Advertise

Secangkir Madu Merah (Bab 6)

Thursday, March 31, 2011

Hello Zarina... tengah hari ni kita lunch sama-sama okey? Aku dah lama tak makan dengan kau. Nanti aku jemput kau boleh?”
“Tak bolehlah Salwa... aku tak mahu keluar tanpa izin suami aku...”
“Suami kau ada dekat rumah ke tidak?”
“Suami aku tak ada,”
“Habis tu?”
Zarina terdiam seketika. Salwa mahukan jawapan.
Bagaimana untuk dia memberitahu suaminya bahawa dia ingin keluar? Telefon pun tidak berjawab. Salwa di hujung talian mahukan keputusan. Nampak gayanya Zarina terpaksa menghampakan kemahuan Salwa namun demi menjaga hati Salwa maka Zarina mempelawa Salwa untuk makan tengah hari di rumahnya sahaja. Mujurlah Salwa bersetuju.
“Okey nanti aku datang,”
“Aku tunggu,” Zarina mematikan panggilan itu. Satu keluhan halus dilepaskan. Dia kemudiannya mahu melangkah turun ke bawah. Saat ini dia berada di dalam bilik. Secara tidak sengaja dia terpandang sesuatu yang terkeluar sedikit dari kot Rashid yang tersangkut itu. Dia mendekatinya lantas diambil sekeping kertas yang dilipat kecil.
“Adakah aku perlu membukanya? Ini adalah hak peribadi suami aku... tapi... aku ni isterinya dan aku berhak untuk mengetahui apakah isinya,” omel Zarina sendiri berkerut dahi.
Zarina berkira-kira mahu membukanya atau pun tidak memandangkan kertas itu sudah dipegangnya.
“Kertas apakah ini?” dia menduga.
“Ina...” bunyi pintu biliknya diketuk. Suara Mak Mah sedang memanggilnya. Akhirnya dia tidak membukannya. Dia segera meluru ke pintu setelah kertas yang tadinya diletakkan semula di dalam kocek kot itu.
Tombol pintu bilik dipulas lalu terpacak Mak Mah di situ yang ingin menyampaikan sesuatu kepada Zarina.
“Ada apa Mak Mah?”
“Ada orang nak jumpa,”
“Siapa?”
“Mak Mah tak kenal. Dia ada di laman,” mujurlah Mak Mah tidak membenarkan sesiapa pun masuk ke dalam rumah. Jika hanya berada di halaman rumah mungkin tidak menjadi masalah namun dia bimbang juga takut nanti yang ingin berjumpa dengannya itu adalah lelaki maka akan timbul pula fitnah.
“Baiklah... nanti saya turun. Mak Mah tolong masak lebih ya, tengah hari nanti Insya-Allah kawan saya si Salwa tu nak datang makan di sini. Saya yang jemput dia,” pesan Zarina pada Mak Mah.
Mak Mah beredar dari situ. Zarina pula terpisat-pisat sendiri memikirkan siapakah gerangan orang yang datang ke rumahnya tanpa mengaturkan temu janji dengan lebih awal. Paling tidak hubungilah dirinya terlebih dahulu. Tudung warna putih dicapainya . Dia memakai tudung yang cantik itu untuk menutup rambutnya. Menjadi dosa besar bagi perempuan sepertinya mendedahkan aurat itu kepada pandangan umum tambah lagi dia sudah bersuami dan bakal menjadi seorang ibu tidak lama lagi.
Usai itu dengan perlahan-lahan Zarina turun meniti tangga satu persatu. Dia perlu berhati-hati demi kandungannya. Zarina ingin tahu siapakah yangd atang ke rumahnya saat menjelang tengah hari? Barangkali rakan lamanya.
Setibanya di hadapan pintu, Zarina membuka selak dan dikuak perlahan pintu itu lalu terjengul kepalanya mencari kelibat orang itu. Lupa pula dia hendak bertanya orang yang mahu menemuinya itu lelaki atau perempuan. Tapi tidak mengapa kerana dia boleh melihat sendiri.
Akhirnya pandangan matanya tertancap pada kelibat seorang lelaki yang sedang berdiri dengan tangan di dalam kocek membelakanginya dekat dengan tempat duduk itu. Apa yang dimenungkan oleh lelaki itu? Zarina terus menyusun langkah mendekati lelaki tersebut.
“Assalamualaikum,”
Lambat-lambat lelaki itu menoleh.
“Waalaikumussalam,” balas lelaki itu.
“Arsyad?!” Zarina terkejut.
“Ya, ini aku,” katanya.
Sudah lama Zarina tidak melihat Arsyad. Lelaki yang merajuk hati dengannya suatu ketika dulu. Lelaki itu adalah seorang lelaki di zaman kanak-kanaknya. Ketika remaja, Arsyad berpindah rumah. Namun Zarina begitu hairan sekali bagaimana lelaki seperti Arsyad dapat mencarinya.
Terpaku Zarina di situ. Barangkali dia terpegun melihat Arsyad yang jauh lebih tampan berbanding dulu. Ketika remaja dan kanak-kanak, Arsyad terlalu comot. Budak montel yang kuat makan.
“Kau terkejut tengok aku ke? Dan kau mesti tidak menyangka aku dapat cari kau sampai ke sini kan?” ucap Arsyad lelaki berkulit sawo matang itu masih berdiri di hadapan Zarina yang telah menduga pasti.
Arsyad tidak terkejut melihat Zarina yang sedang hamil itu. Arsyad mengetahuinya lebih awal sebelum menjejakkan kaki ke situ.
“Agak terkejut jugalah. Macam mana kau tahu aku tinggal dekat sini?” balas Zarina yang masih terpisat-pisat.
Arsyad terus menunjukkan keratan majalah pada Zarina.
“Kau pun baca majalah keluarga?” Zarina kembalikan semula keratan itu pada Arsyad setelah melihatnya.
Arsyad tersenyum.
“Aku cuma terbelek sahaja tapi aku begitu sekali inilah takdir Tuhan mahukan kita bertemu semula. Aku cuba cari kau di rumah lama tu. Tapi rumah tu ada orang lain yang tinggal. Aku dah tak tahu nak cari dekat mana lagi sehinggalah aku terbelek majalah ni dekat klinik. Masa tu aku batuk-batuk nak dapatkan pemeriksaan,” begitulah ceritanya.
            Dua bulan lepas memang wajah Zarina dan suami tercintanya terpampar di majalah itu untuk temubual pasangan bahagia dari pihak penerbit. Oleh kerana Dato` Sri Ryzal adalah orang kenamaan serta seorang tokoh korporat maka mudah menjadi tumpuan mereka untuk mengisi ruang bacaan itu.
            Hati Zarina begitu gembira kerana dapat bertemu kembali dengan Arsyad. Kawan lama mana boleh dilupakan tapi Arsyad mungkin agak kecewa dengan satu perkara.
“Kahwin pun tak jemput aku... sampai hati,” luah Arsyad dengan buat muka tidak berpuas hati.
“Macam mana nak jemput? Mana kau tinggal pun aku tak tahu. Sejak kau ikut ayah kau berpindah, kau terus lost contact dengan aku. Aku kecewa kehilangan seorang kawan comotku dulu,” Zarina memberikan sebab.
“Kau masih panggil aku comot ya?”
“Pasti! Walaupun kau sudah tidak comot macam dulu lagi tapi aku suka panggil kau comot,” Zarina menjelirkan lidah. Sudah lama dia tidak jelirkan lidah pada Arsyad seorang budak gemuk yang selalu rampas ais krim miliknya. Itu cerita dulu kala. Cerita berbelas tahun dulu sekarang lelaki yang berdiri di hadapannya adalah seorang lelaki segak dan tampan. Itu sahaja yang dapat Zarina anggap.
“Kau masih tak berubah wahai lidi,”
“Apa kau kata? Lidi?”
Arsyad ketawa mengekek kerana melihat Zarina yang masih seperti dulu.
“Kau masih tak berubah Ina... sama macam dulu. Apa khabar orang tua kau sekarang?”
Zarina terdiam. Wajahnya serta-merta berubah. Gambaran ngeri kembali menjelma. Dia tidak dapat meluahkannya pada Asyad ketika ini. Lidahnya kelu, dadanya sebak. Dia terus bersedih. Pertanyaan Arsyad itu membuatkan hatinya tersentuh.
Arsyad berasa serba salah pula. Tidak tahu apa yang harus dilakukannya bagi mengetahui apa yang sedang Zarina rasakan saat ini?
“Kenapa Ina?”
Zarina masih mendiamkan diri. Dia tunduk membisu seribu kata. Arsyad mengeluh halus. Lelaki itu seperti mengerti tapi apa sebabnya? Arsyad perlu tahu.
Zarina memusingkan badannya kemudian dia mengatur langkah duduk di bangku. Dia menoleh semula ke arah Arsyad.
“Syad... duduklah dulu, kau tak lenguh ke berdiri,” Zarina seperti mengelak sahaja namun wajah itu tidak mampu menipu Arsyad.
Melihat deraian air mata Zarina itu, Arsyad tumpang bersedih. Sudah pasti ada perkara yang telah berlaku. Arsyad mahukan kepastian dari mulut Zarina sendiri.
Zarina menyimpan sejuta kelukaan yang sukar ditafsirkan oleh orang lain. Perasaan itu bernanah di relung hatinya. Jiwanya tersangat halus dan terlalu nipis hingga mudah tercalar. Jika tersilap bicara maka ia akan retak.
Kalau benar bahagia, masakan wajah itu berubah duka? Ditanya berkenaan keluarga tunduk saja? Barangkali terlalu pahit untuk ditelan apatah lagi untuk ia diluahkan agar orang yang bertanya mengetahui keadaan sebenar.
“Kenapa kau nampak sedih? Kau tidak gembira dapat jumpa aku lagi? Atau pertanyaan aku tadi ada salahnya?”
“Tak,”
“Habis tu?”
Zarina diam lagi.
“Ada masalah lebih baik kau cerita. Dengan ketua kampung pun kau boleh bercerita tentang aku yang rampas ais krim kau takkan perkara ni pun kau tak boleh beritahu aku?” Arsyad berseloroh membuatkan Zarina tersengih sambil menyeka air matanya yang mudah luruh itu.
“Kau menangis?”
“Kau pun tahu aku ni mudah mengalirkan air mata. Bila aku tidak menagis pun orang akan nampak aku seperti menangis. Mata aku kan sensitif. Kau masih mahu bertanya,”
“Walaupun kena angin?” sengaja Arsyad bertanya lagi.
“Tak adalah sampai macam tu. Kau ni nak kena?”
Arsyad mengalah sambil menguntum senyuman. Zarina melepaskan tawa. Arsyad suke mengusik dirinya.
“Kalau kau ketawa macam ni sejuk hati aku,”
“Syad...”
“Ya Ina,”
“Aku dah kahwin,”
“Memanglah aku tahu kau dah kahwin, habis tu kenapa kalau kau dah kawin? Memang aku tidak boleh berkawan dengan kau ke?”
“Bukan macam tu, tak manis dipandang orang. Aku kan isteri orang,”
“Nur Zarina Binti Hasri isteri kepada Encik Rashid anak Dato` Sri Ryzal dan dia bakal menjadi seorang ibu maka aku tidak boleh berkawan dengan dia? Tidak dibenarkan sama sekali rapat dengan dia? Begitu ke?” balas Arsyad pula.
Zarina mengumam geram. Memang Arsyad seorang yang degil tidak mahu mendengar cakap. Sikap itu memang dari dulu lagi Zarina kenali. Memang sudah masak hingga Zarina pula yang susah. Adakah kehadiran Arsyad akan membuatkan hatinya yang parah itu sembuh?
“Encik Comot anak kepada Cikgu Hussaini, tolonglah faham,”
Arsyad ketewa mengekek mendengar gelaran itu disebut-sebut lagi oleh Zarina. Cerita lama masih  beraja di hati.
“Memang sudah terlebih faham. Baiklah... aku akan lihat kau dari jauh. Aku dah anggap kau kawan yang paling istimewa dalam hidup aku. Aku tidak akan pernah lupakan kau,”
“Itulah yang aku takut,”
Zarina masih risaukan soal hati Arsyad. Dia tahu sebelum ini Arsyad rapat dengannya dan dia takut Arsyad menyimpan perasaan cinta.
Dont worry, aku tidak ada apa-apa perasaan terhadap kau melainkan perasaan sayang terhadap seorang sahabat yang lama ditinggalkan. Ini bussiness card aku. Apa-apa hal kau boleh hubungi aku,” Arsyad meletakkan kad perniagaan di atas meja itu dan beredar.
Zarina mengambil kad itu lantas menoleh pada Arsyad yang melangkah pergi meninggalkannya lalu dia menyimpan kad tersebut. Zarina masih kagum melihat kesungguhan Arsyad mencari dirinya sampai ke sini.
Kurang dari sepuluh minit selepas itu setelah Arsyad beredar, Salwa hadir ke rumahnya. Salwa menghadiahkan senyuman buat Zarina yang tatkala itu memalsukan senyumannya. Waktu makan tengah hari hampir tiba, Salwa datang awa pula. Barangkali Salwa tidak terserempak dengan Arsyad. Salwa mungkin tidak mengenali Arsyad.
Share this Article on :

2 comments:

Amira Atiya said...

cinta lamakah itu?

TinTa Biru said...

arsyad tu mesti ada hati kat zarina..

Post a Comment

 

© Copyright ekarya2u 2010 -2011 | Design by Herdiansyah Hamzah | Published by Borneo Templates | Powered by Blogger.com.