Advertise

Secangkir Madu Merah (Bab 18)

Friday, April 1, 2011

Tiada apa yang lebih seronok selain mengambil tahu hal orang lain. Tiada apa yang boleh dibanggakan selain kemewahan dan kecantikan diri sendiri. Itulah yang selalu diangkat tinggi setiap kali ada orang datang ke rumah. Siapa lagi jika bukan si Intan itu. Entah kenapa pada jam tiga petang ini jirannya itu sibuk panggil-panggil minta dia datang ke rumah. Maka dengan terpaksa dia keluar juga ke rumah jirannya itu setelah pagi tadi pun sudah banyak kecoh. Anak jiran masuk dalam kolam ikan. Tapi sekarang ini biasalah mesti ada hal yang hendak dibincangkan.
Zarina sendirian dan saat ini dia tidak ditemani oleh Mak Mah. Mak Mah diminta untuk menjaga rumah sahaja. Zarina hanya hadir ke situ menunaikan hajat Intan yang beria-ria benar memanggilnya. Untuk apa pula kali ini setelah pagi tadi gah mempamerkan perhiasan diri dan saat ini mesti ada benda lain yang hendak ditunjukkan.
“Duduklah dulu Ina... jangan malu-malu. Kita ni sudah lama berjiran, jarang sungguh kau nak bertandang rumah kakak ni ya? Bukan jauh sangat pun lima puluh langkah sahaja dah boleh sampai. Sengaja kau kan tak nak datang rumah kakak? Maklumlah rumah kakak ni tak besar macam rumah kau tu Ina... tapi kakak ada set sofa baru ni... baru sahaja sampai tengah hari tadi. Jenama Itali, bau kedai lagi ni...” kata Intan sambil cuit paha Zarina.
Zarina hanya mampu tersenyum melihat gelagat Intan yang suka barangan baru dan berjenama dari luar negara. Intan lupa satu perkara kerana barangan tempatan kini jauh lebih baik. Seharusnya Intan mestilah menyokong dan membantu pertumbuhan ekonomi negara sendiri seperti pesanan pihak kerajaan supaya belilah barangan buatan Malaysia.
“Oh patutlah saya nampak ada lori dalam pagar rumah Kak Intan tadi,” balas Zarina sambil melabuhkan punggung di atas sofa baru itu.
“Duduk elok-elok ya Ina... nanti koyak sofa tu susah kakak... mahal tu... suami kesayangan kakak yang belikan. Maklumlah ulang tahun perkahwinanlah katakan,” ujar Intan meninggi diri.
Tidak semena-mena dua beradik itu melompat-lompat atas sofa baru yang anjal itu. Seronok benar mereka melihat sofa warna oren menghiasi ruang tamu mereka. Sofa sebelum ini sudah rabak kerana ditoreh dengan pisau oleh Adam.
“Adam! Amir! Jangan buat macam tu, nanti patah sofa mama,”
“Nak main-main pun tak boleh,” Adam merajuk lalu turun dari sofa. Amir abang kepada Adam berumur tujuh tahun itu terus duduk mendiamkan diri. Takut agaknya melihat wajah Intan menyinga.
“Alah kakak... budak-budak biasalah tu... kata sofa mahal, mana mungkin akan patah dengan begitu mudah  melainkan kualitinya kurang,” Zarina menasihati Intan.
“Yalah kan... sofa mahal memang tak mudah rosak... Adam... Amir... lompatlah nak lompat pun tak apa sofa ni bagus, papa kamu banyak duit jangan risau sofa ni kualitinya bagus. Barangan Itali gerenti puas hati,” bangga sungguh Intan.
Adam dan Amir apa ditunggu lagi? Tidak memerlukan masa yang lama untuk berfikir maka mereka kembali melompat riang.
“Yeay yeay sofa baru, yeay yeay sofa baru,” bersorak riangnya mereka.
“Bukan sofa sahaja Ina... tu ha, set home theater harga enam ribu, itu tak masuk dengan peti ais baru dekat dapur tu, suami kakak ganti baru, macam ni barulah puas hati, Ina... kita kalau jadi perempuan semua barang yang kita guna semuanya kena elok... tak mainlah barang second hand ni Ina...” ujar Intan sambil paha Zarina dicuit lagi.
Zarina hanya mampu mengulum senyuman pahit. Dia sudah masak dengan sikap Intan yang suka menunjuk-nunjuk itu. Namun sebagai menghormati jiran tetangga, Zarina mengangguk sahaja. Malas untuk dia mencampuri urusan hal rumahtangga orang lain. Biarlah apapun itu adalah hak mereka. Hendak tukar sofa baru atau pun apa sahaja tiada kena mengena dengan Zarina.
“Cantiknya kakak... mahalnya, tapi pasti kak... semua barang yang dipilih sungguh berkualiti. Bagus betul suami kakak tu ya?” puji Zarina dan agak seperti tidak ikhlas sahaja namun itulah yang dia rasa.
“Kau ni Ina macam perli kakak saja,”
“Apa pula kak, betullah apa yang saya cakap tu. Untuk apa saya perli kakak yang jauh lebih berpengalaman daripada saya. Siapalah saya ni kak...?” lirih sahaja nadanya tidak mahu kelihatan begitu terpesona dengan barangan yang ditayangkan di hadapan matanya.
“Suami kamu Ina tak beli ke? Kak tengok kamu masih pakai sofa yang lama lagi... kenapa tak ganti baru? Dari Aidilfitri tahun lepas lagi kamu pakai sofa tu, tahun tak tukar ke?” tanya Intan.
“Tak mengapalah kak lagipun sofa tu masih lagi elok,”
“Simpan duit banyak-banyak pun buat apa Ina... bukan boleh buat masuk kubur pun,”
“Sekurang-kurang duit itu kita boleh buat amal dengannya. Saya pun teringin nak pergi ke Kota Mekah menunaikan haji,”
“Encik Rashid pun?”
“Insya-Allah kak...”
“Baguslah, kakak ni entah bila dapat pergi,” syahdu pula nada Intan menyuarakannya.
Suasana yang agak riuh itu kembali reda dengan tiba-tiba. Dalam tidak sedar kedua-dua anak lelaki Intan itu terlena di sofa itu. Barangkali keletihan melompat-lompat tadi.
Zarina senyum lagi.
“Kamu tunggu dulu ya Ina... kakak nak buatkan air,”
“Tak apalah kak, jangan susah-susah. Saya cuma nak tahu sahaja apa tujuan kakak panggil saya,” tanya Zarina.
Intan menelan air liur. Dalam masa yang sama mereka alasan. Zarina memang sudah boleh agak kerana dari awal lagi langsung tidak diceritakan tujuan asal memanggilnya ke sini.
“Oh ya... kakak nak tunjukkan resepi baru, Kek Cinta,”
“Kek Cinta?” Zarina berkerut dahi kerana tidak pernah pun dia mendengar nama kek seperti itu sebelum ini.
“Nanti kakak tunjukkan ya? Tapi kamu tunggu dulu kakak nak buatkan air,” pesan Intan sambil meluru ke dapur.
Zarina hanya menunggu sahaja di situ dengan sabar. Gelagat Intan yang tidak sudah-sudah itu. Zarina memandang sekeliling isi rumah Intan memang serba mewah. Kebanyakkan barangan di dalamnya adalah berjenama. Langsir baru, hiasan baru dan pendek kata semuanya serba baru. Berbeza dengan keadaan sebelum ini.
Untuk apalah Intan membazir seperti itu? Bagi Zarina pembaziran mahupun sikap boros itu adalah perkara yang merugikan dan ia merupakan sifat syaitan Laknatullah. Biarlah pembelanjaan kadar sederhana. Sesungguhnya itu lebih afdal. Zarina begitu yakin sekali kemewahan dan kekayaan yang ada ketika hidup di dalam dunia ini akan ditinggalkan juga kelak saat tibanya sukaratulmaut. Alam dari Sang Pencipta akan ditinggalkan buat selamanya dan apa yang dibawa adalah iman dan taqwa. Sejauh manakah kesedaran jirannya terhadap keimanan dan ketaqwaan itu? Hendak dia berpesan pada kebenaran selalunya jirannya itu menepis bagai ada perisai yang menghalang. Malah dirinya pula yang dikatakan kolot tidak ikut perkembangan.
Kedamaian milik-Nya. Sejahteraan juga datang daripada-Nya. Maka menjadi kewajipan membelanjakan harta ke jalan Allah. Bukannya untuk kepentingan hidup semata-mata di dunia umpama Syurga sementara ini.
Zarina dididik dengan ilmu agama. Zarina diajar tentang itu dan ini. Arwah ayah angkatnya pernah berpesan padanya supaya tidak sesekali bersikap angkuh dan bongkak kerana sesungguhnya sikap sedemikian akan mengundang kecelakaan dan kemurkaan Allah. Dia juga diingatkan supaya lembutkan hati dengan berzikir sesungguhnya berzikir itu akan membuatkan kita selalu ingat pada-Nya.
Biarlah... Zarina tetap mengharapkan dan selalu berdoa pada Allah yang Maha Esa supaya menjauhkan dirinya dari sifat riak dan takabur. Sifat itu adalah sifat yang tercela. Sifat membangga-banggakan diri itu adalah sifat orang-orang yang memperhambakan dirinya pada nafsu.

***
Loceng rumah dibunyikan beberapa kali maka keluarlah Mak Mah mendekati orang yang hadir ketika ini. Mak Mah memang tidak kenal orang itu tetapi sudah dua kali dia melihatnya.
“Assalamualaikum,”
“Waalaikumussalam,” balas Mak Mah.
“Ada apa encik?”
“Zarina ada?”
“Beritahulah kenapa?” Mak Mah bertanya lagi tidak mahu memberikan jawapan sebenar bahawa Zarina tidak ada di dalam rumah tetapi berada di rumah jiran di hadapan itu.
“Saya mahu berjumpa dengan dia,”
“Boleh saya tahu apa hubungan encik dengan dia?”
“Saya Encik Arsyad, kawan lama dia... saya nak jumpa dia ni kerana ada hal nak dibincangkan,” terang Arsyad kepada Mak Mah yang sedang mengecilkan mata kerana menghadap sinar matahari yang sudah condong ke ufuk barat.
“Maaflah, Puan Zarina sedang sibuk. Dia tidak mahu diganggu” beritahu Mak Mah biarpun ia adalah rekaan semata-mata.
Mak Mah tidak mahu kekacauan berlaku. Andai kata ketika lelaki bernama Arsyad ini berada di sini dan dalam masa yang sama Rashid balik, bagaimana? Fikiran Mak Mah sungguh jauh kerana takutkan sebarang kemungkinan akan berlaku memandangkan situasi sekarang memang tidak mengizinkan. Barangkali Rashid akan mengamuk lagi melihat ada lelaki lain di sini sedang mencari Zarina.
“Tidak mengapalah kalau begitu, tapi boleh sampaikan pesanan saya?” pinta Arsyad.
“Insya-Allah, apa dia?”
“Minta dia hubungi saya,”
“Nombor telefon?”
“Sudah ada padanya,” balas Arsyad.
Mak Mah mengangguk sahaja kemudian Arsyad terus melangkah menuju ke kereta KIA Spectra kelabu yang sudah dibaiki.
Mak Mah memerhatikan kereta itu berlalu dari situ. Dalam masa yang sama Rashid pula tiba. Barangkali Rashid sudah perasan namun Mak Mah berharap Rashid tidak menaruh syak wasangka berkenaan orang tadi jika Rashid telah melihatnya.
Mak Mak segera menekan alat kawalan di tangan bagi membolehkan kereta Nissan Skyline itu masuk ke dalam. Mak Mah ingin tahu juga ke mana pula kereta Honda Accord milik Zarina itu? Tidak dibawa pulang? Mak Mah bertanya sendiri.
Rashid keluar dari perut kereta dengan wajah yang ceria. Hairan benar Mak Mah melihat ekspresi wajah itu. Sungguh berlainan sekali. Cepat benar Rashid berubah.
“Zarina mana Mak Mah?” soal Rashid.
Mak Mah sudah mula tergagap-gagap untuk memberitahu Rashid bahawa Zarina bertandang ke rumah Intan. Takut benar dia sekiranya Zarina akan dipukul kerana telah keluar dari rumah. Salahkah Zarina hanya melangkah ke rumah jiran tetangga bertanya khabar? Hatta Mak Mah terpaksa membisu tidak tahu apa yang perlu dijawabnya. Bagaikan dia kini diperangkap oleh keadaan.
“Mak Mah...” Rashid memanggil lembut.
Mak Mah yang tertunduk kepala itu segera diangkat lalu bertentang mata dengan Rashid. Lidahnya terasa berat untuk memberitahu majikannya berkenaan Zarina.
“Apa yang Mak Mah cuba sembunyikan ni?” tanya Rashid lagi.
Di dalam benak Mak Mah bimbang jika Rashid bertanyakan pula tentang hal lelaki tadi tapi memandang persoalan itu tidak timbul maka Mak Mah beranggapan bahawa Rashid tidak perasan.
Sekiranya Mak Mah berdalih juga nanti akan diketahui. Maka Mak Mah memilih untuk memberitahu di mana Zarina berada. Jika Rashid cuba-cuba mengasari Zarina, sekali ini Mak Mah tidak akan beri muka. Itulah nekad Mak Mah. Jangan harap Rashid dapat memperkecilkan kaum Hawa lagi. Hak kebebasan wanita mesti dipertahankan.
“Puan Zarina ada dekat rumah Puan Intan...” beritahu Mak Mah dengan jujur.
“Ya ke?” Rashid hanya tersenyum sahaja. Tiada langsung wajah marah. Raut wajah marah langsung tidak terpamer. “Kalau begitu nanti beritahu dia saya ada perkara hendak dibincang dengannya, saya masuk dulu ya Mak Mah...” sambung Rashid lagi dengan lembut berbicara.
Mak Mah berasa pelik. Benar-benar hairan namun Mak Mah menarik nafas lega kerana Rashid tidak marah. Mak Mah fikir Rashid akan meradang seperti sebelum ini. Mujurlah amarah itu telah lenyap tetapi apakah penyebab Rashid berubah secara mendadak?
Mak Mah terlihat sesuatu. Dia baru perasan. Lalu dia memanggil Rashid yang sedang melangkah.
“Encik Rashid,” Mak Mah memanggil Rashid lalu Rashid pun menoleh dan menghadiahkan senyuman buat Mak Mah.
“Ada apa Mak Mah...?” tanya Rashid.
“Kenapa dengan kereta Encik Rashid ni?”
“Kenapa? Saya baru lepas baikilah Mak Mah...” balas Rashid meleret nadanya.
“Maksud saya kesan calar sebelah sini ni,” beritahu Mak Mah sambil menunjukkan kesan calar yang sungguh teruk sekali.
Setelah mendengar apa yang diberitahu oleh Mak Mah, Rashid terus meluru pantas untuk melihatnya. Tanpa diduga kesan calar pada pintu kereta di sebelah tempat duduk pemandu itu begitu teruk sekali. Memang Rashid tidak perasan dari awal lagi. Hati Rashid kembali panas.
“Tidak!!” pekik Rashid dengan sekuat hati melepaskan rasa marah dan bengang. Di dalam fikiran Rashid ketika ini menangkap satu nama, iaitu Rokiah atau Roy.
Mak Mah terperanjat mendengar jeritan yang penuh dengan keperitan itu. Mak Mah terpinga-pinga lalu cepat-cepat dia melangkah keluar takut Rashid mengamuk di situ. Dia terus berlari menuju ke rumah Intan namun dia berpatah balik kerana risau Intan pula yang menyibuk. Sebaik sahaja Mak Mah masuk semula ke halaman rumah, Rashid telah meluru keluar dengan kereta itu. Mak Mah tidak tahu ke mana pula Rashid mahu pergi? Mak Mah lelah kerana terperanjat. Nafas Mak Mah turun naik dengan cepat barangkali keletihan berlari.
Share this Article on :

4 comments:

Amira Atiya said...

sengal rashid ni kereta lagi penting....isteri dia tak peduli pulak...sepak kang...

blinkalltheday said...

ish, pelik benor si rashid ni...

keSENGALan teserlah.. said...

aku geram betul ngn si rashid ni. cetsss

fahizal azron said...

hahahahaha...rupa-rupanya kia spectra yg rasyid langgar 2 keta arsyad.....
nasib xsempat jumpa....klau x....bperang pulak la...

Post a Comment

 

© Copyright ekarya2u 2010 -2011 | Design by Herdiansyah Hamzah | Published by Borneo Templates | Powered by Blogger.com.