Advertise

Secangkir Madu Merah (Bab 3)

Tuesday, March 29, 2011

“Apa yang awak buat ni? Lauk terlalu masin! Awak sudah tidak tahu memasak ke? Saya nak makan lauk yang sedap bukan lauk yang masin macam ni! Awak dah buat selera saya hilanglah!” Rashid memarahi Zarina kerana lauk itu terlebih masin. Lauk ikan kerapu masak merah itu dianggap tidak kena.
Zarina telah masak secukup rasa tapi masih tidak sempurna di mata suaminya. Dia sudah rasa lauk itu memang tidak terlalu masin. Zarina semakin sebak kerana suaminya mula mencari kesalahan dirinya.
“Abang... saya dah rasa lauk tu, tak masinlah abang...”
“Melawan? Kalau orang cakap masin! Masinlah!!” Rashid mencampakkan sudu yang dipegangnya ke lantai. Sikapnya jelas memperlihatkan emosi yang tidak stabil.
Zarina tidak menyangka suaminya bertindak begitu. Selama ini Rashid tidak menunjukkan belang amarah terlampau sebegitu. Semakin lama semakin menjadi-jadi. Zarina terpaksa akur dengan kerenah Rashid itu.
“Lain kali rasa betul baru bagi orang makan! Masakan macam ni ke awak kata istimewa? Baik awak bagi kucing makan!” bentak Rashid lalu mengangkat punggung dan terus berlalu meninggalkan ruang meja makan itu.
Zarina kehilangan kata-kata. Dalam diamnya itu tersentak dengan kemelut resah yang kian melanda. Saat ini Zarina mencebik menangis sendiri sambil mengambil sudu itu di lantai. Sebak bergulir di dada. Bagaikan sebuah mimpi ngeri yang baru terjadi. Wajah Rashid berubah bengis tatkala memarahi dirinya.
“Ya Allah, apa dosaku sehingga aku dilayan begini? Apakah penyebab suamiku bertindak kasar seperti itu? Ya Allah Kau tunjukkanlah pada aku kebenarannya...” air mata Zarina mengalir tanpa sedar.
Di kerusi itu Zarina terduduk. Dia termanggu sendiri mengenangkan hal yang  baru terjadi tadi.
“Ina...” namanya dipanggil.
“Oh Mak Mah,” balas Zarina sambil menoleh ke arah Mak Mah yang telah mendengar segala-galanya.
Mak Mah duduk di sebelah Zarina. Perlahan-lahan belakang Zarina digosok. Zarina mengeluh halus. Dia tidak mahu mengeluh tetapi itu telah terjadi. Zarina tunduk terpaksa. Tunduk kerana tidak mengerti apa-apa. Zarina sudah makan hati. Suaminya telah melukakan hatinya. Suaminya merobek hatinya yang nipis itu. Sekeping hati seorang wanita yang terlalu menyayangi suaminya. Tidak tegar baginya melawan cakap suami. Dia tidak bermaksud untuk melawan. Dia tidak mahu mengiakan apa yang tidak.
“Bersabarlah ya Ina... Mak Mah faham perasaan Ina,” ucap Mak Mah pembantu yang jauh lebih berusia dari Zarina. Pembantu rumah yang setia berkhidmat pada keluarga Zarina sejak mereka berumahtangga.
Lambat-lambat Zarina  mengangkat kepalanya lalu memandang wajah Mak Mah. Dengan lemah dia mengetap lembut bibirnya. Air mata itu masih lagi bersisa.
“Saya memang bersabar Mak Mah... Saya tetap bersabar dengan sikap Abang Rashid tu. Saya tahu tanggungjawab sebagai seorang isteri. Saya mesti dengar cakap suami. Tapi...” kata-kata Zarina terhenti di situ.
“Sudahlah, jangan fikirkan lagi. Barangkali Encik Rashid tu tertekan dengan kerjanya,” Mak Mah bersikap optimis.
“Mak Mah... saya tahu dia tertekan dengan kerja tapi sebelum ini baik-baik saja. Selama ni pun dia tidak pernah bawa balik  masalah kerjanya dekat rumah. Kali ini lain sangat. Saya dapat merasainya Mak Mah...” ucap Zarina dalam nada sebak.
Zarina memekup wajahnya. Dia masih menangis. Tangisannya tidak didengari oleh suami. Tangisan itu adalah tangisan kekecewaan. Mak Mah menjadi saksinya. Mak Mah mendengar tangisannya dan apa yang pasti Tuhan lebih mendengar segala-galanya. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui.
“Janganlah menangis begini Ina... tidak elok untuk kandungan tu. Jagalah kandungan tu baik-baik Ina. Itu anak sulung kamu. Anak Ina bersama Encik Rashid,” Mak Mah tetap memujuk Zarina supaya tidak terlalu mengikut perasaan gundah gelana itu.
Bicara rindu hilang dari hati. Tangisan tidak berlagu melingkari relung hati. Kecewa, sedih, terkilan dan sebagainya timbul menjadi satu. Ia tidak mudah untuk diusir. Ia bukanlah sesuatu yang akan menjadi surut malah ia terus pasang bergelora. Hati kecil itu tidak putus-putus berdoa pada Tuhan supaya menganugerahkan padanya sekelumit kebahagiaan.
Kasih sayang Zarina selama ini diragut dengan  begitu mudah sekali. Tercalar sudah intipati rindu yang bersarung dalam selimut cinta.
‘Aku tidak mudah melupakan cintamu Abang Rashid. Aku mencintaimu sedalam lautan yang tidak terduga namun adakah aku dapat bertahan seperti mana karang terpacak teguh itu? Adakah aku mampu mengharungi badai ini? Sesungguhnya keyakinan aku semakin memipih,’ ucap hatinya seakan pasrah.
Zarina memandang Mak Mah dengan pandangan curiga. Maka dia terus bangun dari tempat duduk itu. Dia segera meluru ke muka pintu. Langkahnya sungguh cepat dan tergesa-gesa. Nalurinya mengatakan Rashid pergi. Rashid keluar dari rumah.
Sesampainya dia di muka pintu itu, dia melihat kereta Nissan Skyline warna biru berkilat itu meninggalkan perkarangan rumah banglo ini. Kelibat kereta itu kemudiannya hilang dari pandangan. Zarina menarik nafas lesu melihat suaminya meninggalkan rumah tanpa mengucapkan sepatah pun. Tidak pula Rashid memberitahunya ke mana mahu pergi.
Air mata suci itu masih setia merembes di pipi. Diseka perlahan-lahan dengan hujung lengan baju kurungnya namun masih lagi wujud sisa-sisanya.
“Ina... jangan fikir yang bukan-bukan. Encik Rashid tu lapar agaknya. Barangkali dia ingin makan diluar,”
“Tanpa sepatah pun?”
“Ina...”
“Tak apalah Mak Mah, saya redha...” lirih nadanya kemudian berundur kembali semula ke dapur. Dia mahu kemaskan tempat makan itu. Suaminya tidak sudi menjamah makanan itu. Suaminya lebih suka makan diluar. Suaminya tidak mahu langsung menerima kelemahan yang ada. Mak Mah membuntuti Zarina sampai ke dapur.
“Tak apa Ina... biar Mak Mah kemaskan,” sebaik sahaja Mak Mah melihat dirinya ingin mengemaskan tempat makan itu, dia segera dihalang. Mak Mah mahu melakukkannya.
“Biarlah Mak Mah...,”
“Berehatlah, Mak Mah tengok wajah Ina lesu sahaja,”
“Mana ada, Mak Mah ni ada-ada saja,”
“Ish...”
Zarina terhenti seketika. Mak Mah memandang Zarina berkerut dahi. Dia kemudiannya menarik lauk itu. Lauk yang tadinya dikatakan masin oleh suaminya sendiri.
“Mak Mah... benarkah lauk ini masin?”
“Mak Mah dah rasa, memang tak masin, elok saja malah lebih sedap dari masakan Mak Mah. Mesti Ina dah jemu makan apa yang Mak Mah masak kan?”
“Mak Mah ni ke situ pula,” Zarina memalsukan senyuman.
Kata-kata Rashid masih terngiang-ngiang di telinganya. Memang terasa pedas. Memang terlalu keras dan memang sungguh menyakitkan namun Zarina harus bersabar seperti pesan Mak Mah.
Kesabaran wanita akan teruji tatkala berhadapan dengan sikap amarah suami. Selagi mana dia bersabar selagi itulah akan membuktikan kesetiaannya pada suami tercinta. Biarpun Zarina bukanlan seperti isteri pertama Rasulullah iaitu Siti Khadijah yang menjadi lambang cinta sejati, namun Zarina mahu menjadi seperti itu. Mahu menjadi lambang cinta sejati buat suaminya. Zarina bukanlah seperti Sumayyah binti Khayyat yang teguh dalam berpendiriaan namun Zarina mahu menjadi seperti ini juga meskipun tahap kesabarannya tidak dapat menyaingi wanita-wanita terulung di zaman itu. Sekurang-kurangnya Zarina menginginkannya.
‘Seandainya cinta ini milik aku dan dia, Ya Tuhan... Kau bahagiakanlah hatiku dan dia agar gembira ini selalu dekat... biarlah hatinya dekat dengan ku dan aku pula dekat dengan hatinya...’
“Kalau Ina ada masalah, Ina jangan segan-segan ceritakan dekat Mak Mah kerana Mak Mah sudi mendengarnya,” ujar Mak Mah sambil mengemas itu.
Zarina memejamkan matanya seketika kemudian dia membuka semula kelopak matanya yang terasa sangat berat itu.
“Saya okey sahaja Mak Mah, biasalah kalau perkara yang gembira sebelum ini hanya menjadi kenangan sahaja,”
“Mak Mah faham. Kedukaan di sebalik sebuah senyuman susah untuk diramalkan,” balas Mak Mah.
“Apa yang Mak Mah maksudkan?” Zarina melangkah ke singki membawa cawan dan gelas untuk dibasuh.
“Ina... menyembunyikan kedukaan adalah perkara yang paling sukar untuk dilakukan, tetapi kita ni perempuan Ina... Mak Mah lebih dulu makan garam. Mak Mah pernah rasa apa yang Ina rasa tapi keadaan kita sahaja berbeza,” kata Mak Mah yang sibuk mengemas itu.
Zarina terdiam. Dia mahu mendengar apa jawapan Mak Mah seterusnya.
“Mak Mah tahu yang Ina berpura-pura bahagia saat berbual-bual dengan jiran. Mak Mah boleh rasa apa yang Ina rasa. Berjauhan dengan suami tercinta maka bermacam-macam yang kita fikir. Naluri seorang isteri ni begitu kuat...” sambung Mak Mah menceritakan apa yang dilihat oleh mata dan dirasa oleh hati.
Zarina terus membisu. Dia berdiri statik dekat singki menghadap Mak Mah yang berdiri di tepi meja makan itu.
“Wajah ina boleh sembunyikan masalah tetapi hati Ina tidak dapat berbohong. Ina mencurigai Encik Rashid kan?” Mak Mah bertanya untuk kepastian.
Kebisuan Zarina berpanjangan. Dia tunduk. Kenyataannya dia memang mencurigai suaminya sendiri memandangkan sikap suaminya telah banyak berubah dengan begitu mendadak sekali.
Share this Article on :

1 comments:

Amira Atiya said...

aish wahai suami kenapa dingin sekali

Post a Comment

 

© Copyright ekarya2u 2010 -2011 | Design by Herdiansyah Hamzah | Published by Borneo Templates | Powered by Blogger.com.