“Kau nak bercakap apa lagi dengan aku ni Rashid? Kau kan dah bengang dengan aku? Aku ni malas nak masuk campur urusan keluarga kau. Setiap kali kau minta pendapat aku mesti bercanggah dan kau selalu fikir kau sahaja yang betul,”
“Bukan macam tu,”
“Habis tu nak macam apa lagi? Tengoklah diri kau sekarang? Kau pernah fikirkan perasaan orang lain tak? Perasaan aku sebagai kawan baik kau sendiri? Aku pun kau tak percaya macam mana aku nak faham kau lagi? Pendek kata kau ni sudah tak rasional kau tahu?”
“Dengarlah apa aku nak cakap ni,”
Fazry Kamal memang sudah bosan. Rashid pula mula bingung melihat reaksi Fazry Kamal yang sudah naik radang. Salah dirinya juga selalu fikirkan dirinya sahaja yang betul. Tengah hari ini Rashid berjumpa dengan Fazry Kamal duduk bersama makan tengah hari sedari pagi tadi dia menyendiri sahaja ke merata-rata tempat. Di mall dan di mana sahaja mahunya. Tidak membeli apa-apa hanya melihat sahaja. Saat tiba tengah hari dia cari Fazry Kamal.
“Kau cakaplah selagi telinga aku ni tak pekak,” bidas Fazry Kamal yang sudah jengkel dengan sikap Rashid yang suka melenting. Kali ini Fazry Kamal pula mahu melenting.
“Aku memang ada masalah dengan Zarina,”
“So?”
“Aku tak tahu apa yang perlu aku lakukan,”
“Apa masalahnya? Kau tak cerita macam mana aku nak tahu?”
“Sabarlah! Aku nak ceritalah ni,” bentak Rashid.
Seringkali marah. Seringkali berlaga angin. Fazry Kamal dengan sikapnya. Rashid pula berbasa-basi dalam bicara. Sesiapapun akan tertunggu-tunggu. Fazry Kamal tarik muka. Rashid mencerlung mata.
“Kenapa pandang aku macam tu?”
“Kau ni buta! Aku hilang sabar!”
“Fine... kalau kau tak suka aku boleh pergi. Tapi kau harus ingat, perkara aku paling tidak suka adalah sikap panas baran kau tu,”
“Inilah masalah aku sekarang,”
“Panas baran kau tu boleh dikurangkan, kau kena banyak bersabar,” Fazry Kamal menasihati Rashid dengan tidak jemu-jemu tetapi akan tiba saat bosan seandainya Rashid masih begitu.
“Tak bolehlah Fazry, aku memang dah macam ni,” Rashid memberi alasan pula. Setiap kali minta bersabar itu sahaja jawapannya. Fazry Kamal muak mendengar jawapan yang sama dari dulu sampai sekarang.
“Selama ini kau okey sahaja tapi dengan dia tiba-tiba kau mudah marah? Dengan semua orang pun kau nak marah termasuk aku, kenapa ni Rashid?” Fazry Kamal bertanya lembut.
Bagaikan tiada jawapan untuk pertanyaan itu. Rashid masih merahsiakan sebabnya. Rashid masih menyembunyikan hakikat sebenar perasaannya. Susah untuk dia meluahkan. Saat demi saat, semakin dia pendam semakin bergelora. Dia hanya mampu melepaskan rasa itu sedikit demi sedikit.
Rashid diam.
Fazry Kamal masih mahu menolong. Rashid perlu ceritakan dari awal sampai akhir. Jika tidak Fazry Kamal tidak dapat memberikan pandangan yang baik ataupun cadangan. Oleh itu Rashid perlu bersedia.
“Macam ni, kalau kau rasa perasaan marah kau susah dan kawal, aku fikir elok kau pergi jumpa dengan seseorang. Aku bagi kau alamatnya. Kau pergi jumpa dia. Insya-Allah, mana tahu dia boleh tolong kau?” Farzy Kamal mencadangkan sesuatu yang terbaik untuk Rashid lakukan.
“Siapa pula ni?”
“Nantilah, aku dapatkan kad perniagaan dia ni,” ucap Fazry Kamal sambil mengeluarkan kad perniagaan dari dompetnya lalu diberikan kepada Rashid.
Rashid mengambil kad itu lalu dibacanya.
‘Khidmat Rawatan Islam Dan Terapi Kaunseling’
Serta-merta Rashid melemparkan kad itu di atas meja. Dia menjegil biji mata memandang Fazry Kamal.
“Kau nak kenakan aku ke? Kau ingat dengan benda-benda macam tu boleh bantu aku ke? Yang handle tu pun bukan pakar mana pun, entah-entah masalah dia sendiri pun tak boleh nak settle, you make me crayz, Fazry!”
“Kalau kau tak cuba kau tak tahu! Tengok kau sekarang mudah melenting. Marah tu penyakit, boleh menyebabkan darah tinggi. Hot temper kau ni dah lebih, sudah naik lemak kau tahu?” tempelak Fazry Kamal pada Rashid yang sungguh keterlaluan dan langsung tidak menghargai pertolongan orang lain.
Rashid terbungkam dan menongkat dagu sambil menjuih bibir. Dia langsung tidak hairan dengan radang Fazry Kamal itu.
“Kau sendiri pun mudah melenting. Apa kata kau sahaja yang pergi,” Rashid terus bangun dan beredar begitu sahaja. Memang Rashid selalu berkata-kata yang sungguh menyakitkan. Tidak tahulah sampai bila Fazry Kamal boleh bertahan dengan sikap Rashid yang semakin melampau itu.
***
Usai makan mereka ingin berbual seketika. Sebentar lagi Salwa akan kembali ke pejabat. Masih banyak kerja yang perlu diselesaikan. Saat ini pula Zarina melangkah bersama Salwa menuju ke ruang tamu. Mak Mah seperti biasa dengan urusan di dapur.
“Semalam kau kata ada perkara hendak bincangkan dengan aku, apa dia?” Zarina mengingatkan Salwa berkenaan hal yang tergantung itu.
“Oh! Aku hampir lupa, nasib baik kau ingatkan aku,”
“Apa dia?”
Zarina dan Salwa duduk serentak di sofa. Mereka berdua sudah kenyang selepas makan. Hakikatnya hanya Salwa seorang sahaja seronok menjamu selera sedangkan Zarina beralasan sudah terlalu kenyang walhal dia hilang selera.
“Cuti hujung minggu ni aku nak ajak kau pergi picnic, mahu?”
“Dengan keadaan aku macam ni?”
“Apa salahnya, bagi ruang untuk diri kau sendiri ubah persekitaran. Janganlah asyik terperuk dalam rumah sahaja nanti kau umpama katak bawah tempurung terhindar dari dunia luar. Sekali sekala tu keluarlah bersosial sikit,”
Mungkin ada benarnya cadangan Salwa itu namun dia perlu berbincang dengan suaminya terlebih dahulu. Kalau boleh biarlah Rashid ikut sekali.
“Erm...” Zarina mengemam sahaja.
“Kau janganlah takut sangat. Kalau kau mahu, biar aku pujuk suami kau tu... kau pun tahu kan dia tu macam mana? Dia pasti akan ikut kalau aku pujuk dia. Kau jangan risau ya asalkan kau dapat pergi aku dah bahagia. Aku tak suka tengok kawan aku ni berasa terkurung,” Salwa menguntumkan senyuman.
Zarina memang berharap Rashid mengizinkan dirinya pergi dan dia juga mahu Rashid ikut bersama. Biarlah dia punya waktu untuk bersama-sama dengan Rashid. Dia mahu gembira seperti sebelum ini bersama suami tercinta.
‘Seronoknya kalau Abang Rashid bersetuju. Sudah lama aku dan dia tidak keluar bersama. Kali ini mesti jadi untuk pergi perkelahan tu,’ detik hati Zarina dengan penuh harapan.
“Boleh aku tahu dekat mana tu Salwa?”
“Kalau aku beritahu kau sekarang nanti tak supriselah,”
Zarina mengetap lembut bibirnya.
“Okey, aku akan tunggu, lagipun dua hari sahaja lagi kan nak kena tunggu?”
“Thats right,”balas Salwa. “Okeylah Ina, aku kena balik ke pejabat sekarang ni,” Salwa meminta diri.
Salwa melaga pipi dengan Zarina. Zarina sungguh bertuah kerana mempunyai seorang kawan yang baik dan yang selalu mengambil berat tentang keadaan dirinya. Dia terus bangun dari sofa itu dan mengiringi Salwa sampai ke muka pintu.
Zarina tenang sekarang kerana Salwa sendiri mahu memujuk Rashid agar bersetuju untuk bercuti untuk beberapa hari bersama. Di dalam kotak fikiran Zarina sudah membayangkan saat-saat romantik yang pernah dia lalui bersama sebelum ini. Kenangan yang disimpulkan dengan bibit-bibit cinta yang terindah dalam hidupnya.
Selepas Salwa hilang dari pandangan maka dia terus melangkah untuk naik ke tingkat atas dengan perlahan-lahan. Dia mahu menuju ke bilik bacaan. Dia mahu sambung hobinya yang suka membaca novel.
“Ina...” Mak Mah memanggil Zarina.
Mak Mah berdiri di bawah. Zarina menoleh lalu tersenyum. Senyuman yang nampak tidak manis. Senyuman pahit terlakar bukan kerana Mak Mah yang memanggilnya tetapi kerana fikirannya yang celaru.
“Ada apa Mak Mah?”
“Barang-barang dapur banyak yang dah habis tu...” Mak Mah ingatkan Zarina.
“Kalau macam tu nanti saya berikan duitnya. Mak Mah selesaikan semuanya ya? Apa-apa yang kurang Mak Mah buatlah yang terbaik,” ringkas sahaja ucapan Zarina.
Mak Mah mengangguk faham. Wang belanja dapur mesti diberikan agar kelengkapan untuk ruang itu sentiasa ada. Usai itu Mak Mah melangkah untuk menunaikan Solat Zohor, begitu juga dengan Zarina.
Zarina sebenarnya masih berteka-teki apakah jawapan Rashid seandainya dia sendiri yang bertanya berkenaan cadangan Salwa itu? Dia tidak sabar menunggu Rashid balik dan mahu berbincang mengenainya. Tetapi, Salwa yang mahu memujuk Rashid, adakah ia berjaya? Barangkali Zarina juga patut berhadapan dengan Rashid dan bertanya tentang hal tersebut.
3 comments:
apa masalah rashid sebenarnya? geram!
rashid ni kenapa tamper je... ish2
mesti rashid tak bagi Zarina pergi tu.. hmmm
Post a Comment