Advertise

Secangkir Madu Merah (Bab 4)

Tuesday, March 29, 2011

Perasaan bosan mula melingkari hatinya. Pulang ke rumah isteri buat muka. Masak tengah hari pula sudah tidak sedap. Memang serba-serbi tidak kena. Oleh kerana isterinya itu sudah tidak seindah dulu melayani dirinya maka dia mengambil sikap untuk memberontak. Biarlah isterinya itu mengetahui apa yang dia rasakan ini adalah lahir dari rasa bosannya. Bosan kerana isterinya terlalu mengambil tahu hal dirinya. Dia sudah mula rimas.
“Abang sudah makan ke?”
“Abang dekat mana?”
“Bila abang nak balik?”
Pertanyaan-pertanyaan itu selalu sahaja menjengah ke cuping telinganya. Saat telefon tidak diangkat maka isterinya mula membebel.
“Kenapa abang tidak jawab call saya pagi tadi? Berkali-kali saya call tapi abang buat tak layan. SMS saya pun abang tak balas,” inilah yang selalu Zarina ucapkan ketika berjauhan.
Zarina selalu melayani dirinya seperti budak kecil sahaja. Rashid sudah bosan dengan sikap sedemikian. Zarina suka menyibuk dalam segenap segi. Kadangkala ketika berada dalam bilik mesyuarat pun Zarina masih menelefon dirinya. Ketika itu dia terlupa ‘silent’ deringan telefon bimbitnya. Bengang jadinya setelah tumpuannya terganggu.
Hello... kau berangan ke?” Rashid tidak sedar ada tangan sedang melambai-lambai di hadapan wajahnya.
Nothing,” balas Rashid setelah tersedar.
“Kalau tak ada apa-apa kenapa senyap sahaja? Fikiran kau dekat mana? Kata nak bincang soal kerja?”
“Malam-malam macam ni?”
Yes! So kenapa kau ajak aku keluar malam ni kalau tidak bercakap tentang kerja? Selalunya kau berminat cakap tentang masalah kerja sahaja,”
Fazry Kamal kawan baik Rashid berkerut dahi.
Rashid dari tadi terbungkam di restoran itu. Menggelamun jauh entah apa yang bersarang di kotak fikirannya Fazry tidak pasti.
Maybe lain kali,”
“Okey, tapi kau sepatutnya berada dekat rumah kan...”
“Jangan sibuk,”
But why?”
Rashid mencerlung mata lantas Fazry Kamal berjongket bahu membuat muka tidak bersalah. Barangkali ucapan Fazry Kamal berupa peringatan itu seperti berbisa sahaja sehingga menyengat hatinya.
“Isteri aku tu problemlah,”
What? Kau ni macam-macamlah, apa hal pula dengan isteri kau tu?” Fazry Kamal terkejut mendengar ucapan Rashid itu.
Rashid menarik nafas. Dia mahu meluahkan rasa yang tersemat dalam jiwanya. Rasa rimas telah lama bersarang di relung hatinya. Dia mahu Fazry Kamal tahu dan memberikan pendapat.
Semenjak dari tengah hari tadi Rashid tidak pulang ke rumah. Dia meninggalkan Zarina sendiri bertemankan Mak Mah. Rashid tidak perlu risau kerana Mak Mah ada. Barangkali sedikit pun tiada perasaan risau dihatinya mengenangkan Zarina yang sarat mengandung itu.
“Entahlah, aku rasa bosan dengan dia,” balas Rashid sekilas menoleh ke sisi.
“Ya Allah, dengan isteri sendiri kau boleh kata bosan ke? Tapi apa yang membuatkan kau bosan dengan dia? Isteri kau tu kan sedang mengandung... kau sepatutnya temankan dia. Rasanya tidak adil buat dia kerana kau selalu tinggalkan dia kesorangan. Kau selalu sibuk dengan kerja. Kau tak risaukan dia ke?” Fazry Kamal agak terkejut.
Come on Fazry, kau tak tahu apa yang aku rasa sebab aku tak duduk ditempat aku,”
“Tapi aku dapat jangkakan yang kau seperti tidak sayangkan dia, right?”
“Menyimpang,” bantah Rashid.
“Habis tu kalau kau masih sayang, kau tidak akan berada di restoran pada malam ni? Kau baru balik dari kerja kan? Outstation berminggu-minggu. Tidak lekat di rumah malah selalu ke sana ke mari. Macam mana kau bahagikan masa pada isteri kau tu antara kerjaya dan rumahtangga? Siapa yang sepatutnya berasa bosan? Dia atau kau?” Fazry Kamal menasihati Rashid.
Rashid perlu berfikir dengan rasional. Untuk apa dia mengikut rasa hati? Rasa itu akan membawa binasa pada dirinya kelak.
Rashid menyedut minumannya sampai habis kemudian memanggil pelayan restoran itu sekali lagi untuk menempah minuman yang baru. Selepas membuat pesanan dia memandang wajah Fazry Kamal dalam-dalam.
“Kau nak bagi ceramah percuma dekat aku ke atau kau nak dengar masalah aku?” Rashid seperti tidak berpuas hati sahaja.
Fazry Kamal menggaru belakang tengkuk lalu menyedut minuman yang masih berbaki itu. Gelas itu dialihkan dari tempatnya dan diletakkan ke tepi pula.
Rashid mempamerkan kegelisahan. Barangkali masih terdapat perkara yang masih tersimpan dan sukar untuk diluahkan. Terasa terlalu payah.
“I still support apa yang kau buat but just important issue, Rashid. Kalau benda ni kau anggap remeh bermakna kau masih belum mengerti tentang cinta,” balas Fazry Kamal.
“Kau nak mengajar aku tentang cinta? Kau sendiri sampai sekarang belum kahwin lagi? Kau suka sejenis ke?” tempelak Rashid tanpa memikirkan perasaan Fazry Kamal. Barangkali Rashid ingin berselorah namun kedengaran terlalu kasar.
“Mulut tu jaga baik-baik sikit. Kalau tak lama kau makan penumbuk sulung aku ni. Sekurang-kurangnya aku tahu apa itu makna cinta. Menyimpang sungguh kata-kata kau tu. Aku bukan apa yang kau anggap. Aku belum kahwin kerana belum dapat jodoh lagi,” mujurlah Fazry Kamal faham dengan sikap Rashid. Berkawan sejak di bangku sekolah lagi sehingga ke hari ini masih belum berenggang lagi namun Rashid terlebih dahulu berumahtangga dengan Zarina. Jodoh datang dari langit tiada siapa pun yang dapat mempertikaikannya namun rumahtangga mereka bakal menanti retak.
Terasa panas dalam hati. Mendidih sampai ke tahap mahu meletup sahaja sekeping hati itu tatkala Fazry Kamal mahu mengajarnya tentang erti cinta. Cinta yang bagaimana untuk dia curahkan? Walaupun Zarina itu cukup cantik di mata namun ada sesetengah perkara yang Rashid tidak suka.
“Dahlah! Aku bosan dengan semua ni. Aku tidak boleh berpura-pura lagi dengan isteri aku tu,”
“Eh? Apa yang kau maksudkan?”
“Kalau kau nak tahu! Zarina tu...” tidak terluah pula oleh Rashid untuk menghabiskan ayatnya.
“Zarina apa?” soal Fazry Kamal deras inginkan Rashid menyudahkan ayat yang tergantung itu. Sungguh mendebarkan hari Fazry Kamal setelah Rashid berhenti dari berkata-kata dan menoleh ke lain arah.
Rashid terdiam.
Fazry Kamal menunggu Rashid menyambung ucapan itu namun Rashid membisu. Rashid seakan tidak dapat menyambung ayat itu. Dia tidak tergamak menyebutnya di hadapan Fazry Kamal maka dia membatalkan hasratnya untuk menceritakan segala-galanya pada Fazry Kamal walaupun Fazry Kamal itu adalah kawan  baiknya.
Air yang dipesan oleh Rashid tadi baru sahaja sampai. Pelayan itu dimarahi oleh Rashid kerana lambat menghantar minumannya. Sampai begitu sekali. Orang disekeliling pula menjadi mangsa. Satu sikap yang tidak patut dicontohi. Barangkali hati Rashid membengkak maka dilepaskan rasa marah itu pada orang lain pula.
“Rashid... tolong control sikit emosi kau tu,” tegur Fazry Kamal setelah melihat sikap Rashid yang tidak rasional itu.
“Beritahu aku kenapa dengan Zarina tu?”
Rashid memicit dahi. Dia menggeleng deras. Fazry Kamal pula tidak sedap hati kerana Rashid berahsia pula.
“Tak ada apa-apalah, abaikan sahaja,” begitu pula jawapan Rashid.
Tidak mudah bagi Rashid memberitahu Fazry Kamal apa sebenarnya yang telah berlaku. Bagaimana dia kini boleh bersikap dingin terhadap isterinya sendiri? Seakan susah untuk dia kembali mesra dengan isterinya seperti sebelum ini. Biarlah dia simpan sendiri perkara itu memandangkan isterinya sarat mengandung.
“Kenapa kau nak berahsia dengan aku? Baiklah... kalau kau sudah bersedia nanti kau boleh luahkan pada aku, anytime and anywhere, aku sedia mendengarnya,” ujar Fazry Kamal.
Rashid memuncungkan mulutnya lantas tangannya dilambai-lambai memanggil pelayan. Pelayan yang dimarahinya tadi tidak berani datang dekat lagi tetapi pelayan yang lain pula hadir.
Rashid menghulurkan wang bernot RM50 kepada pelayan itu untuk menjelaskan bil minuman yang hanya beberapa ringgit sahaja. Rashid mahu segera bereda dari situ. Dia tidak mahu tunggu lagi. Dia mahu rehatkan otaknya. Fikirannya mula kusut. Dia tidak berjaya untuk meluahkan masalahnya yang sebenar kepada kawan baik sendiri.
Keep the chance,” kata Rashid dengan lagak beradanya lantas dia mengangkat punggung untuk beredar dari restoran yang sudah dirasakannya begitu membosankan. “Aku balik dulu, tinggal,” ucap Rashid dan dia kemudiannya meninggalkan Fazry Kamal terkulat-kulat di situ.
Rashid melihat jam ditangan sudah pukul satu pagi. Sungguh leka berada di restoran sehingga malam kian pekat. Rashid mempunyai dua pilihan, sama ini terus balik ke rumah atau tidur di hotel sahaja?
Share this Article on :

1 comments:

Post a Comment

 

© Copyright ekarya2u 2010 -2011 | Design by Herdiansyah Hamzah | Published by Borneo Templates | Powered by Blogger.com.