

2 comments:

blinkalltheday said...

next n3 lagi..nak tau pasal rashid n zarina..

Amira Atiya said...

zarina sabar lah dik oiii...laki kau tu macam kena tembak dengan aku je..

Post a Comment

 

© Copyright ekarya2u 2010 -2011 | Design by Herdiansyah Hamzah | Published by Borneo Templates | Powered by Blogger.com.