Advertise

Secangkir Madu Merah (Bab 5)

Tuesday, March 29, 2011

Begitu susah untuk dia mengadu. Tiada perkara yang remeh dalam soal hati. Jika ia diabaikan maka lukanya sangat dalam. Kelukaan itu sukar untuk sembuh. Namun dia tetap gah dalam cintanya. Memartabatkan kesuciaan hati yang benar-benar tulus mencintai dan menyayangi Rashid. Namun Rashid seringkali terlepas pandang atau memang disengajakan. Zarina semakin tidak mengerti.
Hamparan kasih Rashid padanya seperti berada di padang pasir sahaja. Kering dan panas bila siang dan tersangat dingin kala malam. Sungguh membuatkan benang hatinya tersimpul mati.
Bagaimana untuk dia kecap kebahagiaan yang cuma sementara ini? Hidup di dunia yang fana bukan selama-lamanya. Cubaan berkali ganda ditimpanya hari ini namun dia masih sembunyikan kelesuan kasih suami padanya di hadapan mata orang lain.
Malam tadi dia tidak lena tidur kerana menunggu suami pulang. Zarina menghubungi suaminya namun tidak berjawab. Barangkali Rashid sengaja mematikan telefon bimbitnya.
Kebimbangan itu berlarutan hingga dia tidak perasan suaminya telah pulang ke rumah dan hanya tidur di atas sofa ruang tamu. Sebetulnya Zarina tidak tahu akan sebab musabab yang membuatkan Rashid bertindak begitu. Dia mendapat tahu setelah bangun awal pagi maka terlihatlah suaminya terlelap di situ.
“Abang... bangun,” Zarina tetap berusaha mengejutkan suaminya. Jam dinding ketika ini sudah pukul enam pagi. Azan Subuh telah berkumandang maka wajib bagi suaminya menunaikan solat. Berdosa bagi seorang isteri itu apabila tidak mengingatkan suaminya tebtang kewajipan itu sekiranya terlupa.
Tangan Zarina ditepis. Zarina mencuba lagi.
“Kenapa abang tidur dekat sini?”
Dengan pantas Rashid bangun terpisat-pisat dan merenung tajam ke arah Zarina.
“Suka hati sayalah nak tidur dekat mana pun. Awak ni jangan sibuk boleh tak?!” bentak Rashid lalu terus meluru naik ke atas untuk mandi.
Zarina hampa lagi.
Titis-titis embun pagi masih menitis dan bakal berakhir saat sinar mentari muncul. Adakah kejerniah cintanya akan berkekalan? Zarina masih menanti kebenaran. Dia tahu kebenaran itu bagaikan air yang mengalir, walaupun ia disekat namun ia tetap akan mengalir juga.
Selepas segalanya selesai. Dia melihat suaminya bersiap sedia untuk keluar di awal pagi begini. Ke mana pula? Katanya cuti dalam beberapa hari.
“Abang nak ke mana pula ni? Tak nak sarapan dulu ke?”
Suaminya membisu tanpa membalas pertanyaan itu. Dengan lagak terkocoh-kocoh itu, Rashid meluru keluar.
“Abang!” Zarina memanggil suaminya yang sedang masuk ke dalam perut kereta. Panggilan Zarina langsung tidak dihiraukan.

***

“Kenapalah kau selalu menyibuk sangat Ina? Aku sudah rimas dengan sikap kau yang terlalu membuatkan aku rasa terkongkong. Sekarang biarlah aku lakukan apa yang aku suka. Kau tinggal sahaja di rumah tu. Makan, minum dan pakai semua aku sudah berikan. Tempat tinggal yang mewah yang serba lengkap aku sediakan. Tidak perlu lagi kau terlalu mengambil berat tentang aku,” bicara Rashid tatkala dia sedang memandu ketika  ini.
Panggilan dari isterinya dari rumah tadi langsung tidak diambil peduli malah ditulikan sahaja telingannya. Pagi ini di keluar awal sengaja mahu mengasingkan diri dari isterinya. Ingin lepak di mana sahaja mahunya.
Telefon di sisi dicapai. Dia mahu menghubungi seseorang. Barangkali kawan rapatnya atau mungkin juga seseorang yang lain.
Nombor telefon orang yang mahu dihubunginya terus ditekan. Dia menunggu dengan sabar sambil memperlahankan kenderaannya.
Hello Baby... ada dekat mana ni? Boleh tak tengah hari nanti abang nak jumpa awak?" soal Rashid setelah panggilannya mendapat respons.
“Ada dekat rumahlah. Kenapa nak jumpa Baby dengan tiba-tiba ni?”
“Ada hal pentinglah Baby, boleh ya? Abang harap sangat Baby sudi,”
“Bukannya Baby tak sudi jumpa dengan abang... Baby ada hal lainlah abang, lain kali ya?”
“Tapi,”
“Abang, Baby kena matikan call ni, ada hal nak diuruskan. Apa-apa hal nanti Baby call balik. Bye,”
Bye,”
Rashid sedikit kecewa orang yang diajak berjumpa sibuk pula. Kepada siapa lagi dia ingin telefon? Fazry Kamal? Kawan dia itu selalu sahaja ingin menangkan Zarina. Tidak langsung mahu mendengar dengan teliti penjelasannya. Tidak langsung memahami isi hatinya dengan lebih mendalam lagi. Malam tadi dia tidak dapat meluahkan apa yang sepatutnya. Lidahnya menjadi kelu dengan tiba-tiba.
Akhirnya tiada tempat lain lagi dia mampu pergi untuk menghilangkan tekanan rasa menghukum jiwa. Dia memandu laju selepas mencampakkan telefon bimbitnya di sebelah tempat duduk pemandu.
Fikirannya menerawang jauh. Serba tidak kena jadinya. Rashid mengeluh berat. Emosinya memang tidak stabil. Jiwanya kacau. Kepalanya dibebani ribuan pertanyaan. Adakah segala telahan itu adalah benar? Segala apa yang didengar itu adalah kenyataan? Rashid menarik nafas dalam-dalam.
Telefonnya berdering. Cepat-cepat dilihat pada skrin telefon bimbitnya itu. Nama yang cukup dikenalinya. Nama yang dipujanya sebelum apa yang berlaku. Rashid mengumam geram lalu dicampakkan telefonnya di tempat tadi. Telefonnya masih berbunyi malah berulang-ulang nada dering lagu My Love dari Weslife itu. Rashid enggan menjawab panggilan Zarina.

***

“Rajin pagi ni siram pokok bunga?” Zarina yang lagut menyiram pokok bunga sebentar tadi segera menoleh ke arah suara itu. Suara datangnya dari pintu pagar hadapan. Perlahan-lahan orang yang menegur itu melangkah masuk. Zarina tidak mahu membebankan fikirannya dengan sikap Rashid yang tidak mahu menjawab panggilan telefon. Maka untuk mengalihkan ingatan maka dia membuat aktiviti-aktiviti yang berfaedah seperti itu.
Zarina membalas dengan senyuman.
“Assalamualaikum Ina...”
“Waalaikumussalam Kak Intan, biasalah kak, kalau bunga-bunga ni tidak disiram maka layu jadinya,” balas Zarina.
“Iyalah, ni kak ada bawakan sedikit kuih untuk kamu. Kuih ni bukan kuih tunjuk... kakak buat sendiri,” ujar Intan.
Zarina meletakkan paip getah itu dan dia kembali menutup pili air lantas dia kembali semula menyambut pemberian Intan kepadanya. Seorang jiran yang baik hati dan ramah orangnya. Memang Intan seringkali mengajak Zarina berbual-bual.
Pagi yang indah dihiasi dengan pemandangan lanskap taman di rumahnya menaikkan seri laman. Cahaya matahari yang bersinar adalah sumber kekuatan kepada makhluk yang hidup.
Zarina mempelawa Intan duduk di bangku. Mereka berdua melabuhkan punggung di situ sambil menghirup nyamannya udara pagi. Sebagai suri rumahtangga inilah aktiviti harian. Datang bertandang bertanya khabar dan berkongsi cerita. Pasti ada sahaja perkara yang hendak dibualkan.
Kuih yang dihulurkan oleh Intan sebentar tadi disambut baik dan diletakkan di atas meja itu. Zarina memanggil Mak Mah. Tidak berapa selepas itu Mak Mah tampil bersama sudip.
“Ya saya...” Mak Mah bersuara.
“Eh? Mak Mah nak buat apa dengan sudip ni?” tanya Zarina sedikit terkejut melihat Mak Mah hadir bersama sudip.
“Mak Mah kejar kucing. Dia baham ikan mentah yang Mak Mah sedang siang tadi,” Mak Mah memberi alasan.
“Mak Mah ni ada-ada sahaja,” Zarina menggeleng perlahan sambil tersenyum. “Buatkan jiran kita ni minuman ya?” pinta Zarina.
“Tak apa, jangan susah-susah Ina. Kak dah minum dekat rumah tadi,”
“Rezeki tak baik ditolak kak...” balas Zarina lembut.
Intan akur.
“Mak Mah pergi buat air ya, dan hidangkan sekali kuih ni,” arah Zarina pada Mak Mah yang berdiri di sebelahnya.
Mak Mah mengangguk faham. Usai itu Mak Mah beradar dari situ bagi menjalankan tanggungjawabnya.
Zarina kembali memandang Intan yang tersengih di hadapnnya. Barangkali lucu melihat gelagat Mak Mah itu. Biasalah Mak Mah memang begitu. Santai sahaja orangnya. Hati Zarina terhibur dengan cara Mak Mah. Tatkala Mak Mah serius dalam memberi nasihat, Zarina akan mendengar dengan penuh teliti kerana dia tahu Mak Mah banyak pengalaman.
“Suami kamu dah balik ke Ina?”
Bila ditanya berkenaan suami, Zarina sedikit tersentak. Dia cuba menyembunyikan kerasahan. Dia berselindung di sebalik kedukaan dan mempamerkan kebahagiaan.
“Semalam lagi dia balik. Suami saya tu sibuk dengan kerja. Tapi tak mengapalah, dia tidak pernah abaikan saya. Saya bahagia mendapat suami seperti Abang Rashid tu,”
“Kau bertuah Ina dapat suami macam Rashid tu, bertanggungjawab dan peramah pula orangnya. Perangai dia saling tak tumpah macam ayahnya, Dato` Sri Ryzal tu,” Intan memuji kebaikan suami Zarina.
“Terima kasih Kak Intan... kakak pun apa kurangnya, Abang Muhyiddin tu pun baik orangnya... masih tampan walaupun bergelar ayah. Pandai Kak Intan jaga suami,” balas Zarina lembut memuji seikhlas hatinya.
“Kita sebagai isteri ni kenalah pandai jaga hati suami. Kalau tidak nanti mulalah dia pasang lagi satu, hati kita ni juga yang susah Ina. Kak Intan tak suka kalau Abang Muhyiddin buat perangai. Kalaulah suami kakak tu ada hati nak kahwin lagi satu, kakak kapak kepala dia. Dengan kakak ni jangan buat main-main,” gumam Intan tatkala terbayangkan poligami.
Terkejut Zarina mendengar ucapan Intan yang agak menahan marah itu. Mungkin juga itulah sikap Intan. Zarina tidak mampu seperti itu. Dia memilih untuk redha jika ia adalah benar biarpun kenyataan terlalu menyakitkan. Memang saat ini hatinya cenderung memikirkan bahawa Rashid menyembunyikan sesuatu. Nalurinya kuat mengatakan ia adalah benar. Tapi sehingga hari ini ia belum dapat dibuktikan lagi. Rashid sungguh licik.
“Alhamdulillah kak... suami saya tidak begitu. Apa yang penting sekarang ni biarlah suami berlaku jujur dengan kita. Selagi mana dia jujur dan tulus maka rumahtangga kita akan terjamin kak,” ucap Zarina dengan lirih nadanya. Dia memalsukan senyuman yang pahit.
“Jujur dan tulus tidak cukup Ina seandainya tiada tanggungjawab. Tengok Datin Maimun tu, isteri kepada Dato` Malik... merana kerana suami dia cari perempuan lain. Orang kenamaan rata-rata suka pasang lebih dari satu. Mujurlah suami kakak tu bukan orang berpangkat Dato`, Tan Sri dan apa-apa sahajalah gelarannya,”
“Tak baik kakak menuduh orang kenamaan macam tu. Bukannya semua begitu kak, segelintir sahaja. Tapi kak, seandainya seorang suami itu mampu untuk berkahwin lain maka dia berhak mendapatkannya. Seorang isteri patut memenuhi keinginan suaminya asalkan dia berlaku adil,”
“Mulianya hati kau ni Ina. Kau sanggup ke tengok suami kau kahwin lagi satu? Kalau kakak sampai mati pun kakak tak benarkan. Sakit hati ni tahu. Anak kakak yang lima orang tu siapa nak jaga? Mereka memerlukan kasih sayang seorang ayah. Kalau ayah mereka asyik tak ada dekat rumah bagaimana? Asyik nak berkepit dengan isteri muda sahaja boleh bikin panas hati,” ujar Intan dengan ekspresi wajah geram terpamer jelas.
Zarina mempamerkan wajah yang tenang meskipun di hatinya sedang berdebar. Sungguh benar kata Intan itu namun sebagai seorang isteri, bertolak ansur itu adalah perlu. Keluarga Zarina sendiri sedang goyang. Kepincangan yang baru berlaku itu ingin disembunyikan sebaik mungkin. Biar tidak dapat dihidu oleh jiran tetangga mahupun sahabat handai.
Zarina tahu, kemuliaan seorang isteri adalah mentaati suami. Selagi mana dia taat pada suaminya maka dia akan terus setia mencintai suaminya itu biarpun arang melintang, badai melanda dan jiwa bergelora, dia mahu tenang setenang-tenangnya menghargai kasih sayang itu.
Buktikan ada cinta di hati Rashid untuknya. Dia mahu lihat sedalam mana cinta Rashid padanya. Adakah setinggi gunung? Apakah sedalam lautan? Dan adakah janji yang dulunya akan disambung semula? Zarina terus menanti akan sebuah perubahan ke arah kebahagiaan.
“Kak... di mana lagi kemuliaan kita sebagai seorang isteri? Apa yang saya tahu Syurga buat kita adalah di di tapak kaki suami. Kita adalah penemannya. Kita juga adalah kekasihnya. Dan kita jugalah yang akan bersamanya nanti menunggu di pintu Syurga yang abadi apabila kita terlepas seksaan di dunia ini,”
“Tapi Ina... bagaimana jika suami lebih pentingkan darjat? Pentingkan keduniaan? Wajarkah kita ikut? Kita selalu dipersalahkan tatkala hal yang remeh sahaja. Seperti yang berlaku dalam keluarga Datin Maimun tu... hal kecil sahaja sengaja diperbesar-besarkan. Sekarang lihatlah keluarganya, berantakkan. Ia mungkin juga berlaku dalam keluarga kita sekiranya kita tidak bersiap sedia, Ina...”
“Kak Intan sering dipersalahkan ke sebelum ni?” soal Zarina yang mengetap lembut bibir merahnya.
“Eh? Tak adalah sampai macam tu, secara umumnya lelaki memang begitu...” balas Intan.
“Maaf menganggu, ini minumannya. Jemput minum,” pelawa Mak Mah yang baru tiba di situ. Perbualan mereka terhenti. Zarina menoleh ke arah Mak Mah lalu diucapkan terima kasih buat pembantu rumahnya yang setia.
Mereka menukar topik perbualan pula kepada hal tanaman. Selepas itu mengenai perhiasan dalaman. Tidak cukup dengan itu, idea Intan bertambah-tambah tatkala bercakap mengenai masakkan pula. Zarina mula bersedih dalam hati apabila mengenangkan hal tersebut. Fikirannya teringat kes semalam. Dia terus dihambat rasa kecewa yang mendalam.
Share this Article on :

2 comments:

blinkalltheday said...

besttt, bile nak tau hal yg sebenarnye ni??sian zurin..

Amira Atiya said...

aishhh suami dia curang ke tu...

Post a Comment

 

© Copyright ekarya2u 2010 -2011 | Design by Herdiansyah Hamzah | Published by Borneo Templates | Powered by Blogger.com.