Advertise

Secangkir Madu Merah (Bab 1)

Tuesday, March 29, 2011


Hidup di alam rumahtangga bukanlah mudah. Perjalanan hidup dalam perkongsian itu memerlukan ketabahan dan kecekalan untuk menanggani masalah yang mendatang. Hujan, ribut mahu pun gerhana perlu ditempuhi juga.  Kebahagiaan dalam berumahtangga memang menjadi impian sesiapapun. Tiada satu insan yang normal sifatnya mahu hidup melarat.
Pelangi yang indah dalam cinta mahu dilihat dari dalam hati. Hati sepasang suami isteri. Tiada yang lain dapat menyelamatkan institusi rumahtangga melainkan sikap bertolak ansur. Begitulah yang cuba dilakukan oleh insan bernama Zarina. Jauh di sudut hatinya begitu sayang dan cintakan suaminya. Segala yang dilakukan adalah untuk menyinari alam rumahtangganya.
Di manakah tempatnya untuk dia mengadu seandainya kemelut melanda? Apa yang pasti adalah gelora jiwanya yang akan meledak bila-bila masa sahaja. Namun tidak pernah pun dia mengalah pada bahana nafsu syaitan yang menghasut agar dirinya mencurangi suami. Walaupun sering ditinggalkan namun kesetiaan cintanya pada suami tetap utuh bagaikan karang dilautan menahan setiap gelombang yang mendatang.
“Setiap kali abang balik awak mesti buat muka macam tu? Awak ada masalah ke dengan abang?” Rashid suaminya tercinta baru pulang dari kerja. Sudah seminggu suaminya berkerja di luar kawasan. Hari ini dia baru pulang. Kepulangan suaminya mungkin seketika cuma. Barangkali selepas ini dia akan bertugas di tempat lain pula. Begitulah hidup Zarina bersuamikan seorang engineer.
Zarina mencebik menahan sebak dalam dada di atas pertuturan kasar dari suaminya. Zarina sedia menyambut suaminya yang baru pulang itu. Kepulangan suaminya itu sedikit pun tidak diberitahu awal-awal. Kenapa begini? Fikir Zarina.
“Kenapa awak diam?” sekali lagi Rashid bertanya. Kebisuan Zarina dianggap bersalah.
Bagaimana Zarina tidak buat muka begitu sedangkan dia seorang isteri? Salahkah menelefon dirinya terlebih dahulu dan beritahu akan pulang pada malam ini? Sekarang sudah pukul satu pagi. Mengamuk minta pintu dibuka. Zarina dimarah kenapa selak pintu dari dalam. Tidak tahukah Rashid isterinya tinggal sendiri dalam ketakutan? Di rumah ini memang ada pembantu namun itu tidak cukup selamat baginya.
Kalau benar Rashid masih sayang, berilah tahu walaupun sepatah. Sekurang-kurangnya Zarina dapat menyiapkan apa-apa yang patut. Zarina sendiri tidak sempat berhias untuk suami tercintanya itu. Apakah Rashid ingin membuat kejutan? Kejutan yang tidak ikhlas dari raut wajah. Zarina dapat merasakannya.
Zarina tahu suaminya berkerja di luar kawasan tetapi sikap suaminya banyak berubah. Dulu Rashid akan memberitahu dirinya akan pulang, ada di mana, sedang buat apa tetapi dalam seminggu lepas sudah beberapa kali Zarina menghubungi Rashid tidak pernah berjawab.
“Abang tak nak minum dulu?” soal Zarina sambil mengambil kot suaminya itu.
“Minum apa dah pukul satu pagi ni? Sudahlah saya nak berehat. Balik rumah sahaja awak buat muka macam tu. Tak boleh ke awak senyum sikit?” tegur Rashid dengan egois sekali.
“Abang, kenapa abang cakap begini dengan Ina bang?”
“Cakap apa lagi? Saya dah malaslah nak bercakap dengan awak nilah, tengok muka awak macam ni pun sudah hilang mood saya tahu tak?” balas Rashid sambil melangkah laju naik ke tingkat atas.
Zarina ditinggalkan terkulat-kulat di situ. Zarina tertunduk hiba. Dia benar-benar hairan dengan sikap suaminya sejak kebelakangan ini. Zarina terus melangkah naik setelah pintu rumah dikunci. Dia melangkah dengan rasa hiba bersarang kukuh di relung hati.
‘Kau harus sabar Zarina. Kau sayangkan Rashid bukan? Kuatkan semangat kau Zarina,’ Zarina memberikan kekuatan semangat untuk dirinya sendiri.
Zarina memalsukan senyuman. Dia tidak berniat untuk buat muka hairan sebentar tadi. Dia juga tidak patut memuncungkan mulut panjang sedepa. Dia terlupa bahawa suaminya pantang melihat dirinya berwajah begitu.
Pintu bilik dikuak perlahan. Dia masih menguntum senyuman yang dipalsukan itu untuk Rashid yang sedang mencapai tuala mandi.
“Abang nak mandi pagi-pagi macam ni ke? Tak elok untuk kesihatan bang,”
“Awak jangan sibuk boleh tak? Kalau awak nak tidur awak tidur sahajalah, jangan nak membebel pulak. Sakit telinga saya ni tahu tak dengar suara awak macam makcik tua,” sinis Rashid dan Zarina tersentak lagi. Zarina menarik nafas dalam-dalam untuk terus bersabar dengan perangai Rashid itu.
Zarina terdiam. Rashid terus meluru ke bilik air. Zarina menyangkut kot suaminya itu lalu dia melangkah ke birai katil dan duduk di situ sambil memeluk bantal. Fikirannya menerawang jauh. Jauh sekali teringat saat manisnya percintaan antara dia dan Rashid sebelum perkahwinan. Ternyata semuanya berbeza. Sejak dua tahun mendirikan rumahtangga inilah kelainan yang dirasakan. Baru saat ini dia berasa suaminya berubah. Zarina inign tahu punca suaminya berubah sedemikian rupa. Hendak dia bertanya takut pula dimarahi. Dia tahu Rashid seorang panas baran namun Rashid pernah berjanji dengannya tidak akan marah-marah.
Sikap suaminya itu membuatkan hati Zarina tersentuh. Suaminya memungkiri janjinya. Janji untuk tidak memarahi Zarina tanpa sebab yang munasabah. Amarah itu bertahan selama dua tahun sahaja. Kini ia kembali merusuh di relung hati.
“Apa yang awak menungkan tu? Kalau nak tidur, tidur sahajalah tak payah  nak tunggu saya,” terkejut Zarina mendengar suaminya sudah selesai mandi. Lamunannya sebentar tadi berkecai begitu sahaja.
Dia berpaling melihat wajah tanpa suaminya. Lama dia memandang suaminya dan pandangan itu bertaut. Suaminya juga memandang wajahnya. Tanpa disedari, Zarina cepat-cepat berpaling dan melarikan wajahnya. Sebenarnya tubir matanya hampir bergenang. Dia menahan rasa ingin menangis.
‘Aku tidak boleh menangis dihadapan dia. Aku tidak mahu tunjukkan diriku lemah. Aku mesti kuat. Zarina, kau mesti kuat!’ bersungguh-sungguh dia menasihati dirinya sendiri di dalam hati.
Sebagai seorang isteri, dia mahu dipujuk. Dia mahu suaminya membelai dirinya dengan penuh kasih sayang. Tidak bolehkah dia mendapatkan semua itu? Ke mana hilangnya belaian manja dan kasih sayang Rashid? Di mana Rashid mencampakkannya?
“Sayang...” hati Zarina tiba-tiba lembut mendengar panggilan itu. Mudah benar suaminya berubah sikap. Lirih sahaja anda itu. Zarina menoleh semula ke arah suaminya.
Dia terus bangun dan mendapatkan suaminya. Dia tidak menyahut panggilan itu lantas dia mencapai tuala yang lain. Tuala yang bersih. Untuk apa?
“Abang... macam mana abang mandi ni? Lap pun tak kering,” Zarina tolong suaminya lapkan badan sampai betul-betul kering. Begitu indah sekali kasih sayang Zarina untuk suaminya. Terpinga-pingga Rashid melihat gelagat Zarina.
Bagaimana hati Rashid sekeras kerikil itu menjadi lembut dan tidak pula memarahi Zarina ketika ini? Jika tadi membahang hangat kini api amarahnya kembali dingin.
Lantas tangan Zarina dipegang dan diramas perlahan. Rashid menarik Zarina duduk di birai katil itu.
“Cuba beritahu abang, kenapa Ina buat wajah macam tadi?”
Zarina diam.
“Jawablah, abang tanya ni,”
Zarina diam lagi.
“Baiklah kalau tak nak jawab abang tidur dulu,”
“Abang,” Zarina menahan.
Zarina terlalu rindukan Rashid. Berjauhan dengan Rashid membuatkan dirinya begitu lemah. Jiwanya sering dihantui rasa bimbang dan takut. Rasa itu kian membukit. Zarina bukanlah seorang isteri yang cukup kuat tatkala berjauhan dari suami namun hatinya kebal dengan kesetiaan. Itulah cinta seorang isteri untuk si suami.
“Sayang... abang sudah letih... tidak mengapalah, kita sambung esok sahaja,”
“Esok abang cuti?” soal Zarina.
Rashid mengangguk perlahan.
Zarina begitu gembira mendengar jawapan itu walaupun dari anggukan. Dia ingin lakukan yang terbaik untuk suaminya.
Rashid harus mengerti akan pengorbanan dari seorang isteri seperti Zarina. Perempuan seperti Zarina tidak boleh dikasari. Usahlah bertindak melulu. Zarina sarat menanggung rindu. Nilai rindunya perlu dibayar dengan kasih sayang, bukannya marah-marah.
Sudah lama ditinggalkan ini pula balasan. Rashid mudah berubah dan baru sekejap tadi dia elok pula. Apa yang menganggu fikiran Rashid tatkala berhadapan dengan Zarina?
Share this Article on :

3 comments:

Riesna Zasly said...

matila... ada rashid gitu... pitam

Miqael Arshad said...

hehe :-)

Amira Atiya said...

aish awat pangai laki dia lagu tu

Post a Comment

 

© Copyright ekarya2u 2010 -2011 | Design by Herdiansyah Hamzah | Published by Borneo Templates | Powered by Blogger.com.