Advertise

Secangkir Madu Merah (Bab 10)

Thursday, March 31, 2011

“Kenapa abang minum benda haram tu? Kenapa bang? Beritahu saya apa punca abang jadi macam tu? Salah saya ke bang? Tolong abang jangan buat macam ni lagi,” Zarina ingin tahu kenapa suaminya bertindak bodoh seperti itu? Kenapa perlu diambil benda yang dimurkai oleh Allah masuk ke dalam tubuh dan selepas itu menjadi darah daging pula?
Bukan niat Zarina untuk meninggikan suara tapi dia tidak dapat bertahan lagi dengan perangai sebegitu. Kenapa perlu minum minuman keras itu? Mengapa suaminya perlu meneguk air syaitan itu?
“Selama ni abang tak pernah buat perangai macam tu? Abang tahu tak yang dalam Islam melarang sama sekali meneguk minuman itu walaupun setitis? Abang lupa ke? Hidup kita ada pegangan bang jangan ikut suka-suka hati untuk buat itu dan ini tanpa ada batasan,” Zarina menegur suaminya.
Walaupun dirinya sedang dihambat rasa kecewa dan marah yang mendalam namun dia mengawal perasaannya supaya tidak terlalu kasar bunyinya.
Pada awal pagi begini setelah Rashid terjaga dari lena yang panjang, Zarina terus memarahi Rashid. Zarina benar-benar kecewa dengan sikap Rashid. Malam tadi dia bersama Mak Mah mengusung tubuh Rashid yang berat itu masuk ke dalam bilik untuk dibaringkan di atas katil. Rashid pengsan dengan tiba-tiba di situ dan kebetulan pula Zarina keluar dari bilik bacaan begitu terkejut sekali. Mak Mah menceritakan keadaan itu pada Zarina. Pada waktu itu Mak Mah tidak mengetuk kepala Rashid tetapi Rashid telah pengsan terlebih dulu. Barangkali sudah benar-benar mabuknya tidak terkawal.
“Awak jangan nak mengajar saya!” marah Rashid dengan tiba-tiba itu lantas bangun dari birai katil dan kepalanya masih lagi pening-pening lalat.
“Itulah abang, saya cakap soal hukum awak membantah malah abang suka ikut emosi. Abang tak tahu soal halal dan haram ke?” Zarina memandang suaminya dengan wajah yang berkerut-kerut. Sebagai seorang isteri dia layak menegur apa yang tidak patut. Dia tidak melawan atau membantah tetapi itu memang jelas salah di sisi Agama Islam.
“Diam!” Rashid yang berdiri di hadapan Zarina itu terus mengecilkan mata merenung tajam ke arah Zarina.
“Dalam soal ni saya tak boleh diam bang. Abang kena bertaubat bang... benda tu haram,” balas Zarina lagi.
“Aku kata diam!”
‘Pang!’ Rashid terus naik tangan.
Zarina terus memegang pipinya yang ditampar. Tertoleh laju wajah Zarina ke kanan setelah ditampar oleh tangan kanan suaminya sendiri. Sungguh kuat tamparan itu.
“Sampai hati abang tampar saya! Selama ni abang tak pernah tampar saya! Baru sekarang abang naik tangan,” ucap Zarina dengan rasa kecewa, sedih dan pilu menjadi satu.
Rashid masih mencerlung mata memandang Zarina yang menangis. Air mata Zarina setia mengalir tanpa putusnya. Zarina kecewa. Hatinya remuk. Dirinya telah disakiti dalam dan luar. Zahir dan batin.
Tangan Rashid terketar-ketar setelah menampar Zarina. Insiden yang tidak mungkin Zarina lupakan. Perkara yang baru terjadi itu sungguh menyakitkan. Sekeping hati wanita bergelar isteri dirobek kasar tanpa simpati. Seorang isteri yang setia. Seorang isteri yang tidak mahu melihat suaminya berada dalam kesesatan. Sebetulnya Rashid yang harus memimpin bukan dirinya yang seharusnya namun Zarina tahu, hak untuk menengur pada perkara yang salah ada pada semua orang. Orang yang berilmu dan orang-orang yang beramal soleh.
“Aku dah kata kau jangan melawan cakap aku! Suka hati akulah nak buat apa pun! Yang kau nak kisah sangat ni kenapa?” sekarang ini Rashid terlalu biadap. Tiada lagi kelembutan dalam berbicara. Berbahasa kasar sekali. Ber-aku-aku dengan Zarina.
“Abang! Kenapa abang jadi macam ni? Kenapa abang berubah?!” Zarina mula memberontak. Sudah lama dia hilang sabar. Sudah lama dia memendam perasaan gundah-gulana.
“Siapa yang berubah?! Kau atau aku? Sudahlah Zarina! Aku tak mahu dengar apa-apa lagi! Aku nak keluar!” Rashid terus meluru keluar begitu sahaja tanpa memperdulikan perasaan Zarina ketika ini.
“Abang!!” Zarina terpekik sekuat hatinya bagaikan seorang yang sudah hilang sabar. “Argh!!!” Zarina sudah tertekan dengan keadaan ini. Dirinya dikecewakan dan dilukai dengan begitu dalam. Lukanya begitu parah. Masih adakah penawarnya? Masih wujud lagikah cinta di hati Rashid terhadapnya? Jika benar kenapa dia ditampar hanya sebab menengur?

***

“Awak kena tolong abang,” Rashid merayu pada Baby. Awal-awal pagi begini Rashid bertemu dengan Baby selepas dia keluar dari hotel untuk mandi dan siapkan diri. Rashid malas duduk di rumah itu kerana terlalu menyakitkan hati.
“Saya nak tolong apa lagi bang? Soal rumahtangga abang kalau boleh saya nak abang selesaikan secepat mungkin. Jangan libatkan saya dalam soal ni,”
“Tapi awak sudah terlibat,”
“Abang sayangkan saya atau tak?”
“Sayang... abang sayang sangat-sangat,”
“Kalau abang sayang, abang kena ceraikan juga isteri abang tu,”
“Cerai?” Rashid terkejut.
Baby mengangguk.
Pertemuan mereka berlangsung di sebuah tempat parkir kereta. Rashid benar-benar mahukan pertolongan Baby.
“Kenapa? Abang tak berani? Setelah apa yang saya beritahu abang, abang tak boleh berfikir lagi?”
“Bukan macam tu Baby...” Rashid rasa bersalah kerana soal cerai pula disebut-sebut. Rashid sayangkan kedua-duanya. Rashid masih mencintai Zarina cuma rasa cinta itu kian tipis.
“Habis tu macam mana lagi? Sampai bila abang nak merahsiakan soal hubungan kita ni? Beritahu saya bang? Sampai bila?” Baby mula naik angin.
“Sayang...” Rashid memegang tangan Baby.
“Lepaslah bang... nanti kalau orang di pejabat ni nampak, kita juga yang susah,” larang Baby. “Abang pergilah dulu, kita jangan berjumpa dekat sini. Nanti kita jumpa dekat tempat lain. Sekarang ni waktu saya bekerja kalau papa saya nampak habislah,” sambung Baby lagi.
“Baby... tolonglah kita selesaikan masalah ni secepat mungkin,” Rashid merayu. Dia sudah tidak tertahan lagi menipu isterinya sendiri. Isterinya menaruh kepercayaan padanya selama ini telah dimusnahkan begitu sahaja.
“Ya itu saya tahu bang tapi abang pergilah dulu jangan sampai ada orang nampak abang dengan saya dekat sini,” Baby terpaksa mengusir Rashid di situ.
Rashid melepaskan pegangan itu lantas dia beredar dari situ secepat yang boleh. Dia juga risau kalau ada sesiapa melihat dirinya di situ. Dia terus masuk ke dalam perut kereta dan berlalu.
Fikiran Rashid sudah bercelaru. Kesetiaan pada isterinya sengaja dirosakkan malah dia sudah tidak tahan lagi dengan sikap isterinya itu. Selalu mengokong dan membuatkan hidupnya bagai dirantai sahaja.
Rashid memandu mengikut emosi. Dia tidak peduli kiri dan kanannya. Memang Rashid membawa sekali rasa bengang dan rasa tidak senang itu ke mana sahaja dia pergi. Pedal minyak ditekan lagi. Dia memandu melebih had yang ditetapkan.
“Dalam hal ni pun aku tak boleh nak sesaikan sendiri? Kenapa? Aku perlukan pertolongan Fazry Kamal ke? Rasanya dia boleh membantu aku tetapi adakah dia sudi? Aku benar-benar bodoh! Tindakan aku pagi tadi itu sudah pasti akan membuatkan Zarina bertambah curiga. Apa perlu aku lakukan sekarang?” omel Rashid sendiri.
Sememangnya tindakan Rashid pada pagi tadi itu adalah satu tindakan yang tidak wajar. Tindakan orang yang tidak berpelajaran sahaja. Hakikatnya dia seorang yang sangat terpelajar. Seharusnya dia tahu mana yang salah dan mana yang betul. Namun dia cuma manusia biasa yang lemah dengan tuntutan nafsu sendiri.
Tatkala iman sudah tipis begitulah jadinya. Saat bahagia lenyap begitu sahaja. Segala kenangan cintanya bersama Zarina diragut oleh tangan sendiri. Dia yang menciptakan semua ini maka dia harus pulihkan semula. Tidak tahukah dia bahawa Zarina begitu setia dengannya? Tidak terlihatkan hatinya bahawa hati Zarina begitu suci? Sesuci cinta seorang isteri tiada tolak bandingnya dengan emas permata sekalipun.
Rashid kini tiba di sebuah persimpangan. Dia mahu membelok ke kanan tetapi dia terlalu laju hingga kenderaannya itu melencong sedikit mujurlah tiada kereta lain di sebelahnya namun nasibnya malang sekali kerana dia terlanggar buntut kereta orang lain pula. Di situ dia panik walaupun brek sempat ditekan namun segalanya sudah terlambat.
Orang yang berada di dalam perut kereta KIA Spectra warna kelabu memberhentikan kenderaan lalu meluru keluar melihat keadaan kereta.
Rashid di dalam perut kereta Nissan Skyline miliknya itu mula rasa bengang di atas insiden itu. Dia juga terus keluar dari perut kereta lalu mendapatkan lelaki yang berbadan tegap itu.
“Kau tahu bawa kereta ke tak tahu?” marah Rashid pula.
“Awak dah langgar belakang kereta saya tapi awak boleh marah saya pula ke?”
“Mesti! Kau bawa kereta macam kura-kura lepas tu kau berada laluan kanan. Kalau kau bawa perlahan sepatutnya kau kena berada di kiri jalan. Faham?!” Rashid tetap mengakui dirinya juga yang betul.
“Saya bawa perlahan pun salah ke? Orang lain nak corner mesti bawa perlahan kan? But you still laju, so? Siapa yang salah sekarang? Saya atau awak?” lelaki itu memberikan kata dua.
Lelaki itu agak terkejut melihat sikap Rashid. Saat ini wajah Rashid merah padam. Kereta kesayangannya sudah terlinat dalam kemalangan walaupun ia tidaklah seteruk mana namun cukup membuatkan hatinya tidak senang.
“Kau!”
No!”
“Aku tetap akan kata kau yang salah!” Rashid teguh dengan pendiriannya.
Well, kalau naik makamah pun saya pasti boleh menang tapi oleh kerana saya ni boleh bertolak ansur dan kerosakkan kereta saya dan kereta awak pun tak adalah teruk mana rosaknya tapi kereta saya tak adalah semahal kereta awak,” sinis lelaki itu.
Rashid benar-benar marah. Dia berasa ingin sahaja menumbuk lelaki itu tetapi akhirnya dia menyedari itu adalah kesalahannya. Memang benar kata lelaki itu bahawa jika dia naik ke mahkamah sekalipun dia tetap akan kalah.
Rashid menarik nafas dalam-dalam. Dia susah untuk meminta maaf kerana dia tidak mudah merendahkan dirinya sendiri di hadapan lelaki yang dia tidak kenal itu.
So?” lelaki itu menjongket bahu sambil menjuihkan bibir meminta Rashid memberikan jawapan atau jalan penyelesaian terakhir bagi masalah ini adalah dengan mebuat laporan polis sahaja.
“Baiklah! Aku akan bayar ganti rugi dan jangan perbesarkan hal ni lagi,” Rashid memberikan peringatan kepada lelaki itu.

Share this Article on :

4 comments:

hana_aniz said...

still x phm nape dia wat cm tu kt zarina. huhu.. biarlah zarina dgn org lain. huhu

peNulis SeNjA said...

hhuhuhu rasyid ni .......... sekeh kang

Amira Atiya said...

rasa nak sepuk si rashid ni

TinTa Biru said...

ada skandal dgn baby ke rashid ni.. patutlah asyik nk mrhkn zarina jer.. dah ada org ke3

Post a Comment

 

© Copyright ekarya2u 2010 -2011 | Design by Herdiansyah Hamzah | Published by Borneo Templates | Powered by Blogger.com.